Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KEK GULA HANGUS/SARANG SEMUT

Lama betul tak buat kek ini. Bila makan kek ini, memang teringat jaman geng-geng kelas menjahit kat kampung.  Ini antara yang dikongsikan oleh rakan-rakan 'sekelas' selain dari perkongsian gosip-gosip liar dan hangat. Hehs.

Kawan saya tu masih ada dan masih solo hingga sekarang. 40 tahun masih sendiri. Tapi tidak semestinya bila sendirian secara fizikalnya hatinya juga sedang menyimpan lara di hujung reba, kan? Orang yang berpasang-pasangan juga tidaklah berjalan di atas pelangi sentiasa. Pasti ada sebak dan sebu jua.
Kek kegemaran bapa mertua. Mungkin sebab di awal-awal 'perkenalan' dengan keluarga bakal mertua, ini ajelah kek yang sering saya kirimkan buat pengganti diri. Jadi yang tak sukapun lama-lama terpaksa kutelan jua. Hushshush. 

Banyak versi untuk menghasilkan kek ini. Tapi saya lebih selesa menggunakan sukatan resepi nostalgia ini. Lubang-lubang semut mungkin tidaklah sebesar lubang semut dari resepi lain, tapi saya pasti jika sesiapa yang menjamahnya pasti lubang hidungnya pula kan membesar melebihi dua kali ganda. Krrrrr.
Makngah Noni, terima kasih atas resepi. Berpuluh tahun dalam simpanan dan berpuluh-puluh kali juga telah saya 'bakar' resepi ini dalam oben hitam cap butterfly.

Bahan-bahan:
1 cawan marjerin * saya tak pernah pula cuba menggantikan dengan butter kerana ingin mengekalkan rasa nostagia kek ini
1 tin susu pekat saiz kecil * saya masukkan 1/2 tin sahaja 
(maaf saya terlupa untuk mencatat jumlah gram/ml tin susu bersaiz kecil ni, nanti saya usha kat Econsave ye) 
1 tin tepung gandum
1 tin gula
1 tin air
5 biji telur
1 sudu kecil soda bikarbonat

Cara-cara:
  • Goreng gula hingga menjadi keperangan dan mencair. Jangan goreng terlalu gelap kerana rasanya agak pahit. Apabila gula sudah mencair (tidak sepenuhnya pun tidak mengapa), masukkan air perlahan-lahan. Gula akan mengeras dan meletup-letup apabila dicurahkan air. Jadi tuang dari tepi periku/kuali. Masak hingga mendidih. Ketepikan.
  • Pukul marjerin menggunakan senduk. Tidak perlu sampai kembang. Masukkan telur satu persatu. Pukul sekadar sebati sahaja.
  • Masukkan susu dan kacau rata.
  • Masukkan air gula dan akhir sekali tepung yang telah diayak dengan soda bikarbonat.
  • Bakar kira-kira 40 minit pada suhu 160 deg C.
Nota:
  1. Untuk menggunakan tin sebagai alat penyukat, selepas keluarkan susu pekat, basuh bersih tin. Lap kering dan gunalah untuk menyukat tepung gula dan air. *Cuma yang saya musykil juga kenapa marjerin tu dapat martabat up sket disukat dengan cawan. Heeee
  2. Jika anda mahu kurangkan manis kek, kurangkan sukatan susu pekat dan bukannya sukatan gula.

5 Responses to KEK GULA HANGUS/SARANG SEMUT

  1. sedap ni chah.... ini kek kegemaran suami kita ni.... bini dia je malas nak godek... sering juga cik abang ku pulang dari solat jumaat bwk blk 2, 3 potong kek ni yang dibeli lepas solat kat gerai2 tepi masjid.. hehehe... kek lain? jangan harap dia nak beli mcm tu..hehe...

Leave a Reply