Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive for August 2011

PENGAT PISANG



Bilalah agaknya ada pihak akan berusaha untuk memartabat dan mengantarabangsakan pengat pisang ni. Kesian makanan kebangsaan ni. Sedap tapi underdog. Tak apalah janji saya suka menikmatinya. Ada pelbagai cara untuk kita raikan bahagia. Ini salah satu cara saya.

Sebelum saya bergelar remaja purba sekarang, saya adalah gadis manis yang suka menambahkan kemanisan dengan benda-benda yang manis. Pengat pisang adalah kegemaran saya selamanya.
Lebih enak Pisang Bakar mengkal  dipengatkan. Saya tak pasti di kawasan lain pisang tu dipanggil pisang apa. Cuma yang saya pasti Pisang Bakar ni lebih kecil berbanding Pisang Nangka tapi pendek dan tidak gemuk macam Pisang Nipah. Yang sedang-sedang saja la tu. Dan satu lagi, pisang ni baik sebelum baligh, tua ataupun dan menopause  tetap evergreen gitu. Kulitnya tetap hijau.
Dah tak ada tu nak buat macam mana. Ah, kata di pasar borong mak bapak je tak ada jual, tapi saya cari bapak mentua saya dan pisang ni tak ada pun jual! Pisang Nipah, Pisang Raja, Pisang Berangan pun sedap.

Bahan-bahan:
4-5 biji pisang nipah mengkal
3 cawan santan
Satu genggam sago –rendam sebentar
2 keping gula Melaka
Gula putih secukupnya
Sedikit garam
2 helai daun pandan- koyakkan dan simpul

Cara-cara:
  • Belah pisang dan potong mengikut kesesuaian masing-masing.
  • Jerang santan atas api sederhana, masukkan semua bahan dan kacau perlahan-lahan untuk mengelakkan santan berbiji dan pecah.
  • Bila santan telah mendidih dan pisang dan sago telah masak, tutup api. Jika menggunakan pisang masak, sebaiknya dikukus sedikit pisang sebelum dimasukkan ke dalam santan. Ini untuk mengelakkan pisang dimasak terlalu lama dan pisang menjadi lembek dan masam.
Mari nikmati bahagia cara saya! Meh la.

CREAM PUFF


Bila makan cream puff, terus teringatkan salah seorang kawan saya yang paling cenge. Bila teringatkan Shaffe (yang cenge tu la),  tak ada lah pulak saya tengah makan cream puff. Zaman  belum pandai  menggunakan internet dulu , lenguh tangan menyalin resipi cream puff ni. Mak ai, panjang betul. Sebab  step masukkan cream puff ke mulutpun ada. Rupa-rupanya bila diteliti, penyediaannya ringkas saja. Bukan kategori makanan yang banyak hal atau sensitif untuk disediakan.
Dan, yang payah nak lupa, resepi mama Shaffe yang sangat lazat itu. Dari zaman Uni dulu, bila nampak kereta bernombor Seven Eleven datang ke kolej untuk berjumpa dengan anak cenge dia, hati sudah berbunga riang. Untung sabut, ada cream puff dibawa Mama Shaffe. Hurmm. Memang tak boleh lupa. Terus rasa nak jadi adik beradik Shaffe. Hihi.
Dan lagi, bila semua dah menjadi mama gedik, bila ada je gathering, Shaffe akan disambut riang oleh kawan-kawan bernafsu besar dengan cream puffnya. Tapi akhir-akhirnya si cenge tu dah semakin sibuk, jadi sudah lama pula tak merasa cream puff air tangan dia yang asyik menjinjing Gucci tu.
Entah macam mana, resepi Mama Shaffe hilang dari simpanan. Jadi tak dapat lah saya kongsikan resepi mamanya yang nyum nyum itu. Tak mengapalah. Resepi dari sini ini tidak kurang hebatnya. Manakala resepi untuk cream custardnya saya lebih prefer gunakan resepi Chef Micheal dari ICCA semasa saya hadiri kelas beliau beberapa bulan yang lalu. Custardnya agak sama dengan resepi-resipi yang lain, cuma cara penyediaannya saya suka sebab custard akan kurang berketul dan licin mulus saja. Best pulak tu.


Bahan-bahan puff:
Sumber : Joy Of Baking
140g tepung gandum
1 sudu besar gula
½ sudu teh garam
120g mentega
240ml air (saya gantikan 120ml air dan 120ml susu segar)
4 biji telur

Cara-cara:
  • Masak susu, mentega, gula dan garam hingga mendidih.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga membentuk bebola. Semasa bahagian ini, adunan sepatutnya tidak melekat pada periuk dan akan bergentel-gentel licin.
  • Tutup api dan biarkan sejuk sebentar. Apabila adunan sudah sejuk, masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar hingga kembang.
  • Masukkan ke dalam piping bag dan pipekan pada loyang yang telah dilapik parchment paper/silpad.
  • Bakar pada suhu 170 darjah C kira-kira 20-25 minit. Cream puff  ini akan mengembang jadi pastikan jarak yang selamat semasa dipipekan ke atas loyang.

Bahan-bahan custard:
Sumber : Chef Micheal (ICCA)
200g susu
60g gula castor + 30 g gula castor
 1 biji kuning telur
10g tepung gandum


10g tepung jagung


Esen vanilla
Cara-cara:
  • Masakkan susu dengan 60g gula castor dengan api sederhana hingga mendidih.
  • Pukul kuning telur dengan 30g gula tadi hingga sebati. Masukkan tepung jagung dan tepung gandum dan kacau hingga sebati.
  • Campur adunan tepung ke dalam susu dan masak hingga likat. Sentiasa kacau untuk mengelakkan custard berketul. Bila telah sejuk, bolehlah dimasukkan ke dalam puff. Manakala puff yang telah dimasukkan custard bolehlah dimasukkan ke dalam mulut.
Jangan segan silu. Mari!



AYAM TUMIS BERLADO



Antara benda yang kerap saya masak. Inilah. Tak kiralah bahan asasnya sama ada ayam, binatang laut seperti ikan atau isi perut lembu seperti paru, jantung atau lidah. Ringkas dan pemalas.
Dalam banyak-banyak jenis makanan yang Sang Arjuna saya suka, masakan Padang Indonesia. Kombinasi sambal dan kuah-kuahnya yang pekat macam selut membuatkan si dia makan dengan ghairah dan tak hengat. Antaranya sambal ijo dan sambal ini. Dengan nasi goreng, bihun goreng, apa-apalah. Mesti ada lauk ni. Lepas ni kalau dia mintak lauk ni untuk dimakan dengan bubur pulut hitam, memang sah-sah dia dah hilang kewarasan ataupun saya yang dah hilang pendengaran.
Apa yang saya perasan, kebanyakan sambal atau sambal tumis orang Indonesia menggunakan cili besar sebagai salah satu bahan utama. Teringat maid lama saya dulu, perangai macam haprak, tapi masakan dia perghhh, rasa nak buat adik ipar. Ini juga antara masakan wajib dia kalau dia ke dapur. Saya tiru dia, tapi since dia dah balik ke negara asal, saya tipu kata resepi ini saya yang punya. Kahkahkah. Kadang-kala buat perangai tidak berhati-perut ni memang best.
Bahan-bahan:
4-5 ketul ayam (perap sebentar dengan garam dan kunyit)
3 biji cili besar
2-3 biji cili api
1-2 sudu cili kisar
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
Air asam jawa
Garam/gula/perasa (saya selalu gantikan gula dengan gula Melaka ataupun gula perang)
Minyak untuk menumis dan menggoreng ayam
Satu labu bawang besar
Sebiji tomato

Cara-cara:
  • Goreng ayam hingga masak. Ketepikan.
  • Tumbuk kasar-kasar  cili besar, cili api, bawang merah, bawang putih dan halia.
  • Gunakan minyak gorengan ayam tadi untuk menumis. Tumis bahan tumbuk tadi bersama cili kisar sampai garing. Masukkan air asam jawa dan biarkan pekat. Perasakan garam/gula/perasa.
  • Masukkan ayam, bawang besar dan tomato. Masakkan hingga bawang layu.
Oh makcik-makcik sekalian, jangan lupa masa menumis tu, yang ada tingkap buka tingkap, yang ada hood tu onkan la suisnya. Nanti hachum hachum lechum lechum mula la la, burung kakak tua la pulak.



APAM NEOPOLITAN



Pembuka kata, saya bukanlah penggemar apam moden. Tekak pelahap saya setakat ini masih bersetuju ‘apam kampung’ lebih  bertakhta di jiwa. Apam tepung beras dan apam tepung gandum. Orang biasa, makanan pun biasa-biasa juga. Kalaulah saya anak raja atau memiliki cincin berharga RM24 juta sekalipun, saya tetap memilih apam beras dan apam gandum. Cuma masa nak hidang tu kena letak dalam pinggan bersalut emas dan bertatahkan berlian. Hahaha.
Resipi ini saya ambil dari http://www.hanamemories.blogspot.com. Salah seorang blogger masak-masak terkenal di alam maya. Dari cara penceritaan dan corak penulisan Cik Bedah tu, saya rasa dia berpotensi juga untuk jadi tukang karut ataupun pengganti Kak Engku. Muahaha.  Ya ampunn!
Namanya Apam Mekar. Digodek dan dikendalikan sepenuhnya oleh saya tanpa campur tangan orang dalam.  Tapi masalah problemnya, setiap kali saya buat apam moden, mesti kuncup dan tidak mekar. Pelik dan pelik. Menyampah dan menyampah.
Oleh sebab apam ngokngek ni tak mahu mekar, jadi saya tidaklah memanggilnya cik mekar meranum. Resepinya sama, tapi namanya dah bertukar seiring terjadinya penukaran identiti  oleh saya secara tidak sengaja. Pelik dan bertambah pelik. Menyampah dan bertambah menyampah!
Saya gelarkannya Apam Neopolitan sebab kebetulan saya ternampak nama ni  pada penutup aiskrim Wall’s. Eh, warna tersama la pulak!


Bahan-bahan:
Sumber : Hana
150g tepung gandum
125g gula halus
1 sudu kecil ovelet
1 biji telur
100ml susu segar
Esen vanilla dan pewarna kesukaan

Cara-cara:
Pukul telur dan gula hingga kembang. Masukkan ovelet dan pukul lagi hingga kembang dan gebu. Masukkan esen. Kacau sebati. Selang-selikan tepung dan susu dan pukul lagi hingga sebati. Masukkan warna kesukaan dan kukus kira-kira 20 minit atau sehingga masak.
Selalu pastikan penutup pengukus dilap agar air tidak menitis ke atas apam.

PULUT UDANG


Sebelum saya berkahwin, saya hanya pandai makan pulut panggang ataupun pulut lepa. Intinya ikan dengan semerbak bau halba. Memang mempesona. Tengok pulut berinti udang dan kelapa, memang saya tak beli dan tak  teringinpun  nak mencuba.
Bila saya berkahwin dengan jejaka idaman, isteri bapa mertua saya awal-awal beritahu bahawa anaknya itu  penggemar pulut udang, dan juga apa jua makanan berasaskan pulut. Oh! Nak tanak pulut, mana saya reti, walhal sedari kecil memang saya ‘melekat’ dengan pulut. Sebab emak saya memang ‘pengedar’ ketupat palas yang paling terkenal di salah sebuah kampung di ceruk Maran sinun.
Boleh dikatakan setiap kali balik kampung, memang ada pulut udang disua mentua untuk dilahap oleh suami. Lama-lama tekak saya boleh terima. Cuma cara penyediaan pulutnya, saya ikut cara emak saya. InsyaAllah, cara ni menyebabkan pulut lambat basi dan boleh disimpan berhari-hari. That’s the idea orang dulu-dulu tanak pulut. Mereka mana ada peti ais sebesar kereta juara, so itu salah satu cara untuk bagi makanan tahan lama. Cara ini juga emak saya guna untuk buat nasi dagang dan ketupat palas.
Bahan-bahan pulut :
2 cawan beras pulut
1-2 cawan santan pekat
Garam/ gula
Daun pandan untuk mewangikan kereta pulut

Cara-cara :
  • Basuh pulut dan rendam  kira-kira sejam. Untuk menyedapkan lagi pulut, rendam dengan air kelapa.
  • Masukkan garam dan secubit gula ke dalam santan. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan timbul buih-buih kecil. Jangan lupa masukkan simpulan daun pandan.
  • Kukus pulut hingga lembut. Ada sesetengah pulut yang cepat lembut seperti pulut susu yang purely dari Siam. Jika tengok agak-agak pulut yang jenis keras, percikkan sedikit air pada pulut semasa mengukus.
  • Keluarkan dari pengukus dan gaul pulut sedikit demi sedikit dengan santan tadi. Gaul hingga sebati.
  • Masukkan semula pulut dalam pengukus dan kukus lagi hingga masak dan lembut.

Bahan-bahan inti:
Setengah biji kelapa inti- diparut
2-3 genggam udang kapas/udang putih
1 genggam udang kering
3 batang serai
 1 labu bawang besar
4-5 sudu cili kisar
Sedikit air (saya gunakan air kelapa)
Minyak untuk menumis
Kunyit hidup/serbuk kunyit
Garam/gula/perasa

Cara-cara:
  • Kisar bawang, serai, udang kering dan kunyit hingga lumat.
  • Tumiskan bersama cili kisar hingga naik minyak dan garing.
  • Masukkan air dan udang kapas. Masukkan kelapa dan masak hingga agak kering. Perasakan garam/gula ikut kesesuaian masing-masing.

Masukkan inti ke dalam pulut dan bungkus dengan daun pisang yang telah dilayur. panggang dengan api perlahan hingga pulut garing. Buat hingga siap, makan sampai habis!



BUAH MELAKA/ONDE-ONDE

Nabiha gelar kuih ni  chewing gum bulu-bulu. Anak oh anak, ingat senang-senang ke pencipta kuih ni dulu nak bagi nama. Zaman dulu bukannya ada buku panduan nama-nama indah kuih. Kena reka ikut kreativiti sendiri., tau?!
Ramadhan beberapa tahun lepas aku pernah cabar Nuhaa untuk makan kuih ini. Ada upah menanti. Dia makan dengan terpaksa. Bila hari ni aku buat kuih, aku bongkar kisah aku merasuah dia supaya reti bahasa sikit dan ada perasaan untuk mencuba makan. Dia ingat peristiwa tu. Dan untuk berbuka puasa nanti dia kata dia akan makan.
Pelbagai cara juga untuk buat kuih ni. Terutamanya campuran tepung. Tapi saya sudah terbiasa gunakan tepung pulut sahaja. Rasanya kenyal-kenyal, tentulah enak. Ralit je bila memakannya. Tetapi mood agak terganggu sedikit bila tergigit ketulan gula yang masih belum hancur. Itu tidak enak bagi saya. Nak buat macam mana, tokey gula melakapun nak untung juta-juta juga. Jadi apa salahnya dia tipu kita sekali-sekala.
Alternatif  yang ada, kena rajin sikit. Hancur-hancurkan sikit  gula tu , barulah gentel.  Ia akan mencair je dalam mulut masa ngap nanti. Tapi makcik menyampah sebab tangan senget makcik ni akan jadikan kuih ni bersepai-sepai dengan gula, comot mekmot kalau guna gula yang dah hancur tu.
Bahan-bahan:
1 ½ cawan tepung pulut
Air daun pandan
Gula melaka secukupnya (potong kecil-kecil)
Sedikit pewarna hijau (untuk cover line jika daun pandan sikit)
Kelapa inti yang diparut dan gaulkan dengan sedikit garam
Air untuk merebus (saya gunakan air kelapa yang dicampur dengan air)

Cara-caranya:
  • Sediakan air rebusan dan biarkan mendidih.
  • Bancuh tepung dengan air daun pandan hingga mendapat adunan yang tidak melekat pada tangan. (saya suka lembikkan sikit sebab kuih akan lagi kenyal dan lembut).
  • Gentelkan  dengan gula Melaka. Pastikan gula tidak terkeluar ataupun tercucuk pada adunan tepung kerana jika terkeluar, inti akan pecah dan kuih tidak cantik.
  • Rebus kuih sehingga timbul. Biarkan seketika. Angkat, toskan  dan golekkan dalam kelapa tadi.
Jika sudah bersedia, bolehlah dimakan. Tapi awas, kuih yang baru dimasak, gulanya panas. Bawak bersabar dan beristighfar sementara tunggu kuih sejuk.
Nak kira berapa kalori setiap ketul yang selamat dibenam ke dasar perut, sila google sendiri. Jom ratah milo!

PISANG GORENG BATU RAKIT


Pisang goreng tak sama dengan goreng pisang. Ada juga manusia alpa yang kata sama. Mana boleh sama. Satu kata nama, satu lagi kata kerja. Kan beza tu.
Begitu juga resipi atau cara untuk membancuh tepung untuk menggoreng. Banyak versi dan  cara. Tapi saya percaya, sasarannya adalah untuk mendapatkan keropok atau tepung gorengan yang garing dan rangup. Tak ada sesiapa rasanya yang mahukan tepung yang lembik macam bingka.
 Emak saya orang Terengganu. Arwah ayah sayapun. Jadi automatiklah saya ni bukan orang Finland. Adalah sikit-sikit persamaan, orang Terengganu dan orang Finland suka makan ikan.Heeeee.
Saya sudah terbiasa makan pisang goreng dengan tepung gorengan yang halus-halus dan rangup ngup ngup walaupun dah sejuk. Tak main la tepung bancuhan Adabi. Biasanya di sebelah pantai timur menggunakan bancuhan sebegini.  
Saya namakan Pisang Goreng Batu Rakit, ikut nama kampung halaman emak. Jika emak saya berasal dari Finland, saya akan letak nama Pisang Goreng Nokia. Mungkin.

Bahan-bahan:
6-7 biji pisang
1 cawan tepung beras
1 biji telur
Sedikit garam, serbuk kunyit dan  kapur makan
Air

Cara-cara:
Campurkan semua bahan, masukkan air kapur. Bancuhan perlu dibancuh keras dahulu (agak-agak macam adunan buah Melaka). Selepas itu barulah masukkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat adunan yang sesuai. (lebih cair dari adunan lempeng). Masukkan pisang yang telah dibelah, dan goreng dengan minyak yang panas. Bila kerak tepung gorengan telah agak mengeras, kecilkan api dan pecah-pecahkan gorengan tadi. Oh o, lebih baik masukkan pisang ke dalam kuali dengan tangan kerana cara ini akan membentuk kerak yang halus-halus.   

JUS KUNANG-KUNANG

Tatkala jus ini perlahan-lahan disalurkan masuk ke perut melalui anak tekak yang asyik mahukan yang lazat-lazat saja, tekak pasti setuju 100 percent (tambah lagi 25 percent untuk tuan penasihat). Sungguh menyamankan. 

2,3 tahun lepas semasa open raya di banglo  Bang Bull, Meeza mengumpul 4 bakul pujian daripada semua yang hadir. Kudos to Meeza. Bertepatan dengan cuaca yang panas, masing-masing sudah dirasuk angin berborak sampai mabuk, makan sampai muntah, minum sampai kembung dek kesedapan jus ini.
Selepas dari tarikh keramat tu, sekiranya ada tompokan manusia berhimpun di rumah, pasti jus ini menjadi hidangan. Dan berbakul-bakul juga pujian saya terima.  Seronokkan bila hidangan kita mendapat pujian masyarakat. Tak kira masyarakat luar bandar, sub urban ataupun penduduk kota cosmopolitan. Hah!
Cuma kenapa kunang-kunang? Itu saya tiada jawapan. Mungkin kerna kunang-kunang bukanlah makhluk yang menjadi bahan cercaan manusia macam lipas , tikus dan juga kupu-kupu malam. Oleh  sebab reputasi kunang-kunang yang belum pernah tercemar, jadi mungkin sebab itu ia terpilih. Entah.

Bahan-bahan (5-6 gelas) :
Sumber resepi : Meeza Atoq
½ biji buah dragon fruit  (merah)
1 tin longan
Air gula secukupnya
Air/ais
Perahan lemon (boleh juga digantikan dengan limau nipis)

Cara-cara:
Potongkan dragon fruit secara dadu. Masukkan air gula, air, longan (beserta airnya sekali) dan juga perahan lemon.
Erm siapa kata tak ada cara mudah  untuk mendapat kenikmatan hidup?

CHOCOLATE MACARONS


Mula berkenalan dengan makanan yang bukan kekampungan ni, Cikgu Azimah yang perkenalkan. Masa, dia suruh mokcik belajar, aku membayangkan scone. Pada saya tidaklah seghairah mana bila scone yang dia maksudkan.Googled. Tersilap rupanya.
First time cuba, tak keluar kaki. Dua kali, crack pula.Bengang tahap cipan. 3,4 resipi  dalam simpanan dan 2,3 resipi yang kena pangkah. Oleh sebab gaeram dan memang dasar perangai saya yang suka berlagak pandai segala benda depan anak sedara becok, saya pergi belajar dengan Angie. RM180 dia charge. Sekali lagi bengang.
Cuba resipi Angie, pun tak jadi juga, no foot juga. Kaki macaroon  kena potong sebab kencing manis kot. No foot so macam mana  jual foot detox nak laku?
Geledah punya geledah, terjumpa resipi ni. 2,3 kali buat dan digemari rakyat jelata, terus hidung tinggi. Kawan-kawan Cikgu pun dah mengorder bertalu-talu.  Maaf kepada pemilik asal resipi . Saya nak kreditkan pada anda, tapi saya terlupa catatkan sumber/blog anda. Anyway terima kasih.

Bahan-bahan:
70 gram serbuk almond (saya jemur tengah  panas untuk pastikan betul-betul kering)* dikisar halus –jika guna food processor alangkah baiknya kan!
10 gram serbuk koko
140 gram gula icing
80 gram putih telur (room temp)
65 gram gula halus
Cara-cara:
  • Ayak gula icing dengan serbuk koko. Masukkan  serbuk  badam, gaul sekata dan ketepikan. Pukul putih telur dengan kelajuan tinggi, masukkan gula halus dan pukul lagi hingga adunan menjadi glossy dan soft peak*
* jika kita gunakan stand mixer, cabut beater-celup dalam adunan dan bila diangkat akan kelihatan bertanduk
*Jika menggunakan hand mixer, cuba terbalikkan mangkuk, adunan stay dan buih-buihnya sangat halus dan glossy.Bahagian ini akan menentukan adunan kita licin dan macaron kita akan membentuk kaki yang sempurna.
  • Masukkan campuran serbuk badam tadi (3 kali) dan gaul secara kaup balik dengan spatula. Semasa proses ini, adunan yang ok akan berkilat dan licin. Sila cuba jatuhkan adunan ke dalam mangkuk dan ianya akan membentuk simpulan riben yang besar.
  • Panaskan oven 20 minit lebih awal.
  • Sediakan tray yang dilapik dengan silpad/parchment  paper. Masukkan dalam piping bag, dan pipekan mengikut template atau saiz  yang dikehendaki.  Rehatkan adunan kira-kira 30 minit. Bakar dengan api sederhana kira-kira 10-12 minit dengan suhu 150 deg C.
  • Sandwichkan dengan filling kesukaan.
Saya pencinta dan penggemar tegar coklat, jadi apa lagi, pilihan saya sudah tentulah chocolate ganache.

CHOCOLATE GANACHE:
120g dark chocolate
110 g whipping cream
50g butter

Cara :

  • Panaskan whipping cream hingga timbul buih-buih halus. 
  • Masukkan butter dan chocolate, kacau hingga sebati. 
  • Sejukkan dan bolehlah dipipe pada macarons. sejukkan macarons yang telah siap dalam peti ais untuk rasa yang ahh sukar untuk digambarkan!

KUIH LAPIS COKLAT HITAM

Entah kenapa kakak manis nak buat kuih ni. Terbayang-bayang kalau warna hitam putih digabungkan , mungkin ok. Resepi asal, resepi kuih lapis nyonya. Pun kuih wajib kantin juga. Pun versi emak juga. Kuih ini asalnya mempunyai tujuh lapis yang diselang seli antara merah dan putih. Pun begitu, kreativiti manusia yang berpaksikan dunia imperialisme dan sosialisme sekarang ni, telah mengubah kuih ini menjadi pelbagai lapisan warna. Ikut pelbagai lapisan masyarakat, mungkin?


Dan, sebab serbuk coklat hitam yang ada belum diusik, padahal masa di kedai  rakus saja tangan menggapai dua bungkus konon-kononnya nak buat oreo cookies. Huh!


Tulah. Dari situlah timbulnya  idea untuk menghitam putihkan kuih lemak manis ini.
Hasilnya? Lemak manis sedikit pahit. Si hitam menawan itulah punya pasal.

Bahan-bahan :
1 ½ cawan tepung gandum
3 ½ cawan santan (mokcik suka lagi pekat lagi bagus, lapisan jadi berkilau-kilau dan senang nak selak selapis demi selapis)
¾ cawan gula
Secubit garam
1 sudu besar dark chocolate powder (jika tidak, gantikan dengan warna-warna pelangi, biar hidup tidak redup..yeahhh!)

Cara-cara:
Campurkan semua bahan kecuali serbuk coklat. Kacau rata. Sila pilih, A untuk tapis, B untuk blend. Janji hasil halus mulus kudus, ok?
Bahagikan kepada dua bahagian. Satu dikekalkan putih, dan satu lagi dimasukkan serbuk coklat hitam (warna penjahat). Kisar lagi agar warna penjahat tadi menjadi halus mulus kudus.
Kukuskan dalam loyang bersaiz 8 inci selapis demi selapis. Setiap lapis akan mengambil masa kira-kira 3 minit untuk masak, bergantung pada hebat atau tidak dapur dan pengukus kamu. Jangan lupa sentiasa lapkan penutup pengukus untuk mengelakkan air menitik ke atas kuih.




mama, kenapa kuih ni kotor? ermmm...
 

STRAWBERRY MOUSSE


Bila tekak meminta-minta makanan yang manis-manis tu, bukanlah bermakna tuan punya badan dah berkurang manisnya. Cuma bila duduk melengkar di rumah dan menyaksikan badan membesar tanpa sesikitpun ada harapan untuk kembali mengecil, bosan juga. Lebih baik bangun, capai senduk dan godek-godek apa yang patut. Duduk membeku depan TVpun takkan ada kesudahan juga, kheennn? Duhhh, akupun dah terpengaruh dengan laras bahasa si JD pulak dah!


Bila di google, kebanyakan resipinya  lebih kurang sama. Jadi tak adalah one to som resipi dari blog mana yang saya nak cuba. Bila dah salin resipi, barulah perasan empunya resipi ni seorang minah mata biru. Patutlah mengancam keselamatan negara sangat gambar mousse-mousse yang dia buat. Sungguh mengguda  Kak Temah.
Kakak manis tak tanam pokok strawberry, rumahpun jauh dengan Cameron Highland. Jadi dalam resipi ni kakak manis cuma gunakan strawberry kering. Takkan teringin punya pasal, capai kunci-start kereta-pergi CH semata-mata nak beli strawberry pulak. Menangislah Nabiha kena tinggal sensorang. Bibik pulak mesti ingat kakak manis nak lari dari rumah.
Resipi ni sesuai untuk hidangan 4-5 orang. Tapi kali ni kakak manis je yang tibai sensorang. Muahahaha. Manis, memang manis!

Bahan-bahan:
200g strawberi segar (saya gunakan secawan strawberry kering)
60g gula pasir (saya kurangkan 30g sahaja kerana strawberi kering dah manis)
¼  cawan air
2 sudu kecil gelatin
¼ cawan air panas
200 gm whipping cream

Cara-cara:
·         Kisar strawberi dengan gula dan air. Masak hingga mendidih. Tapis untuk dapatkan patinya. (saya tak tapis kerana saya suka tekstur strawberi kering yang liat-kenyal). Bancuhkan gelatin dengan air panas hingga betul-betul hancur. * Gelatin yang diperlu dimasukkan ke dalam air tau, bukan air yang perlu dimasukkan dalam gelatin. Ini kerana bila gelatin dah mula mengeras, susah untuk dissolve dan ia akan jadi berketul.
·         Masukkan bancuhan gelatin tadi  ke dalam puri strawberi, ketepikan.
·         Pukul whipping cream hingga betul-betul kembang dan glossy.
·         Masukkan 2/3 puri strawberi tadi ke dalam whipping cream dan pukul lagi hingga halus.
·         Tuang dalam bekas yang cantik la, baru nampak sedap. J
·         Hias dengan puri strawberry tadi ataupun mengikut kehendak nafsu masing-masinglah ya!

KUIH KASWI/KUIH KAPUR


Kuih yang ringkas. Juga kuih yang sangat meninggalkan nostalgia pada saya. Saya lebih ingat kuih ni sebagai kuih wajib kantin. Sebab apa, semasa emak saya berniaga di kantin sekolah, kuih ni adalah antara kuih yang wajib ada untuk dijual. Kos nya murah, senang dan sedap. Maklumlah dengan bantuan hanya seorang pekerja yang bekerja setengah hari, kebanyakan benda semua dilakukan sendirian. Nak handle makanan untuk kira-kira 200 orang murid dan berbelas-belas orang cikgu-cikgu, emak saya memang handal lah!  Pheww!
Banyak versi untuk buat kuih ni, tapi ini  versi dan resipi emak. Kebanyakan resipi semasa, berbeza campuran tepungnya. Orang dulu-dulu cuma tahu tepung gandum, tepung beras, tepung pulut saja. Guna tepung kastard dan tepung jagungpun untuk buat kuih raya. Mungkin sebab itulah kebanyakan kuih-muih tradisional banyak menggunakan 3 jenis tepung tu saja.

Bahan-bahan:
1 ½ cawan tepung gandum
4 sudu gula merah India
¾ cawan gula putih
3 ½ cawan air
Sehelai daun pandan
Kelapa inti diparut  dan digaul dengan sedikit garam (dari setengah biji kelapa)
Cara:
  •  Masak  gula merah, gula putih dengan air hingga gula hancur. Jangan lupa masukkan daun pandan.  Tapis dan biarkan suam.
  • Campurkan tepung dengan air gula. Boleh pilih, sama ada nak tapis atau pun nak blender. Janji hasilnya halus mulus kudus.
  • Kukus dalam loyang bersaiz 8 inci kira-kira 35-40 minit. Jika gunakan acuan lompang, kukus kira-kira 10-12 minit.
**********
Dah mudah nak mudah lagi?
Gantikan kelapa parut tu dengan kelapa kering yang dikukus terlebih dahulu.