Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Showing posts with label masak lemak. Show all posts

MASAK LEMAK TELUR IKAN DENGAN DAUN KETUMBAR

Memang jarang saya masak telur ikan. Adalah sekali dua kot. Mungkin sebab perasaan belas dan simpati sangat menebal dalam diri saya ni. Bukan apa, saya kesian kat mak ikan. Dibuatnya telur yang saya masak ni telur ikan temakul, cemana?
Bukan setakat mak si Melor ngan Si Pekan je yang majuk lari ke Batu Belah Batu Bertangkup, tapi emak ikan temakul tu sendiripun akan bawak diri ke sana juga nanti. Dan bila masuk ke dalam Batu Belah tu, rupa-rupanya 'ramai' lagi mak-mak ikan kat dalam tu sebab semua telur-telur mereka telah masuk ke dalam periuk saya. Heee. 

Tapi siyes cakap, mak teruje kat telur ikan je. Anak-anak ikan Datin tak main! Apa kelas! 
Bahan-bahan:
500g telur ikan
2 1/2 cawan santan pekat
1/2 inci kunyit hidup
Segenggam kecil cili api
2 ulas bawang merah
2 batang serai
1 helai daun kunyit
2-3 pokok daun ketumbar
1 keping asam gelugur
Garam

Cara-cara:
  • Tumbuk bawang merah dan cili api. Masukkan ke dalam santan dan kacau. Masukkan asam keping dan serai yang telah dititik. Masak dengan api yang perlahan.
  • Apabila telah mendidih kecil, masukkan telur ikan. Masukkan daun kunyit dan daun ketumbar. Perasakan dengan garam.

MASAK LEMAK IKAN MASIN DENGAN NENAS


Mengimbau kegemilangan zaman kanak-kanak riang air sirap (sebab masa tu emak tak mampu belikan air ribena) bila makan nasi lauk ayam, rasa something meresap dalam jiwa. Kesedapan yang tak terhingga. Bila berlaukkan ikan masin pula, mulalah muka mencuka dan terasa diri seolah peserta rancangan 'Bersamamu' di TV3. *E eh, macam berpantun seloka pula.

Dan bila usia di ambang senja, kedutan melata di muka, uban menular seluruh kepala, lauk ayam hilang pesona. Ikan masin dan lauk-lauk kampung pula bertahta di jiwa. Kenapa ya? E eh, betullah, memang macam berpantun! Kih kih kih.


Apa da, ikan masinpun mak mentua bagi. Belum yang lain-lain lagi. Jadi sekali sekala saya perlu juga menginsafi diri. Menoleh kiri kanan  dan ke dalam diri. Cari yang mana perlu dibaiki. Siapa tak mahu gelaran mithali yang abadi. 

Tahniah kepada sahabat yang menjadi 'maharani' di mata keluarga mertua. Kamoo bertuah. Tetapi saya lebih teruja untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat yang tidak henti-henti berjuang untuk 'memaharanikan' diri di mata mereka (erk?! ada ke perkataan ni? tak apa, kita adakan, selagi DBP tidak tangkap saya atas kesalahan berbahasa. Hui!) 

Buat sahabats itu (kamoo tahu siapa anda) silakan dengan berani merentas segala onak dan duri hoqqay? * duhh letih dah berpantun, nak makan nasi dengan lauk maharani ni pulak. Mari la oi!


Bahan-bahan:
5-6 keping ikan masin Talang (campurkan bahagian tulang dan isi)
1/2 biji nenas
2 cawan santan
1/2 cawan santan pekat
Segenggam kecil cili api
2 ulas bawang merah
2 batang serai
1/2 inci kunyit hidup
Garam jika berkaitan

Cara-cara:
  • Tumbuk bawang merah, cili api dan kunyit. Masukkan  ke dalam santan. Masukkan serai yang telah dititik.
  • Masukkan ikan masin dan nenas. Masak hingga mendidih. Kacau perlahan-lahan untuk mengelakkan santan pecah.
  • Setelah mendidih, masukkan santan pekat. Perasakan dengan garam. 


MASAK LEMAK IKAN SUNGAI


Ikan gebu baki Sang Nelayan saya takluki ari tu. Bukanlah baru dimasak. Selamat dikorbankan  setiba tong ikan seberat 10kg yang berisi ikan seberat 2kg di rumah dulu lagi. Memang tak tunggu lama-lama. Tapi tak diberi peluang untuk beraksi. Terpaksa beralah kepada nama-nama besar dalam industri ini. Donut Izah  dan cawangan baru burger MekChah yang dowh dowh tu. Hekhek.

Lagipun Datin dah insaf sikit ni. Baru nak kenang kembali  asal-usul Datin. Dari kampung rupanya. itu yang teringat kat masakan yang sangat dowh juga ni. 


Hatipun sedikit  bergolak  teringat 'anak sedara' yang sedang dilemma wanita tu. Sukar buat pilihan. Bandung atau Langkawi. Kahkahkah. 


Ini masakan orang Pahang. Juga tak dapat dipastikan asalnya dari sebelah mana. Tapi kebanyakan di sebelah Maran dan Temerloh ikan sungai dimasak lemak sebegini rupa. Ringkas tapi cukup rasa. Hanyir ikan dapat diseimbangkan oleh bau unik daun kesum tu. 

Sila, sila. Nasi ada di dapur tu, tak cukup sila tanak sendiri. Mungkin saya balik hari Khamis ni, nak ke rumah Kak Anymz jengah 'anak sedara' yang tengah keliru tu. Ainul, jangan dengar suara-suara sumbang dari Kak Izah dan Si Hasue ni tau. Diorang ni..ishh malas cakaplah..muahahahaha... 

Bahan-bahan:

1 ekor ikan sungai (kali ini saya gunakan ikan sebarau juga)
3-4 tangkai daun kesum
Segenggam kecil cili padi
1-2 keping asam gelugur
1/2 inci kunyit hidup
3 cawan santan pekat
Garam dan perasa secukupnya

Cara-cara:
  • Basuh ikan dengan garam dan asam gelugur untuk menghilangkan hanyir ikan. Toskan
  • Tumbuk kunyit dan cili padi dan gaulkan dalam santan.
  • Masukkan ikan dan daun kesum ke dalam santan. Juga asam dan garam. Masak dengan api perlahan. Jaga-jaga tulang ikan!

MASAK LEMAK PUCUK PAKU


Sebenarnya dah tak relevan kalau nak merungut pasal semua harga barang naik. Semua mahal semahal-mahal alam. Sebab ini bukan isu baru. Ini isu basi dah penuh bakteria dahpun. Sebab dalam kebanyakan situasi, suara kita hanya kita yang mendengar. Walaupun ada juga pihak  yang telah menyuarakan pada saluran-saluran yang sepatutnya. Hasilnya apa? Macam anjing menyalak bukit. Jika disuakan microphonepun, belum tentu bukit tu runtuh, buat sakit tekak anjing je. 

Macam pucuk paku ni, uish memang kenkadang rasa tak sanggup nak beli. Dua ringgit secoet. 4 ringgit baru dua coet. Tapi sanggup ke mokcik meredah hutan mana nak pergi kutip? Haa tak sanggup dok diam-diam. 


Bahan-bahan:

2 ikat pucuk paku (Dah disiang dapat anggaran 2 cekau)
Santan pekat
Segenggam kecil cili padi
3 ulas bawang merah
Sedikit kunyit hidup
1 batang serai- dititik (sebenarnya saya tak pasti orang letak ke tidak, tapi makcik bantai letak je le)
1 mangkuk kecil udang (boleh juga digantikan dengan ikan bilis)
Garam

Cara-cara:
  • Siang pucuk paku, basuh dan toskan
  • Tumbuk cili api, bawang dan kunyit. Campurkan ke dalam santan. Masukkan serai. 
  • Masak atas api perlahan. 
  • Apabila hampir mendidih, masukkan udang dan masak hingga udang menjadi merah. Pastikan masak sebentar saja untuk mengelakkan udang menjadi keras. 
  • Perasakan dengan garam. Masukkan pucuk paku, kacau-kacau sebentar dan tutup api.


LEMPENG DAN MASAK LEMAK SARDIN



Rasa-rasanya ada tak manusia berketurunan Melayu yang tak pernah makan crepe. Err..er... maksud saya lempeng. Kalaulah ada, mesti manusia itu missed untuk menikmati satu fasa hidup yang indah dan gemilang. Mereka itu gagal dengan cemerlangnya untuk menikmati makanan  yang sepatutnya dicatatkan dalam buku Malaysia's Book Of Record sebagai salah satu sarapan yang paling syahdu. Khenn?


Mokcik tinggal sorang kat rumah ni nok. Mulalah nak imbau kenangan itu ini. So pagi ini saya melempang melempeng. Teringat pula arwah adik, satu-satunya lelaki dalam keluarga. Kalau dia makan, setengah biji dia cekau lepas tu cicah kuah, sekali ghapp je. Sebiji dua kali suap.  Belum sempat habis adunan dimasak, lempeng dalam pingganpun tinggal kesan aje. Tak ke syahdu tu? 


Tak apalah, banyak kenangan manis saya dengan dia untuk diingat. Buat apa ingat yang sedih-sedih. Nanti buat lempeng sedap-sedap, tapi tak selera pula nak  makan sebab teringatkan yang pahit dan pedih.

Lempeng ni  saya gandingkan dengan sardin masak lemak. Sardin dimasak macam ni memang top top of the world. Kena pula cicah dengan lemang atau ketupat palas, wussss! Sambil makan sambil melompat kegirangan. 

Untuk acara lompatan dalam kegumbiraan, sila salin resepi di bawah. :p


Bahan-bahan (lempeng):

1 cawan tepung gandum
1 biji telur
1 1/2 cawan air
Garam

Cara-cara:
  • Bancuh semua bahan hingga sebati. 
  • Panaskan kuali leper/non-stick pan. 
  • Oleskan sedikit minyak pada kuali. 
  • Bila agak-agak kuali sudah panas sedikit, tuang sesenduk adunan dan oleskan dengan belakang senduk untuk membentuk bulatan. 
  • Jika semasa mengoles adunan dan adunan kelihatan terlekat pada senduk dan tidak melekat pada kuali, itu bermakna api terlalu kuat. Jadi perlahankan api. Balikkan lempeng apabila permukaan lempeng kekuningan. 



Bahan-bahan (masak lemak sardin):

1 tin sardin (saya guna Mackerel brand Ayam Brand yang bersaiz 230g)
1 cawan santan pekat (daripada 1/2 biji kelapa)
5-6 ulas cili padi
3 ulas bawang merah
2 batang serai-dititik
1-2 keping asam gelugur
1/2 inci kunyit hidup
garam dan serbuk perasa (jika suka)


Cara-cara:
  • Tumbuk bawang, cili padi dan kunyit. Masukkan ke dalam santan. 
  • Masukkan sardin (beserta sosnya), serai dan asam. 
  • Masak dengan api sederhana hingga pekat dan naik minyak. Perasakan dengan garam. 


Hidangkan, makan dan bolehlah melompat kegumbiraan!


MASAK LEMAK PUTIH JANTUNG PISANG MACAM MAK




Melangut sensorang di rumah (walaupun ada bibik menemani) memang kelu kusam masam mulut tak ada orang untuk lawan bercakap. Paling tidakpun cuma bergaduh mesra dengan Nabiha yang asyik-asyik dengan CD Rapunzel dia. Jika berada di pejabat waktu ni, senang-senang je dah 430 patah perkataan saya lafazkan. Bergaduh dengan JD, Syai dan Syam saja dah buat mulut saya letih dan muka pula mulalah  tumbuh beribu kedutan baru. Buat letih beli BB cream je untuk menutup cela.



Memasak bukan keutamaan saya. Masak bila perlu je. Tapi duduk di rumah tanpa produktiviti ni memang saya terasa perlu memasak je. Lapik perut kata orang. Bukan makan banyakpun, 4-5 pinggan je. Heeee.




Lama juga tidak bersayur-sayur kampung cenggini. Bila balik kampung, macam nilah. Macam-macam dibekal oleh keluarga. Umpamanya nak balik ke Melbourne pula.


Selain buat kerabu dan masak lemak cili api, Emak saya selalu masak jantung pisang dengan cara ni. Tekak saya dah terbiasa disua makanan yang lebih terarah ke pantai timur, jadi bila masak jantung hati pisang saya pasti ikut cara mak. Letak ikan dan lada hitam. Macam makan laksa kuah lemak. Apa lagi, lemak-lemak sekalian, silalah tampil, saya tak takut!




Bahan-bahan:

1 biji jantung pisang
1 1/2 cawan santan
Seekor ikan selayang (rebus dengan sedikit air dan dicampur dengan sedikit garam dan asam keping)
1 sudu teh lada hitam
2 ulas bawang merah
Garam secukup rasa


Cara-cara:

  • Potong jantung pisang kecil-kecil.
  • Rebus dengan sedikit garam untuk mengelakkan jantung menjadi hitam.
  • Rebus hingga lembut. Basuh dan toskan.
  • Tumbuk kasar lada hitam, bawang dan isi ikan.
  • Campurkan ke dalam santan dan kacau rata.
  • Masak dengan api perlahan. Bila santan sudah mendidih, masukkan jantung pisang tadi.
  • Perasakan dengan garam. Masak sebentar saja  untuk mengelakkan santan pecah.



DAGING MASAK LEMAK CILI API


Di rumah saya memang jarang kehabisan stok daging. Kadang-kadang stok semasa masih ada, dah di top-up stok baru. Begitulah bestnya menjadi menantu seorang tokey lembu.  Itu jugalah sebabnya ahli-ahli rumah saya semuanya  ‘berdaging’ lebih. Huhu.
Kadang-kadang sampai saya  tak tahu nak buat apa dengan daging lembu yang banyak-banyak ini. Mulalah dikitarkan dengan resepi yang sama saja. Bosan ah! Tapi jangan bimbang, kenikmatan akan jelas terpancar. Jika dimasak sepenuh jiwa raga. Tanpa digigit rasa terpaksa.  Atau dihambat perasaan lemau dan payau.

Bahan-bahan:
½ kg daging
4 batang serai (2 batang dikisar dan 2 batang lagi dititik)
10-12 biji cili api*
5 ulas bawang merah*
1 inci kunyit hidup*
2-3 cawan santan
Daun kunyit
1-2 keping asam keping/gelugur
Ubi kentang
Garam

Cara-cara:
  • Potong daging dan rebus hingga agak empuk. Jika daging  telah empuk dan air rebusan masih banyak, gunakan air tersebut untuk memerah kelapa.
  • Kisar bahan bertanda *. Jika anda tidak kisahkan jumlah lelemak  yang akan masuk ke perut nanti, pilihan ada di depan kamoo. Tumis atau tidak. Terserah.  Tak perlu bermasam muka disebabkan isu ini. 
  • Masukkan daging dan bahan kisar ke dalam santan. Juga  asam keping dan ubi kentang. Jangan lupa pula daun kunyit dan serai yang dititik tadi. Masak dengan api perlahan hingga pekat dan rasanya sudah mencapai gred mumtaz. Jika belum mumtaz, tambahkan  apa yang patut, ataupun masak aje semula.