Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KUIH KOCI PULUT HITAM




Masa saya nak mulakan blog masakan ni, saya dah sematkan dalam hati. Apa jua perasaan semasa saya, saya takkan luahkan dalam blog ini. Sasaran saya, saya nak kumpulkan resepi-resepi yang pernah dicuba, untuk saya rujuk semula. Itu saja.  Jika ada orang baca, orang suka alhamdulillah. Jika orang tak sukapun saya tak boleh nak paksa. 


Tetapi semalam dan hari ini, mood saya betul-betul dibawa pergi. Hari ini cuma suap mee Sedap setengah bungkus dengan nescafe satu mug. Itupun terasa payau. Masuk juga ke dapur buat bingka kelapa untuk seorang kawan baik yang asyik merengek nak makan itu ini. Sebutirpun tak jamah. Nak hilangkan resah buat pula  craggy chocolate cake. Pun tak senyaman biasa. Pagi tadi, cuba menjahit, tak jalan juga. Biasanya tengok mesin kesayanganpun hati saya jadi berbunga-bunga. Siap sehelai baju, terus pakai dan merayap entah kemana. Tapi pagi tadi lain. 

Saya cuma berdoa dan terus berdoa. Memang hati saya bukan pualam.  Lembik macam kuih ni.

Entah bila saya buat kuih koci ni sayapun dah lupa. Mungkin masa belum start berblog lagi agaknya. Maknanya sebelum puasa hari tu.  Saya kongsikan jugalah di sini. Sama macam kuih koci biasa, cuma  mungkin dengan menaip ini saya boleh hilangkan sebentar sendu di hati. Pilu yang memalit jiwa.




Bahan-bahan:
Sumber : Bonda Tercinta

Untuk Inti

1/2 biji kelapa inti (diparut)
2 -3 keping gula melaka
Gula pasir
2 helai daun pandan dikoyak dan disimpul
Air kelapa (juga boleh digantikan dengan air kosong biasa)
1 sudu besar tepung gandum


Cara-cara:

  • Masak gula melaka dengan air kelapa hingga gula hancur.
  • Masukkan simpulan daun pandan.
  • Masukkan kelapa dan masak dengan api perlahan hingga kelapa agak kering dan melekit. Masukkan gula pasir jika masih kurang manis.
  • Akhir sekali masukkan tepung gandum dan kacau rata. Masak hingga agak kering. Sejukkan.



Untuk kuih:

4 sudu besar tepung pulut hitam
1 1/2  cawan tepung pulut
Air





Cara-cara:


  • Campurkan semua bahan dan jadikan doh yang sekata dan tidak melekat pada tangan. 
*Sebenarnya jumlah pulut hitam yang perlu dimasukkan bergantung kepada kesukaan masing-masing, cuma perlu pastikan tidak dicampur terlalu banyak kerana tekstur kuih akan menjadi keras walaupun warnanya hitam dan cantik.Tambahan pula bila sudah sejuk, jadi cukup sekadar menambahkan warna pada kuih sahaja. 



Untuk sapuan pada kuih:

1 cawan santan pekat
1 sudu teh tepung beras
Sedikit garam


Cara-cara:

  • Campur tepung dengan santan dan kacau hingga sebati.
  • Masak dengan api perlahan. Masukkan garam.
  • Apabila sudah timbul buih-buih kecil (mendidih sedikit) tutup api dan ketepikan.

Cara-cara untuk membungkus kuih:

  • Gentelkan inti sebesar saiz duit 20 sen. Ketepikan.
  • Ambil adunan tepung anggaran sebesar duit 50 sen  dan bungkus inti tadi. 
  • Sapukan sedikit sapuan santan ke atas daun pisang.
  • Letakkan sebiji kuih dan bungkus dengan kemas.
  • Kukus kira-kira 20 minit atau sehingga kuih masak.





HATI BUKAN PUALAM
Didedikasikan buat sahabat yang sedang bernanah hatinya tapi cekalnya setinggi langit


Kamu tidak pernah tahu sepualam mana hati kamu
sehinggalah ianya diuji
sama ada bala atau laba
kelabu atau jerubu


rapuh atau tidak
juga di luar jangka
sehingga ia dicuit pilu dan sendu, manis atau hamis


dan sesiapa tidak akan dapat meneka
sekental manalah ia
sampai ke detik ia dimamah nestapa dan lara
atau dipanggil pulang oleh sengsara dan hiba


wahai hati yang mereput
duhai hati yang hampir mati
aku tidak mampu merawatmu


hulurkan tangan sahabat, 
biar aku cuba hangatkan tanganmu yang dingin
kerna aku tahu
tangan mu itu mampu berbicara dengan hati
agar melempar pergi rasa busuk yang menjeruk


aku cuba sedaya kudrahku
beriringan 
bukan di depan atau ditinggal kamu
aku akan pimpin tanganmu
kita langkah bersama



CHAH 3.03 am

3 Responses to KUIH KOCI PULUT HITAM

  1. kat tpt kami org panggei koci melayu.. kalo jawa stail lain.. koci ni BB suka sangat.. len kali nak cuba gak.. ambik resepi ni yerr...tq.

  2. tu dia kak chah...rain ek? lame saya xmakan kuih ni. nak makan balik kg la jwpnya...nak buat sndiri xde daun pisang lgpon cik abg xmakan....menara koci hehehe

Leave a Reply