Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive for September 2011

OREO COOKIES





Seekor semut hitam, melepak di atas batu hitam lebam, di malam kelam tanpa cahaya berbalam-balam.


Inilah cookies  hitam yang saya teringin sangat nak  buat. Tetapi tertangguh-tangguh. Nyaris-nyaris expired serbuk coklat hitam dalam simpanan.
Siapa tak suka makan biskut oreo.  Ataupun cookies famous amos yang hitam mahal menggila tu. Sebab tu orang kata hitam itu menawan. Sama kes dengan saya, juga Ahmad Mujahid.  Adik beradik saya, saya yang paling ‘menawan’ sekali. Dan akhir sekali, turun pula kepada anak si Kamarul tu. Warna yang menawan juga dengan sedikit perisa  mocha. Uweh uweh uweh.

Bahan-bahan (setelah diolah tanpa mengira perasaan dan penat lelah pencipta resepi asal):
Sumber asal  : All Recipe
250g butter
100g gula halus
30g gula perang
1 biji telur
3 sudu besar serbuk coklat hitam
150g tepung gandum
30g tepung jagung
100g serbuk badam
70g oreo hancur
½ sudu teh baking powder
Esen vanila

Cara-cara:
  • Ayak tepung, serbuk koko dan baking powder. Ketepikan.
  • Pukul butter dengan gula halus dan gula perang  hingga kembang.
  • Masukkan esen vanilla untuk mendapatkan cookies yang harum semerbak sewangi setanggi. Haish!
  • Masukkan telur dan pukul lagi hingga gebu.
  • Masukkan  serbuk badam dan oreo hancur.
  • Akhir sekali masukkan campuran tepung tadi.   
  • Gentelkan mengikut perasaan dan leper-leperkan ala-ala biskut oreo tu! Tapi jika kamoo semua ingin buat seperti saya abaikan proses membuat butter cream seperti di bawah ya.



Bahan-bahan buttercream:
Sumber : Wilton
1 cawan krimwell
1 sudu teh ekstrak vanilla
450g gula icing
10g meringue powder
1-2 sudu besar air

Cara-cara:
  • Pukul krimwell hingga kembang.
  • Masukkan gula dan air. Juga ekstrak vanilla. Pukul  hingga kembang dan gebu.
  • Masukkan meringue powder dan pukul sebati.
*adunan ini akan menghasilkan kira-kira 2 ½ cawan buttercream.


NASI GORENG WONDERPET


Ini pula signature dish saya.  Ringkas dan senang ya amat. Memang rasa nak ketawa hahaha kan?  Tapi kesan pada orang yang memakannya, OMG! Dafi! Dafi!  Sangat mendalam.  Jika di pejabat lama dulu, saya memang terkenal dengan nasi goreng lazat ini. (andai ini dikategorikan sebagai sedang jatuh ditimpa perasaan, biarlah saya perasan sekali sekala, boleh?)

Asalnya emak saya selalu goreng nasi dengan cara macam ni. Masa kecik-kecik dulu apa lagi sarapan yang boleh  menyelesaikan masalah perut kelaparan di pagi hari? Jangan impi ada pancake dengan honey yang meleleh-leleh di piring , fresh cream dan tertonggok dua butir strawberry di atasnya ok? Jika bukan nasi goreng, cekodok bilis. Tidakpun lempeng. Eh lupa, itulah pancake sebenar!
Ada nasi dan ikan goreng semalam. Magiknya pagi ini ianya sudah diubah menjadi nasi goreng yang sangat sedap dan buat saya tersenyum-senyum keriangan.  Rakan-rakan di pejabat juga. Pasti melompat-lompat kegirangan juga jika nampak saya yang anggun berbusana kerja meletakkan Tupperware berisi nasi goreng ini atas meja pantry. Ada juga yang buat-buat syahdu  teringat nasi goreng emak dia di Marang. Mengada!
Ani telah mengkomersialkan nama nasi goreng ini. Sebab ada batang celery. Dia kata wonderpet suka makan batang celery ini. Entah saya tak menontonnya jadi terpaksa ianyakan saja. Goreng nasi ini, terus ingat emak, ingat Ani, ingat wonderpet, ingat isteri  Haji Nordin, ingat kawan. Semualah!

Bahan-bahan:
2 mangkuk nasi
2 ekor ikan selayang/kembung yang telah digoreng
1-2 batang celery
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
6-7 biji cili api
1 biji telur


Garam dan serbuk perasa
Minyak

Cara-cara:
  • Asingkan isi ikan dan tumbuk kasar. Ketepikan.
  • Tumbuk bawang merah, bawang putih dan cili padi.
  • Tumiskan bahan rencah tadi hingga garing.
  • Masukkan  telur, garam dan perasa. Kacau dan pecah-pecahkan telur.
  • Masukkan batang celery yang telah dipotong kecil.
  • Seterusnya masukkan ikan dan nasi. Kacau rata.
Masukkan dalam Tupperware dan jamulah rakan-rakan anda di pejabat. Pastinya menyayangi anda dek kerna nasi ini. Wonderpet, wonderpet, kami datang!


RED VELVET CAKE


Begini. Bila ada sesuatu benda yang baru dan  popular, kita pasti tak mahu ketinggalan merasai bahang populariti itu kan? Mula-mula saya jakun melihat kek merah gebu  ini. Tetapi hajat di hati memang menggeletis  untuk mencuba kerana bahan-bahan frostingnya yang  menggamit perasaan saya. Cheese dan Chah, ejaannya pun seakan-akan sama. Itupun  sudah  menggambarkan kami memang sejiwa dan sukar dipisahkan.
Sebelum saya  sibuk mahu berblogging  ada e-buku resepi macam ni, beberapa kali juga saya buat kek ini.   Pelbagai resepi saya cuba dan memang dah dasar suka  memandai-mandai untuk mengolah resepi orang. Resipi  dari sini   antara yang terawal saya cuba. Tidak kurang juga resepi  dari buku Kek Cawan ini  isteri sahabat saya Zall.  Juga dari All Recipe.   Tidak lupa resepi dari Chloe yang comel rakan ‘sekuliah’ di  ICCA.
Ada yang menyarankan penggunakan tepung superfine/ tepung halus. Ada juga yang guna tepung naik sendiri dan tepung serbaguna. Penggunaan tepung superfine menjadikan tekstur kek sedikit padat-mungkin ada salah di mana-mana, tapi kebanyakkan percubaan saya hasilnya sama. Jadi saya prefer guna tepung naik sendiri. Penggunaan butter juga. Maaflah. Mak memang suka mencipta kontroversi. Tapi tak sangka pula Datin Norizan suka resepi olahan ‘penjual kek’  amatur macam saya ni. Tq Datin!

Bahan-bahan kek (setelah diolah  sedikit):
Sumber asal : Joy of Baking dan All Recipe
 2 ½ cawan tepung naik sendiri
1 ½ cawan gula castor
250g butter
2 biji telur
1 cawan buttermilk (campurkan susu segar  dengan 2 sudu kecil apple cider vinegar)
1 ½ sudu besar serbuk koko
1 ½ sudu besar pewarna merah
Sedikit esen vanilla
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh apple cider vinegar

Cara-cara:
  • Pukul butter dengan gula hingga kembang.  Jangan lupa sekali-sekala perlu dikaup  adunan di dalam mangkuk pengisar untuk memastikan semua bahan diputar sempurna. 
  • Masukkan telur satu persatu. Masukkan juga esen vanila.
  • Pukul lagi hingga kembang dan gebu.
  • Masukkan buttermilk dan campuran tepung berselang-seli. Pukul hingga sebati.
  • Campurkan serbuk penaik dan apple cider vinegar dan kacau cepat-cepat. Apabila nampak buih-buih halus seperti  buih mulus ombak di lautan nan biru telah terbentuk, tuang ke dalam adunan kek. Pun kena pantas-pantas.   Kacau sebati.
  • Sebelum tu panaskan dulu oven 20 minit lebih awal. Griskan tepi  loyang dan lapik bahagian bawahnya dengan kertas minyak atau parchment paper. Bakar pada suhu 170 darjah C kira-kira 45-50 minit.

Bahan-bahan untuk creamcheese frosting:
250g creamcheese
250g mascarpone cheese
1 cawan non dairy whipping cream
1 cawan gula icing
Sedikit perahan jus lemon
Lemon zest  (daripada sebiji lemon)
Cara-cara:
  • Lembutkan creamcheese dan mascarpone cheese. 
  • Pukul mereka  hingga agak kembang.
  • Masukkan gula icing dan pukul lagi hingga warnanya menjadi sedikit pucat ala-ala muka tanpa secalit alat mekap gitu.
  • Sementara menantikan adunan cheese kembang, pukul whipping cream dalam bekas yang berasingan hingga gebu dan kental. Tuang ke dalam adunan cheese dan pukul lagi hingga sebati.
  • Masukkan perahan jus lemon dan lemon zest dan kacau rata.
  • Icekan pada kek dan hiaslah mengikut naluri ibu atau naluri cake boss masing-masing.  Jika creamcheese mencair sedikit semasa proses melapiskannya pada kek, masukkan sebentar ke dalam peti ais untuk menjadikannya stabil semula.
Pesanan penaja – semasa menyagat lemon tersebut, pastikan tidak tersagat kulit dalamnya yang berwarna putih kerana rasanya pahit beb. Ok, kalau dah tau takpe.
Nikmatilah keenakan rasa cinta yang merah membara menyala menggoda. Hmmm

Categories:

DAGING MASAK LEMAK CILI API


Di rumah saya memang jarang kehabisan stok daging. Kadang-kadang stok semasa masih ada, dah di top-up stok baru. Begitulah bestnya menjadi menantu seorang tokey lembu.  Itu jugalah sebabnya ahli-ahli rumah saya semuanya  ‘berdaging’ lebih. Huhu.
Kadang-kadang sampai saya  tak tahu nak buat apa dengan daging lembu yang banyak-banyak ini. Mulalah dikitarkan dengan resepi yang sama saja. Bosan ah! Tapi jangan bimbang, kenikmatan akan jelas terpancar. Jika dimasak sepenuh jiwa raga. Tanpa digigit rasa terpaksa.  Atau dihambat perasaan lemau dan payau.

Bahan-bahan:
½ kg daging
4 batang serai (2 batang dikisar dan 2 batang lagi dititik)
10-12 biji cili api*
5 ulas bawang merah*
1 inci kunyit hidup*
2-3 cawan santan
Daun kunyit
1-2 keping asam keping/gelugur
Ubi kentang
Garam

Cara-cara:
  • Potong daging dan rebus hingga agak empuk. Jika daging  telah empuk dan air rebusan masih banyak, gunakan air tersebut untuk memerah kelapa.
  • Kisar bahan bertanda *. Jika anda tidak kisahkan jumlah lelemak  yang akan masuk ke perut nanti, pilihan ada di depan kamoo. Tumis atau tidak. Terserah.  Tak perlu bermasam muka disebabkan isu ini. 
  • Masukkan daging dan bahan kisar ke dalam santan. Juga  asam keping dan ubi kentang. Jangan lupa pula daun kunyit dan serai yang dititik tadi. Masak dengan api perlahan hingga pekat dan rasanya sudah mencapai gred mumtaz. Jika belum mumtaz, tambahkan  apa yang patut, ataupun masak aje semula.



NASI LEMAK TIARA



Nasi lemak sekarang bukan nasi lemak yang dulu. Sekarang nasi lemak sudah berjiwa merdeka. Sudah antarabangsa. Saya berhajat sangat untuk menonton AFC yang menayangkan mana-mana chef dalam Cook Like a Chef , Naked Chef atau Chef at Home menyediakan nasi lemak. Mesti kembang hidung 1Malaysia. 


Di kantin emak saya dulu-dulu (kantin lagi!), ini hidangan ‘onar’ yang membuatkan  jiwa semua orang tidak tenteram. Paduan kelazatan  nasi yang lemak dan sambal bilis yang mengasyikkan. Cukup hebat  tangan orang yang mencipta resepi ini. Maha hebat lagi Pencipta yang menggerakkan minda pereka menu nasi lemak. Terer dowh!


Sedapkan nasi lemak?
Dan satu lagi keistimewaan nasi lemak yang boleh dinikmati bila-bila masa. Paling dahsyat masa supper pun boleh saja tanpa rasa bersalah melicinkan nasi lemak yang dibungkus daun pisang.  Harum dowh!
Satu pembaharuan juga dalam hidup Muhammad Ariff saya. Dia mula menyukai nasi lemak. Walaupun lauk iringannya tetap sama-telur yang didadar. Tapi sekurang-kurangnya bertambah lagi satu perkara dalam senarai apa yang dia makan. Happy dowh!
First time saya TERmasak nasi lemak kukus secara tidak sengaja sebab rice cooker antik  yang telah menyamai usia perkahwinan saya  tidak boleh memasak nasi selain dari nasi putih. Jadi selepas dari kejadian yang tidaklah menjatuhkan maruah tu, jika saya masak nasi lemak, pasti ianya dikukus. Sedap dowh!
Selain sambal ikan bilis, sambal kerang adalah pilihan saya. Lazat dowh! Tambah lagi dengan ayam goreng berempah. Walla dowh!  Dan tidak lupa telur rebus atau goreng. Nikmat dowh!*ngong

Bahan-bahan nasi lemak:
2 cawan beras
Santan secukupnya
1-2 helai daun pandan
Garam
Secubit gula

Cara-cara:
  • Basuh bersih beras dan toskan.
  • Masukkan beras  ke dalam loyang yang sesuai dengan saiz pengukus.
  • Masukkan santan, garam dan secubit gula. Juga simpulan daun pandan yang telah dikoyakkan terlebih dahulu.
Secara umumnya, cara memasak nasi kukus lebih kurang sama dengan cara menanak nasi biasa.  Cuma yang membezakan sukatan air/santan yang perlu dimasukkan bergantung kepada jenis beras.



Bahan-bahan sambal kerang:
Semangkuk isi kerang
2 senduk kecil cili kisar
2 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 labu bawang besar * + 1 labu untuk hiasan
Air asam jawa
Gula Melaka
Garam dan perasa
Sedikit ikan bilis yang telah digoreng dan tumbuk halus
Minyak

Cara-cara:
  • Tumbuk atau kisar bahan bertanda *.
  • Tumiskan bersama cili kisar. Masak hingga garing dan naik bau.
  • Masukkan air asam jawa, gula melaka dan ikan bilis yang telah ditumbuk tadi.
  • Masukkan kerang. Seimbangkan rasa masam manis masinnya. Jika ada sedikit payau, mungkin ada sabotaj di sana sini. Jangan bimbang, dapatkan bantuan FRU dengan segera.



Bahan-bahan untuk ayam goreng berempah:
3-4 ketul ayam
1 sudu teh ketumbar*
1 sudu teh jintan manis*
1 sudu teh jintan putih*
5 batang serai*
Sedikit kunyit hidup*
1 labu bawang besar *
2 -3 inci halia*
3 -4 ulas bawang putih*
Garam
Minyak

Cara-cara:
Kisar semua bahan bertanda *, masukkan garam. Perapkan pada ayam kira-kira satu jam. Goreng dengan api yang perlahan.


Silakan makan nasik lemak yang sangat-sangat dowh ni!



BUBUR JAGUNG YEH


Jika anda google map dan search di manakah lokasinya Yeh itu, anda pasti menemukan ada sebuah kebun jagung yang sedang menghijau. Di celah-celah pokok jagung tu ada seorang perempuan yang sedang-sedang saja umurnya tetapi degil asyik nak berkebun dan dan tak reti duduk diam. Jika dikecilkan lagi pencarian, anda pasti nampak perempuan itu bersama menantunya yang  kuat makan nasi sedang tekun dan gigih mengusahakan ladang jagung. Lepas ni tanam tembikai pulak. *Pening

Jagung dan ceritanya.  Ianya sebahagian dari kisah manis hidup saya. Masa kecil dulupun emak saya memang menanam jagung. Di Yeh tu lah.  Dulu menanam jagung guna kayu yang ditajamkan hujungnya untuk membuat lubang. Lepas tu masukkan beberapa biji benih jagung dan tenyeh-tenyeh dengan kaki. Sebab tulah sampai sekarang walaupun kaki saya kesat dan kasar saya tak rasa malu. Itu cuma secebis dari catatan takdir  yang membesarkan saya.
Jagung ini. Lagi hasil dari Yeh. Tanpa saya sedar mungkin Yeh itulah yang turut menyumbang kepada wang saku yang dikirim oleh emak ayah saya semasa saya belajar. Buat-buatlah nak beli buku FM. Padahal buat menyunggit ke Bukit Kayu Hitam.  

Bahan-bahan:
5-6 tongkol  jagung
3 cawan santan
½ cawan susu cair
Satu genggam sago –rendam sebentar
Gula putih secukupnya
Sedikit garam
Daun pandan- koyakkan dan simpul. Pernah saya terbaca wangi pandan berkurang jika dihiris berbanding jika dikoyakkan. Saya tak perasan pula. Tapi saya lebih senang koyakkannya. Sebab apa pengalaman mengoyakkan buku latihan untuk  buat anak anak patung kad Lady D dengan Putera Charles banyak membantu saya mengoyak daun pandan dengan cekapnya.

Cara-cara:
  • Cincang dan hiris halus jagung. Kikis tongkolnya untuk mendapatkan jusnya. Pastikan mata dikecilkan sedikit semasa mengikis tongkolnya kerana airnya akan terpercik terkena muka dan tangan. Takpe boleh basuh.
  • Rebuskan jagung tadi dengan air yang minimum (anggaran tenggelam je) hingga menggelegak.
  • Masukkan gula dan daun pandan. Masak hingga gula hancur.
  • Akhir sekali masukkan santan. Bila sudah mendidih dan timbul buih-buih halus, masukkan sago dan susu cair. Masukkan sedikit garam. Masak hingga sago menjadi jernih.
Nikmatinya sambil mengimbau pahit manis pengalaman ‘menugei’ jagung di Yeh.  

ROTI CANAI WAN


Baik. Ini semua tak ada kena mengena dengan Wan Nor Azlin. Atapun Wan Azizah ataupun one to som. Bukan ok?!
Wan tu adalah panggilan anak-anak kepada emak kesayangan saya. Kebetulan pula memang mereka ada satu (one) saja nenek yang masak sedap-sedap dan suka bagi anak makan banyak dan  jadi gemuk. Emak orang lainpun masak sedap juga, Tapi tak pula mereka mengikut jejak langkah saiz adik-beradik saya. Mungkin dalam setiap masakan, emak mereka masukkan Jus Mate Dokter rambut leper kot.
Setiap kali balik kampung, menu sarapan pagi hari pertama- roti canai. Saya tukang bancuh. Emak tukang tebar. Kalau bagi saya yang  tebar, mahu koma jiran emak  sebab terkejut menengok tepung-tepung bertebaran di udara.

Ini memang cabaran. Sebab anak-anak saya sukakan roti canai. Yang rasa macam kulit kakipun dihentamnya juga. Tu belum yang mamak garu misai dan semua kutu-kutu dalam misai jatuh dalam tepung roti canai. Makan tak ada perasaan macam itulah.
Saya cukup tersentuh bila Nuhaa kata makanan yang paling sedap dalam dunia adalah roti canai wan. Sebab roti canai jugalah dia sudah pandai makan kari.
Dan  hari ini saya berjaya menebarnya.  Macam mana caranya? Tak sampai hati pula saya nak meng-you tubekannya.  Nanti terlebih sensasi pulak rasanya. Ahaks.

Bahan-bahan:
1 kg tepung gandum
1 sudu besar gula
1 sudu besar garam
2 sudu besar susu pekat
1 biji telur
1 ½ cawan air
Marjerin

Cara-cara:
  • Campurkan susu, garam, gula, telur ke dalam air. Kacau hingga semua bahan larut.
  • Masukkan tepung dan uli hingga lembut dan lengan terasa mengecil 2 inci dari saiz asal.  Sambil uli sambil zikir, boleh?  
  • Bentukkan bulat-bulat anggaran sebesar  genggaman. Sapukan dengan marjerin dan perapkan sekurang-kurangnya 4 jam. Sebaiknya  peram semalaman kerana masa semua orang tengah tidur, tepung dan marjerin sedang bermesra dan ketawa ria. Jadi esok mereka akan  lebih sebati.
  • Tebarkan seperti anda memang seorang yang pro yang dah bekerja di restoran mamak selama 7 tahun. Boleh juga tebarkan macam tebar kain cotton jepun yang orang jual kat pejabat yang dalam hati rasa nak beli tak beli. Atau leperkan-leperkan dalam dulang yang lebar, tarikkan hujung ke hujung adunan tepung ke tepi dulang. Lipat atau tarik memanjang dan pintalkan. (macam susah nak bagi penerangan  part ni)
  • Bakar (goreng?) dengan api perlahan dalam kuali leper. Balik-balikkan dan sapukan sedikit marjerin semasa proses membakar (goreng?).
  • Tepuk atau hempuk roti yang telah dimasak untuk lebih sedap dan tekstur roti yang lebih lembut. Terbaek! Terbaik!

CENDAWAN GORENG


Nampak je saya ni besar, tapi kalau tengok dari jauh, sebenarnya saya ni lebih kurang sama saiz dengan Liyana Jasmay je. Sebab itulah saya suka makan tanpa secalitpun rasa gundah-gulana.

Apa yang ringkas, sedap dan rasa macam yang jual kat MAHA dan 5 minit 14 saat kemudian, perut dah ditop-up dan anda semua boleh menyanyi girang lalalalala?  
Mula-mula saya makan cendawan goreng ni, sebab ada orang kata rasanya macam ayam goreng. Kalau nak makan ayam goreng, lambat. Kena tunggu ayam defrost dulu. Dah tu kalau setakat gaul garam kunyit aje buat apa. Sekurang-kurangnya sama standard macam ayam goreng Kak Ros Upin Ipin.
Kalau begitu, baik kita makan yang ala-ala ayam goreng. Macam saya, ala-ala Liyana Jasmay, oklah tu kan?

Bahan-bahan:
2 cekak cendawan tiram (tidaklah pula hamba teringat untuk menimbangnya)
4 sudu tepung beras
1 sudu tepung naik sendiri
Sedikit serbuk perisa ayam (jika menggunakan kiub ayam- hancurkan dahulu)
Garam
1 sudu teh rempah kari
Sedikit paprika
Sedikit air

Cara-cara:
  • Basuh dan lap cendawan hingga kering. Taburkan sedikit serbuk paprika.
  • Bancuhkan semua bahan yang lain pada tahap kepekatan seperti buat tepung bancuhan untuk menggoreng pisang.
  • Celupkan  dalam  bancuhan tepung. Jangan masukkan semua cendawan sekali gus. Celup dalam bancuhan tepung semasa hendak menggoreng saja. Goreng dalam minyak yang panas, Sikit-sikit aje. Nanti kalau dah bertempek-tempek, susah nak jadi rangup pula. Bila tak jadi, tulis dalam facebook, naik status kat twitter. Sedihlah mak bila dah ajarpun tak pandai-pandai lagi.Hehe.
                                 

KUIH AKOK

Nama sebenar kuih ni? Akak? Kakak? Tidak diketahui. Tapi tekak akak memang sesuai sangatlah dengan menda-menda yang manis memberahi macam ni. Rasa seolah  diri ini salah seorang penghuni  Istana Maziah bila dapat makan kuih ini. Sambil suap sambil melompat atas katil sultan.  Lepas tu ada dayang-dayang tolong cabut uban. Dayang-dayang tu pastinya dah telan air liur satu jug sambil  menjeling kuih takut kena bedal semua.

Baiklah dayang-dayang. Ambik resepi ni, lepas ni jangan beli yang kat pasar malam tu lagi. Tak sedap. Dah tu buat sendiri lebih puas hati. Dan pastinya anda akan lebih focus dalam kerja-kerja mencabut uban nanti.

Bahan-bahan:
6 biji telur
½ cawan tepung beras
1 ½ cawan santan pekat (daripada 3 biji kelapa)
2 1/2  cawan gula (kalau rasa berdosa sangat pada pokok-pokok tebu, bolehlah kurangkan)


Cara-cara:
  • Campurkan semua bahan dan bancuh hingga sebati. Bancuhan kuih ini memang cair, jadi jangan buat-buat muka pucat macam terserempak Hantu Bonceng.  Tapiskan.
  • Tuang dalam acuan kuih bahulu dan tutup dengan tudung periuk. Bakar dengan api perlahan.  
Senang je kan? Tapi mana nak dapat acuan tembaga besar gedabak tu?  So, baik call  mak saya,  boleh pinjam acuan dia. Kalau saya, saya caj sehari RM50. Kuih yang siap kena bahagi dua, macam orang menoreh getah, sekerap kena bahagi sama rata. Hiks!