Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mee Kari Cikgu Azimah


Ini memang resipi yang wajib ada dalam koleksi saya. Tidak boleh tidak. Dalam sebulan pasti 4-5 kali saya memasaknya.  Ianya kegemaran sekeluarga. (sila remove nama anak-anak saya dalam list pencinta mee ini ya!). Jika tidak, masakan saya yang masih anggun dalam persalinan raya bling bling sedap-sedap je dikerah oleh adik ipar kurang kurus untuk memasaknya untuk dijamu sahabatnya. Ganjarannya, dia rekalah cerita bahawa ayah rakannya itu makan bertambah-tambah. Walhal orang tu entah seharian tak jumpa makanan jadi mestilah terasa nak melahap lagi dan lagi.  Tergamak dia membuli kakak ipar kesayangannya ini. Huh!

Ini signature dish Cikgu Azimah. Jika berkumpul adik-beradik, pasti Arjuna saya tanpa segan-silunya meminta saya sms Cikgu Azimah untuk sediakan mee ini.  Mak saya sendiri memuji mee kari Cikgu memang terbaik. Jadi saya terpaksa akur dengan keajaiban sentuhan si kurang kurus seorang lagi tu. Mungkin mana-mana resipi tidak banyak bezanya, tapi dah kakak kitakan, mestilah kita puji lebih berbanding orang lain. Keh keh.

Bahan-bahan mee dan aksesori:
Sebungkus mee kuning (celur,cuci dan toskan)
2-3 keping tauhu (goreng dan hiris nipis-nipis)
Limau nipis atau limau kasturi
Bawang goreng
Telur rebus
Daun bawang/ daun sup diracik halus
Cili besar – hiris nipis

Bahan-bahan kuah:
1/2 kg daging
Kerang untuk tambah darah ibu mengandung
10-15 ketul chicken ball (biasanya saya gunakan jenama Farmbest atau Ayamas)
Segala binatang laut selain dugong dan paus juga boleh dimasukkan
Tauhu kering
6 cawan santan (daripada 2 biji kelapa- perah dengan airnya)
7-8 sudu besar cili kisar
*1 labu bawang besar
*4-5 ulas bawang merah
*1 ½ inci halia
3 batang serai (dittik)
6 sudu besar rempah kari (saya in love dengan jenama Babas dan Allagapas)
Segenggam ikan bilis (rebus dan blend hingga lumat)
1 keping gula Melaka
1-2 keping asam
Daun kari
minyak untuk menumis
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-cara:
  • Tumis bahan bertanda * hingga garing. Masukkan cili kisar dan biar betul-betul garing.
  • Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air dan daun kari.  Biarkan reneh dan betul-betul masak dan naik bau hingga jiran sms tanya tengah masak apa.
  • Masukkan daging dan masak hingga turun airnya. 
  • Seterusnya bolehlah dimasukkan santan, dan bahan-bahan lain selain tauhu kering. Tidak perlulah mengikut aturan dan buat-buat skema sangat. Maklumlah kerja-kerja menjeling resipi memang membuatkan ramai orang meluat untuk ke dapur. Jadi untuk memudahkan cerita, masukkan binatang laut yang telah sedia untuk dikorbankan mengikut aturan lambat atau cepat masaknya. Juga apa jua yang tersenarai dalam resipi di atas kecuali tauhu kering.
  • Bahan terakhir yang perlu dimasukkan barulah tauhu kering.
  • Tunggu sajalah hingga kuah masak dan jadi sedap mengikut  standard tekak raja. Nak manis macam orang Pasir Emas, tambah gula lebih. Nak berani kena check tekanan darah tiap-tiap bulan, bubuhlah garam barang 4,5 genggam.
  • Dah selesai,  rasa dan hidang cantik-cantik bagi suami makan. Jika QA kata ok, minggu depan ajaklah kawan-kawan office datang untuk menghirup kuah mee puanss sekalian hingga ke titisan terakhir.

Leave a Reply