Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Showing posts with label Nasi. Show all posts

NASI GORENG SERUNDING IKAN

Selesai bersantai-santai dua minggu tak lebih tak kurang, kini kembali ke kehidupan gi mari gi mari yang nampak seolah-olah sibuklah sangat  seperti seorang CEO sebuah Yayasan. Padahal saya dok pi mai pi mai dengan gaya paling selebet sambil dok merayau Bangi-Kajang-Kajang-Bangi kadang-kadang tak ketahuan hala arah tujuanpun. 

Nuhaapun dah kembali ke hostel. Mama yang muka tebal macam kulit kaki ni selamba hippo Gloria Madagascar je melolong-lolong berjurai-jurai air mata depan gate LCCT ngantor anak balik sensorang ke hostel. Ceh tak ada jiwa perwira langsung ini mama!

Soklan, sapa suruh anto jauh-jauh?  Errrr.
Mood di dapur macam baru diasuh. Gigil-gigil je mood baru datang. Lupa asam jawa kat mana, ubi kentangpun dah tumbuh rimbun macam alam flora dan fauna kat dasar kabinet. Mujur garam dan kicap sifatnya berlawanan sungguh-sungguh hati, kalau idak, mahu kena bukak google image untuk bezakan mana garam mana kicap. * Tapikan, kalau dah agak-agak garam ngan kicappun tertukar, mohon-mohonlah sedekahkan saya bacaan Yaasiin banyak-banyak, boleh? Hukhuk.

Nasi goreng versi tahap kemalasan yang maha dahsyat  tapi tengah lapar yang maha dahsyat. Balik berkelana anak beranak, rumah tinggal kosong tanpa makanan. Yang tinggal kat rumah, cuma TV dengan bil letrik yang belum bayar je, yang lain semua tak ada. Maka, kriung krianglah menggoreng nasi untuk alas perut kunun-kununnya sebab lepas ni terasa nak beli ayam 'musing' dua ekor nak ngap sensorang. Heks


Bahan-bahan:
1 cawan nasi sejuk
1 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
2-3 ulas cili api
2-3 sudu serunding ikan
sayur-sayuran sesuai (saya campakkan batang celery)
1 biji telur
Garam secukup rasa


Cara-cara:
Pacu laju-laju masa menggoreng tu sebab kalau menggoreng dengan sangat berhemah itu akan terserlah ketidak machoaan kamoos. Heeeee



NASI LEMAK TERENGGANU

Nak nangis! Nasi lemak yang paling jiwang dari saya. Sebab ini antara hidangan emak yang paling saya tak akan 'berwaspada' langsung bila mengadapnya. Akan digunakan tanpa was-was.

Bila emak buat  nasik lemak episod 'temasya kampung pisang' ni, Atikahlah orang yang paling rajin. Rajin ambik daun pisang je! Bungkus ala-ala makan kat kedai gitu. Huh dia ingat sedap sangat nasi lemak kedai.
Nasi emak lemak dengan kasih sayang,penuh kontroversi juga sebab bila tak cukup akan saling berebut macam anak burung.

Sebenarnya Makcik Kedek nipun bukan sesaja nak cipta kontroversi berkenaan 'tempat lahir' nasi lemak ni. Tapi dinamakan begitu sebab nasi lemak yang disediakan  emak yang berasal dari Terengganu. Heeee. 
Nasi lemak berlaukkan ikan tongkol ni mungkin asal-usulnya dari Barbados ataupun Tunissia. Tapi yang saya pasti di Terengganu lebih popular nasi lemak dihidangkan dengan sambal ikan tongkol ni.  Tak gitu orang gganu?
Hai rakan, takkan tak rasa nak nangis tengok nasi lemak 'airport' ni. Bawak duit berjuta-juta nak pergi melencong, tapi bukak bekal nasi pulok! Maid Indonpun beli Delifrance tau buat sarapan kat dalam epot. Ngehngehngeh.

Bahan-bahan:
3 cawan beras 
Santan secukupnya
Secubit dua garam
Secubit dua gula
Daun pandan
*Boleh juga masukkan halba untuk meningkatkan lebih aroma

Cara-cara:
  • Himpunkan semua zarah-zarah kasih sayang dalam badan dan masaklah nasi dengan cara meluahkan sayang mengikut citarasa anda. Eceh!
Bahan-bahan Sambal Tumis Ikan Tongkol:
4-5 ketul ikan tongkol
9-10 keping asam gelugor
2 senduk sederhana cili kisar
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1/2 labu bawang besar
Gula nisan
Garam secukupnya
1 labu bawang besar (untuk hiasan)
Minyak
Cara-cara:
  • Rebus ikan dengan air yang minimum. Masukkan asam keping dan garam. Tambah air dah biar ikan masak dengan api yang kecil. * Makin lama ikan direbus/kukus, akan wow rasanya kerana rasa masam dan masin meresap jauh ke isi ikan. 
  • Goreng ikan yang direbus tadi dan ketepikan. Tak perlu terlalu garing.
  • Tumbuk bawang putih, bawang merah dan bawang besar. 
  • Dengan menggunakan minyak untuk menggoreng ikan tadi, tumis bersama cili kisar hingga garing dan naik minyak.
  • Masukkan gula nisan, dan air rebusan ikan. 
  • Seimbangkan rasanya. Masukkan ikan dan bawang besar. Masak lagi hingga bawang layu.
Mak! terima kasih sebab suap saya dengan makanan yang sedap-sedap. Nasib baik saya bukan anak Vincent Tan, walaupun kaya tapi mesti saya tak merasa menikmati kebahagian hidup yang sebenar!
Mohon semua ambil iktibar dengan 'amaran' petang semalam. Ini bukan kisah dongeng, buatlah sesuatu sebelum terlambat. 


Saya petik dari wall Ustaz Azhar Idrus petang semalam : TSUNAMI = Tuhan Suruh Umat Nabi Muhammad Insaf. Mari audit diri kita ye laling-laling semua. :)

NASI GORENG CENDAWAN SHIMEJI


Nasi goreng untuk dinner? Itu menu biasa untuk Sang Arjuna saya. Entah kenapa bila weekdays, dia tak suka makan nasi putih untuk dinner. Pulak. Saya pun sama, tak suka juga makan nasi putih SAJA untuk BBLTDS. Kalau lauk dah keliling meja, ai suka aje. Huhu. *Maaf tahun ini bukan tahun diet saya, mungkin di tahun-tahun mendatang azam itu akan kembali? kita tunggu. Bluwekss


Biasanya bila buat nasi goreng cendawan, saya prefer guna cendawan shimeji ni. Sebabnya tentulah rasanya yang sedap. Kenyal-kenyal tu yang best. Sang Arjuna pun nampaknya menambahkan kelajuan suapannya bila saya buat nasi goreng cendawan ni. Dengan lauk ikan atau ayam sambal. Kena longgarkan ikatan kain pelikat. Ingatkan ada 'acara' apa. Mak belum readylah pulak. Kehkehkeh. 

Rupanya untuk beri laluan kepada nasi-nasi masuk ke perut dengan aman. Heeee


Bahan-bahan:
Saiz hidangan : 2 pinggan

2 1/2  cawan nasi sejuk
1 ketul isi ayam * boleh juga digantikan dengan binatang laut seperti udang atau sotong 
7-8 ulas cili padi/cili tomyam
3 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1/2 paket cendawan shimeji
1 batang celery
1 tampuk baby cabbage
1 biji telur
Kicap cair
Sos Lea & Perrin
Garam
Seasoning ketchup
Minyak


Cara-cara:


  • Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih dan cili api. Tumiskan hingga naik bau. 
  • Masukkan isi ayam dan kacau sebentar. 
  • Masukkan garam dan percikkan sos, seasoning ketchup dan kicap cair. 
  • Pecahkan telur dan kuatkan api untuk membangkitkan aroma seperti nasi goreng gerai.
  • Masukkan nasi dan kacau rata. 
  • Seterusnya masukkan batang celery, cendawan dan baby cabbage. Kacau sebentar dan tutup api.


NASI GORENG JANGAN MEMBAZIR


Ingatkan habis nasi ayam 4 cawan makan 6 orang, rupanya ada lagi tinggal segenggam keesokan harinya. Kecik kenot betul rupanya perut orang-orang dalam rumah saya ye. :P


Dah pukul 10.30 pagi, baru je satu perkara saya jamah. Biasanya kalau jam-jam sebegitu dah 14 benda dah dilahap dengan kejam. 


Laparla! Nasib baik ada nasi ayam segenggam, baik digoreng je. Campur nugget dua ketul, pun yang semalam. Sardin ada seketul baki buatkan sandwich untuk Sang Arjuna bawak bekal. Itulah konsep sebenar nasi goreng kan? Semua left overs campak masuk dalam kuali,  lepas tu pakat kerumun macam semut kerumun air sirap tumpah. 


Bahan-bahan:
1 genggam nasi ayam semalam 
2 ketul nugget semalam (potong kecil)
1 ketul sardin (lenyekkan)
1 biji telur
Sayur-sayuran yang sesuai (saya campak 3-4 keping daun salad, pun yang semalam)
1 ulas bawang putih
2-3 sudu besar cili kisar
Garam
Minyak


Cara-cara:

  • Tumbuk bawang putih, tumis bersama cili kisar hingga garing. 
  • Masukkan telur dan kuatkan api dapur  untuk mendapatkan aroma nasi goreng gerai. 
  • Pecah-pecahkan telur, masukkan garam. 
  • Masukkan nasi, nugget dan sardin. Masukkan sayur dan kacau sebentar. 


Nasi goreng siap. Memang menggiurkanlah!



NASI AYAM & AYAM GORENG BEREMPAH



Jarang ada tetamu yang berkunjung pada pertengahan minggu. Tapi tetamu yang ini lain, saya yang paksa dia berkunjung. Desperado sangat sebab tak ada geng untuk layan berborak. Kalau berborak dengan anak-anak, endingnya dah tau macam mana. Ariff! letak gelas dalam sink, Nabiha jangan sepah!, Nuhaa kutip baju atas lantai tu! Mama the monster!



Tapi itulah, kuasa untuk menghasilkan suara yang tinggi dan nyaring, lengkap dengan note soprano dan vibrato segala bagai bukan senang nak dihasilkan. Emak-emak je yang boleh buat. Itu belum masuk teknik-teknik mumbling ngan whistling lagi tu. Ai, macam baru balik dari kelas Syafinaz pulak  aih!

Bila buat nasi ayam, saya prefer gabungan nasi dengan ayam goreng berempah. Macam sejoli je. Kali ini buat ringkas-ringkas saja, bahan-bahanpun limited. Kalau bahan-bahan tak limitedpun, saya memang masak ringkas-ringkas juga. Bukan apa, kalau masak hebat-hebat sangat nanti, siapa yang makin mekar meranum? saya jugak. :)



Lagi satu bila buat nasi ayam ni, terus tak perlu fikir gabungan lauk apa yang kena dan sesuai. Kalau masak nasi putih, naka kena pastikan, kuah kari sesuai dengan sayur apa, ikan sambal ngan dengan sayur macam mana. Ecetera, ecetera.  Sakit kepala akak tau tak, so bila buat nasi ayam, selesai masalah.



Bahan-bahan nasi:

4 cawan beras ( 1 cawan beras wangi dan 3 cawan beras basmathi)
Air rebusan ayam secukupnya
2-3 sudu butter (kali ini nasi saya macam kurang warna, selepas ini saya akan tambah marjerin untuk warna yang lebih menyerlah)
1/2 kiub pati ayam Maggi
1-2 helai daun pandan
Garam dan secubit gula
1-2 inci halia (hiris nipis)

Cara-cara:
Basuh beras hingga bersih. Toskan. Masukkan bahan-bahan yang lain dan masak hingga baunya menyelubungi sekalian alam. 





Bahan-bahan untuk ayam goreng berempah:

1 ekor  ayam
2 1/2 sudu  teh ketumbar*
2 1/2 sudu teh jintan manis*
2 1/2 sudu teh jintan putih*
8 batang serai*
Sedikit kunyit hidup*
1 labu bawang besar *
3-4 inci halia*
5 ulas bawang putih*
Garam
Minyak

Cara-cara:
  • Kisar semua bahan bertanda *, masukkan garam. 
  • Perapkan pada ayam kira-kira satu jam. Goreng dengan api yang perlahan. *untuk menghasilkan habuk gorengan ayam yang berjurai-jurai, jangan potong serai terlalu halus. Untuk satu-satu batang serai tu, cuma potong dua atau tiga bahagian saja, Jadi bila dikisar, ia akan jadi bertali-tali yang lebih panjang.


Bahan-bahan sos cili:
*3 biji cili besar
*1 biji tomato
*1 ulas bawang putih
3-4 sudu cili kisar
air asam jawa
Garam dan gula
2-3 sudu apple cider vinegar

Cara-cara:
  • Kisar bahan bertanda *. 
  • Campurkan dengan cili kisar dan masak dengan api perlahan. 
  • Masukkan air asam jawa, apple cider vinegar. 
  • Perasakan dengan garam dan gula. Masak hingga pekat.

NASI LEMAK KASIH SANG SELASIH



Pagi-pagi saya bangun memang bertekad nak masak nasi lemak.  Ceroboh blog Bundo kebetulan ada pulak nasi lemak Shrek. Hehehe. Lagi berkobar-kobar nak masak  sebab Ariff akan  ulang makan sampai 3 kali.   

Macam-macam ramuan orang letak untuk create something new and fresh  dalam sejarah penciptaan nasi lemak.  Saya tetap dengan nasi lemak klasik. Cuma kali ini, terasa nak letak daun selasih yang diragui akan  semakin layu menyembah bumi jika tidak digunakan. Fuh! wangi betul bau nasi lemak saya. Bangkit aromanya. Gabungan pandan dengan selasih memang kena betullah. Terus semangat nak tanam pokok ni datang semula selepas gagal dengan gahnya beberapa kali sebelum ini. Huuu.


Dan, graf mengada-ngada nak letak nama perasan-perasan mewah gitu naik mendadak ke tahap yang tak boleh diselamatkan. Bolehss blahss!


Bahan-bahan:
3 cawan beras
Santan (daripada 1 biji kelapa -saya perah menggunakan air kelapa)
1-2 helai daun pandan
1-2 tangkai daun selasih
Garam secukup rasa
Secubit dua gula



Cara-cara:

Masaklah dengan jiwa yang paling paling paling penuh dengan kasih berbanding hari-hari lain dalam hidup. ;)



NASI DAGANG DAN GULAI IKAN TONGKOL




Hari sabtu sebelum raya saya ke pasar seorang diri. Sambil berjalan sambil melayan perasaan. Beli ikan tongkol 2kg, ayam dua ekor. Sambar juga daun palas 2 ikat. Bila balik ke rumah, nak bersihkan ayam, tengok-tengok kenapa bahagian paha ayam ada enam, kepakpun sama. Kira semula semua bahagian, sah ayam ada 3 ekor!. Adoii, sambil berangan tak perasan budak tu hulur plastik siapa punya, terus masukkan dalam troli. Nanti saya datang bayar untuk yang terlebih tu dik ya. Siapalah empunya yang tak cukup tu, mesti dah bayar untuk 3 tapi bawak balik dua. Maaf!





Bila masak nasi dagang mesti saya jadi sayu dan syahdu. Tambah lagi syahdu bila beraya empat beranak sementelah Sang Arjuna  masih belum kembali dari berpergian. Dan jadi lagi syahdu  bila teringat zaman kanak-kanak  apabila emak bersengkang mata menyiapkan bergantang-gantang nasi dagang yang ditempah orang. Sambil masak gulai, sambil bungkus ketupat.  


Melayan rasa syahdu saya ni, hari ini saya masak nasi dagang. Semangat untuk memasak timbul juga sebab anak sedara becok akan bertandang menyepahkan rumah hari ini. Malam tadi sambil masak gulai ikan, sambil buat kek. Ambil semangat emak yang boleh buat 2,3,4,5 kerja dalam satu masa. 






Bahan-bahan nasi:
Saiz hidangan : 9-10 orang

1 cawan beras pulut (basuh bersih dan rendam semalaman)
5 cawan beras wangi
Santan pekat-anggaran 5-6 cawan (daripada 3 biji kelapa-saya perah dengan air kelapa)
Garam dan gula
2-3 helai daun pandan
2-3 ulas bawang merah (mayang halus)
2-3 inci halia (mayang halus)
2 sudu teh halba  (rendam sebentar)


Cara-cara:


  • Basuh beras wangi dan campurkan dengan beras pulut. Gaul rata. 
  • Kukus hingga naik wap. Kacau nasi sekali-sekala. Sementara itu masak santan dengan api perlahan. Masukkan simpulan daun pandan, garam dan secubit  dua gula. 
  • Masak hingga mendidih kecil. Tutup api. 
  • Keluarkan nasi dari pengukus. Seelok-eloknya masukkan dalam bekas yang besar kerana memudahkan proses menggaul nasi. 
  • Masukkan santan sedikit demi sedikit hingga nasi  kelihatan kembang dan lembut. Kukus semula hingga nasi masak. 
  • Jikarasa nasi masih keras ketika mengukus kali kedua, percikkan santan dalam pengukus dan kacau rata. Kukus hingga masak. 
  • Angkat nasi dan gaul segera dengan halia, bawang dan halba. 






Bahan-bahan Gulai Ikan:

1 1/2 kg ikan tongkol putih 
Santan daripada 2 biji kelapa
2 senduk kecil cili kisar
2 inci halia
7-8 ulas bawang merah
2-3 inci lengkuas
3 sudu besar rempah nasi dagang*
1/2 sudu besar rempah gulai*
Asam keping
2 keping gula nisan
Garam
Cili api


*rempah nasi dagang dan rempah gulai boleh didapati dengan mudah di Terengganu. Jika ke Pasar Payang, banyak jenis campuran rempah dijual. Ada yang telah siap dipack dan ada juga yang akan dicampur semasa kita nak membeli. 








Cara-cara:



  • Rebus ikan dengan api perlahan. 
  • Masukkan anggaran 10 keping asam  dan garam. Hasil yang diinginkan adalah rasa ikan yang cukup masam dan masinnya. Untuk rasa ikan yang lagi sedap dan sesuai dibuat gulai seelok-eloknya rebus ikan lebih awal.  
  • Tambah air lagi semasa proses mengulang merebus ikan dan rasa masam dan masih akan meresap elok ke dalam ikan. 
  • Kisar bawang, halia dan lengkuas hingga hancur. 
  • Masukkan ke dalam santan. Masukkan juga cili kisar. 
  • Bancuh rempah nasi dagang dan rempah gulai dengan sedikit air. 
  • Masukkan ke dalam santan. Kacau rata. Masak dengan api perlahan. Sebaik-baiknya masak dalam kuali kerana jika kuah meruap ianya tidak akan tumpah seperti masak dalam periuk. 
  • Apabila gulai telah mendidih, masukkan ikan bersama air rebusan dan asam kepingnya sekali.
  • Masukkan cili padi untuk menambahkan kepedasan.
  • Masukkan gula nisan dan masak hingga naik minyak. Perasakan dengan garam jika rasa masin dari ikan masih kurang mencukupi. 





NASI KERABU



Bila terpandang je bunga telang ni membiru di nursery bunga Pasar Borong Selangor, hati saya terpanggil je nak masak nasi kerabu. Tetapi walaupun teringin, kena tengok praktikalitinya juga. Menyeksa badanlah pulak bila hanya saya seorang saja dalam rumah ni nak makan, lepas tu bersusah-payah nak memasaknya.  Baik beli nasi kerabu Wan Atiq je.

Kagum saya bila Arin boleh memasak nasi kerabu yang 85-90 peratus asli. Ada rasa dan ada jiwa. Siap boleh dijamukan pada tetamu pada open house lagi. Hebat tu.  Setahu saya, selama kami  berkawan, dia hanya pandai buat duit untuk bank saja.

Ini kali pertama saya masak nasik kerabu. Hehehe.  Hampess, baru nak mengaku.

Bila Adik Puncak Alam beritahu dia nak datang, terus saya teringat untuk masak nasi ni dan mestilah 100% dia setuju. Saya beli bahan-(agak-agak)  dan dengan semangat jitu dan kental terus berusaha sedaya upaya.  Cuma sedikit terkilan bila cili yang digunakan untuk buat solok lada, tiada dijual di pasar sini. Takkan nak ke Pasar Payang pulak dengan tak mandi tu. Bila tiba nak buat sambal kelapa dan kuah tumis, (?) sambal tumis (?), penumis (?) (saya tak pasti nama sebenarnya) tak reti ghupenya!. Lupa nak cari resepinya siap-siap.  Heeeeee. Malas betul nak menggodek internet, so suruh ajelah adik saya call kakak iparnya. Nasib baik bahan yang saya beli tu menepati tekaan saya, jadi tidaklah tertewas di pertengahan jalan usaha nak buat nasi ini.
Kakak ipar dia memang superb lah kalau bab memasak ni. Semua memukau hati, menambat rasa. Jadi dengan panduan bahan-bahan yang dia beri, sayapun tanpa menoleh ke belakang lagi, teruskan usaha hingga jaya.
Nak tahu rasanya? Huishh, lepas ni gulung tikarlah  penjual nasik kerabu kat pasar malam!

Bahan-bahan Nasi:
(Saya adaptasi dari nasi kerabu yang selalu dibeli di pasar malam)
3 cawan beras
Secekak bunga telang (direbus dan diambil airnya) * lagi banyak lagi membiru warnanya
1 batang serai
4-5 helai daun limau purut
Daun pandan
Garam secukupnya
Secubit gula

Cara-cara:
  • Masukkan air bunga telang ke dalam beras. Jika tidak cukup, tambah air biasa. 
  • Tanak seperti menanak nasi putih.
  • Juga sertakan dedaunan pandan dan limau purut. Tidak lupa serai yang telah dititik sedikit. 
  • Jika berhajat untuk makan nasi ini dengan telur masin, masukkan telur masin ke dalam periuk dan masak bersama. Perlu berhati-hati semasa proses mengacau nasi kerana takut telur pecah.


SAMBAL KELAPA
Sumber  resepi: Ngah Semenyih
Bahan-bahan:
½ biji kelapa parut – digoreng hingga agak kering
3 ekor ikan selayang  (rebus dengan air yang minimum dengan sedikit garam dan asam keping)
3 ulas bawang merah- racik halus
1 ½ inci halia- racik halus
2 batang serai- racik halus
Garam dan gula secukupnya                             

Cara-cara:
  • Perisi ikan dan hancur-hancurkan.
  • Gaul ke dalam kelapa hingga sebati dan rata.
  • Masukkan bawang merah, halia dan serai. Gaul rata.
  • Perasakan dengan garam dan gula.


KUAH TUMIS
Sumber resipi: Ngah Semenyih                    
Bahan-bahan: 
2 cawan santan pekat
*3 batang serai (2 batang dikisar dan satu batang ditetak  dititik)
*1 ½ inci halia
*1 ½  inci lengkuas
*2 ulas bawang merah
*½ inci Kunyit hidup
2-3 sudu cili kisar
Asam keping
Gula Melaka
Garam                                                                                                 


Cara-cara:
  • Kisar bahan yang bertanda *.
  • Campurkan bahan kisar  ke dalam santan. Gaul rata.
  • Masak dengan api perlahan.
  • Masukkan gula Melaka, asam keping dan serai yang dititik tadi.
  • Masak hingga naik minyak dan pekat. Seimbangkan rasa masam, masin dan manisnya.


DAGING BAKAR
Bahan-bahan:
300g daging
*3 batang serai
*2 inci kunyit hidup
*2 inci halia
Garam
Sedikit minyak

Cara-cara:
  • Kisar bahan yang bertanda *.
  • Potong daging  anggaran selebar 4 jari setiap satu.
  • Gaulkan bahan kisar pada daging. Masukkan garam.
  • Perap kira-kira ½ jam.
  • Percikkan dengan sedikit minyak dan bakar atas non-stick pan dengan api perlahan hingga daging masak.


 IKAN GORENG BERSALUT TEPUNG
Bahan-bahan:
3-4 ekor ikan kembung
4 sudu tepung beras
2 sudu tepung gandum
Garam
Sedikit kunyit serbuk
Sedikit air kapur
Air


Cara-cara:
  • Campurkan semua bahan kecuali ikan dan air.
  • Masukkan air sedikit demi sedikit hingga menjadi bancuhan seperti bancuhan untuk membuat pisang goreng.
  • Celupkan ikan ke dalam bancuhan dan goreng dengan minyak yang panas.
  • Bila gorengan mula mengeras, perlahankan api dan pecah-pecahkannya. Goreng hingga ikan masak.

ULAM-ULAMAN
Kacang botor
Taugeh
1 batang bunga kantan
2-3 pokok daun kesum
2-3 urat kacang panjang