Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Showing posts with label Resipi Idola. Show all posts

SWISS ROLL CITARASAWAN

Saya menaip ni sambil menonton muvi 3 Idiot. Lega bila dapat download cerita ni sebab saya pernah mencarinya di kedai CD tetapi tak adalah pulak. Ni kali ke dua menonton yang downloaded version tu. Kenapa ntah cerita industan yang satu ni menjadi antara muvi kesukaan saya. Ada dua muvi yang sangat-sangat buat saya tacing meleleh-leleh. Satu lagi Forrest Gump. Gila ah nangis sampai boleh dengar ke Bandar Acheh. Heh? Acheh ya..
Lama juga bercuti buat kek. * Ayat biasa nak bagi pencerahan walaupun tidak diperlukan, bukan apa have to be a bit deffensive agar sekalian makhluk tidak menghukum kerana asyik menghayun dagu menggunakan buai letrik. Hargh!

Dan agak lama juga ambil masa nak buat swiss roll  ala-ala sentuhan tak pernah kecundang dari Kak Wan. Tapi kali ini saya tak strawberrykan dia, saya lorek-lorekkan cintamu cintaku gitu. :). Lepas dah terer melorek-lorek bagai ni bolehlah dilukis sesuka hati. Gambar stadium boleh, gambar serigala jadian pun takde hal, okeh?

Bahan-bahan:
Saiz loyang 10 x 10 in
Sumber : Kak Wan (Citarasawan)
Bahan A
3 biji kuning telur
75g gula kaster 
40ml minyak jagung/butter yang dicairkan
50ml air 
80g tepung gandum
1-2 titis esen vanilla

Bahan B
3 biji putih telur
1/2 tsp cream of tar tar
2 tsp gula halus

Bahan/keperluan  lain
Pewarna kesukaan
parchment/baking paper
marjerin
piping bag
Filling kegemaran (saya gunakan cream cheese filling-seperti cream red velvet cake) 
Cara-cara:
  • Sediakan loyang.
  • Oleskan loyang dengan sedikit marjerin. Kemudian lapik dengan parchment paper/ baking paper. Ketepikan.
  • Pukul kuning telur dengan gula hingga kembang. 
  • Masukkan esen, diikuti dengan air dan minyak jagung. Pukul sebati.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Kacau rata dan ketepikan.
  • Pukul putih telur hingga berbuih.
  • Masukkan gula dan cream of tar tar dan pukul dengan kelajuan maksimum.
  • Pukul sehingga menjadi meringue ataupun bertanduk/soft peak.
  • Campurkan adunan tepung tadi (bahan A) ke dalam adunan putih telur. 
  • Kacau secara kaup balik (folded) hingga rata. Perlahan-lahan saja.
  • Ambik anggaran 2 sudu besar dan masukkan pewarna merah. Masukkan ke dalam piping bag.
  • Ambil lagi anggaran 2 sudu besar dan letakkan pula pewarna biru. Masukkan ke dalam piping bag.
  • Gunting muncung piping bag dan lorekkan bentuk love ke atas loyang. Gunakan ke dua-dua warna. Loreklah guane-guane pong!
  • Bakar seketika anggaran 1 minit atau sehingga permukaan love tadi menjadi agak kering. Pastikan oven telah dipanaskan terlebih dahulu.
  • Tuang adunan kek perlahan-lahan ke atas bentuk love tadi. Ratakan dengan spatula.
  • Hentakkan sedikit loyang untuk memastikan adunan rata.
  • Bakar kira-kira 10-15 minit atau sehingga masak. 
  • Sejukkan sebentar sebelum digulung.
  • Apabila telah sejuk, terbalikkan loyang. Tarik baking paper perlahan-lahan.
  • Terbalikkan semula dan letakkan filling. Semasa proses untuk menterbalikkan kek, gunakan apa-apa barang (dulang/tray) untuk menampung kek untuk mengelakkan kek patah/terbarai.
  • Ratakan filling.
  • Gulung kemas-kemas. Perlahan-lahan ye untuk mengelakkan kek patah.
  • Proses menggulung kek boleh juga menggunakan baking paper/kertas minyak ataupun tuala dapur yang bersih.
  • Bungkus swiss roll dengan baking paper/kertas minyak dan sejukkan sebentar dalam peti ais sebelum dipotong.
Nota untuk Cik Martha ataupun Ahkak Rachel Ray,lukis love tu biar kecil-kecik ye, baru comel. Jangan buat dabak-dabak macam yang kat atas tu taw!

RENDANG AYAM MENANTI




Selain sambal tumis standard geng kamcing untuk nasi lemak, saya juga merendang semalam. Serampang dua mata. Boleh makan dengan nasi lemak dan juga ketupat palas. Hidangan menunggu kepulangan Sang Arjuna, ihhh!



Rendang saya memang tak boleh tanding rendang Cikgu Azimah, rendang dia memang sudah berada di kelasnya yang tersendiri. So bila masak rendang saya memang akan rujuk dia. Bila musim perayaanpun, kami adik beradik yang lain SIBUK dengan  tugas masing-masing (walaupun kenyataan ini kurang tepat, hurmm), dan kerja-kerja merendam  merendang akan diserahkan sepenuhnya pada dia. 


Bahan-bahan:
1 ekor ayam
Santan pekat (anggaran 6 cawan - daripada 2 biji kelapa)
*5-6  ulas bawang merah 
*1 labu bawang besar 
*3-4 ulas bawang putih
*2 inci halia
*2-3 inci lengkuas
*2 inci kunyit hidup
*1 sudu teh jintan manis
*1 sudu teh jintan putih
*1 sudu teh ketumbar
*Cili padi
*3-4 batang serai
*4-5 tangkai daun limau purut
2 keping gula nisan
Kerisik (daripada 1/2 biji kelapa)
Sedikit sos cili, sos tomato dan sos tiram
2 helai daun kunyit (dimayang halus)
2-3 keping asam
Garam secukupnya
Minyak



Cara-cara:
  • Kisar bahan bertanda *. 
  • Tumiskan hingga naik bau. 
  • Masukkan ayam dan masak hingga turun air ayam. 
  • Masukkan santan, gula nisan dan asam keping. 
  • Jika kuah masih belum pekat dan ayam kelihatan sudah masak, keluarkan ayam dan masak hingga kuah pekat dan naik minyak. 
  • Bancuhkan kerisik dengan sedikit air dan masukkan ke dalam kuah. Masukkan juga sos. 
  • Masukkan daun kunyit. Seimbangkan rasa masam masin manisnya. 


TOMYAM SEAFOOD BERSANTAN CHEF PHAKDI


Tahun 2006/2007 merupakan tahun yang sungguh mengujakan dalam kerjaya saya. Saya ditugaskan dalam bidang yang  100% berbeza dari kelulusan dan juga pengalaman saya sebelum-sebelumnya. Keselamatan dan kebersihan makanan. Hurm ada perkataan makanan, memanglah  I like like like.


Berkenalan dengan orang-orang hebat dalam industri makanan, bermula dari pegerai sampailah ke jawatan-jawatan tertinggi di hotel-hotel terkemuka. Best betul bila asyik dapat makan free kat hotel dan kita dilayan bagai VVIP. Yang kurang best bila kena menyelami hamis hanyir hingga ke susur longkang gerai dan juga kedai makan. Tapi mak ok jer!


Salah seorang dalam 'kenalan' saya tu adalah Chef Phakdi. Anak jati Golok yang pekat betul skiping Kelantan walaupun merata restoran terkemuka dunia dia telah menabur bakti . Dia tidak terkenal di Malaysia. Tetapi dia telah membina empayar dan jenamanya sendiri di merata dunia. Bila tengok resume dia, wow! Bukan calang-calang orang dan terlalu kerdil pula rasanya saya bila ditugaskan untuk menilai dia.




Banyak yang dia kongsikan. Salah satunya resepi tomyam ini. Ini yang paling ringkas dari dia. Yang penting banyak tips yang berguna. Contohnya, jika buat tomyam, seafood kurang menyengat jika digandingkan dengan binatang darat. Sotong pula sebenarnya tidak ngam bila disatukan dengan udang. Banyak lagi. Banyak juga yang dah dibawa angin lalu. Mokcik lupa! Sowi...


Tomyam ni memang menyengat. Kena hirup perlahan-lahan. Jika tidak boleh tersedak dibuatnya. Mulalah tuduh orang tu, orang ni sebut-sebut nama kita. Padahal gelojoh tak hengat.

Bahan-bahan:
Sumber : Chef Phakdi
Saiz hidangan: 1-2 orang

2 ekor sotong bersaiz besar
Cili api
2 batang serai
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2-3 inci lengkuas
Daun limau purut
1-2 batang daun kesum
Asam keping
1 cawan santan
1/2 cawan hirisan kelapa muda  (yang ala-ala berhingus tu)
Daun ketumbar
1 biji tomato
2 sudu besar pes tomato
Garam dan perasa
Pes tomyam
*Cara Chef Phakdi : masak hingga pekat stok kepala udang, cili kering dan serai yang dikisar  halus

Cara-cara:

  • Tumbuk bawang merah dan bawang putih. Tumiskan hingga garing. Masukkan serai, lengkuas dan daun limau purut.
  • Masukkan sedikit air dan pes tomyam.
  • Seterusnya masukkan santan, sos tomato, cili api dan asam keping.
  • Masukkan pula sotong, isi kelapa dan tomato. Koyak-koyakkan daun ketumbar dan daun kesum dan masukkan sekali.
  • Seimbangkan rasa masam masin pedasnya. Perahkan asam limau semasa menghidang untuk lebih rasa masam.

*Tomyam yang kaw adalah bila kita hirup sekali semua rasa akan menerjah tekak. Masam, masin, pedas dan sedikit manis. Sila sediakan tisu banyak-banyak sebab nanti  ari hidungpun boleh menitis dalam mangkuk. Mulalah pelik kenapalah tak habis-habis tomyam dalam mangkuk tu.Kehkeh.  



MEE REBUS CHEF WAN@AFC


Tekak naga saya memandai-mandai meletakkan bench mark yang  tinggi untuk mee rebus.   Entah kenapa.  Dah naga, nak buat macam mana.  Jika lokasi terkini saya di Johor, memang tak ada masalahlah untuk mencari mee rebus yang sedap.  Macam mencari nasi dagang  yang lazat di Terengganu atau Asam Pedas Ikan Patin di Pahang. Mungkin yang paling tak sedap di sana tapi bila tiba ke Lembah Kelang ni, terus menjadi kegilaan.


Saya rasa mee rebus di Kedai Linda Onn, biasa-biasa saja.  Adalah beberapa kedai underdog di Bangi dan Kajang ni, bolehlah tahan. Yang saya tak tahan, mee rebus ex office mate. Mee Mak Mas. Hiks. Sedap siot mee rebus dia. Masaklah sekuali, sekawah, rasanya tetap sedap. Apa yang dia letak  sampai saya jadi angaupun tak tahu.
Banyak juga resepi di internet saya cuba, tapi sesetengah resepi ada yang  letak kacang tanah, tak letak udang kering. Ada tauchu tak ada rempah kari. Begitu sebaliknya.  Bila menonton Chef Wan masak mee ini di AFC, macam-macam dia letak. Mokcikpun meraban-raban cari pen, terus salin. Sebab sebelum ni, jika baca buku Chef Wan, resepi mee rebus dia tak sama dengan yang disiar di AFC.  Ngelat betul!
hurmmmm...

Bahan-bahan Mee dan Aksesori:
Sumber : Chef Wan @ AFC
Saiz hidangan: 3-4 orang

1 bungkus mee kuning (celur, basuh dan toskan)
2 keping tauhu- goreng dan hiris nipis
Taugeh- dicelur
Daun sup
Telur rebus
Cili besar- dihiris nipis
Bawang goreng
Limau kasturi/limau nipis
harghhhhh......

Bahan-bahan kuah:
2 mangkuk kecil  daging
1 kg tulang
10-12 ekor udang
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
3-4 sudu besar  cili kisar
2 sudu besar rempah kari
2  biji ubi kentang  sederhana besar – rebus dan dikisar
1 batang carrot – rebus dan dikisar
1 biji ubi keledek – rebus dan dikisar
Segenggam kacang tanah – sangan  dan ditumbuk/dikisar
2 sudu besar tauchu - kisar
1 ½  sudu besar udang kering
Garam
Gula Melaka
Bawang goreng
Minyak
Air
 Phewww!!! 

Cara-cara:
  • Tumbuk/kisar bawang merah, bawang putih, halia dan udang kering. Tumis bersama cili kisar.
  • Bila sudah garing, masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air.
  • Biarkan garing dan naik minyak.
  • Masukkan tulang, daging dan air. Renehkan.
  • Masukkan tauchu dan kacang tanah. Juga gula Melaka.
  • Peserta seterusnya adalah kentang, keledek dan carrot. 
  • Masukkan udang dan biarkan seketika. Seimbangkan rasa sedap dan lazat.  Kalau tak sedap, memang aku insan yang lemah hanya mampu berserah. Kuikui. Biar sekata.  
  • Akhir sekali, masukkan bawang goreng, kacau sebentar dan tutup api.
mula...
tamat..

Mee Kari Cikgu Azimah


Ini memang resipi yang wajib ada dalam koleksi saya. Tidak boleh tidak. Dalam sebulan pasti 4-5 kali saya memasaknya.  Ianya kegemaran sekeluarga. (sila remove nama anak-anak saya dalam list pencinta mee ini ya!). Jika tidak, masakan saya yang masih anggun dalam persalinan raya bling bling sedap-sedap je dikerah oleh adik ipar kurang kurus untuk memasaknya untuk dijamu sahabatnya. Ganjarannya, dia rekalah cerita bahawa ayah rakannya itu makan bertambah-tambah. Walhal orang tu entah seharian tak jumpa makanan jadi mestilah terasa nak melahap lagi dan lagi.  Tergamak dia membuli kakak ipar kesayangannya ini. Huh!

Ini signature dish Cikgu Azimah. Jika berkumpul adik-beradik, pasti Arjuna saya tanpa segan-silunya meminta saya sms Cikgu Azimah untuk sediakan mee ini.  Mak saya sendiri memuji mee kari Cikgu memang terbaik. Jadi saya terpaksa akur dengan keajaiban sentuhan si kurang kurus seorang lagi tu. Mungkin mana-mana resipi tidak banyak bezanya, tapi dah kakak kitakan, mestilah kita puji lebih berbanding orang lain. Keh keh.

Bahan-bahan mee dan aksesori:
Sebungkus mee kuning (celur,cuci dan toskan)
2-3 keping tauhu (goreng dan hiris nipis-nipis)
Limau nipis atau limau kasturi
Bawang goreng
Telur rebus
Daun bawang/ daun sup diracik halus
Cili besar – hiris nipis

Bahan-bahan kuah:
1/2 kg daging
Kerang untuk tambah darah ibu mengandung
10-15 ketul chicken ball (biasanya saya gunakan jenama Farmbest atau Ayamas)
Segala binatang laut selain dugong dan paus juga boleh dimasukkan
Tauhu kering
6 cawan santan (daripada 2 biji kelapa- perah dengan airnya)
7-8 sudu besar cili kisar
*1 labu bawang besar
*4-5 ulas bawang merah
*1 ½ inci halia
3 batang serai (dittik)
6 sudu besar rempah kari (saya in love dengan jenama Babas dan Allagapas)
Segenggam ikan bilis (rebus dan blend hingga lumat)
1 keping gula Melaka
1-2 keping asam
Daun kari
minyak untuk menumis
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-cara:
  • Tumis bahan bertanda * hingga garing. Masukkan cili kisar dan biar betul-betul garing.
  • Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air dan daun kari.  Biarkan reneh dan betul-betul masak dan naik bau hingga jiran sms tanya tengah masak apa.
  • Masukkan daging dan masak hingga turun airnya. 
  • Seterusnya bolehlah dimasukkan santan, dan bahan-bahan lain selain tauhu kering. Tidak perlulah mengikut aturan dan buat-buat skema sangat. Maklumlah kerja-kerja menjeling resipi memang membuatkan ramai orang meluat untuk ke dapur. Jadi untuk memudahkan cerita, masukkan binatang laut yang telah sedia untuk dikorbankan mengikut aturan lambat atau cepat masaknya. Juga apa jua yang tersenarai dalam resipi di atas kecuali tauhu kering.
  • Bahan terakhir yang perlu dimasukkan barulah tauhu kering.
  • Tunggu sajalah hingga kuah masak dan jadi sedap mengikut  standard tekak raja. Nak manis macam orang Pasir Emas, tambah gula lebih. Nak berani kena check tekanan darah tiap-tiap bulan, bubuhlah garam barang 4,5 genggam.
  • Dah selesai,  rasa dan hidang cantik-cantik bagi suami makan. Jika QA kata ok, minggu depan ajaklah kawan-kawan office datang untuk menghirup kuah mee puanss sekalian hingga ke titisan terakhir.