Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Showing posts with label Kek. Show all posts

KEK CHIFFON MARBLE

Kelentang kelenting ting ting ting hati saya berlagu riang bila dapat berita sekolah terpaksa ditutup sebab keadaan jerebu yang  sedang menguji kita. Sampaikan tak perasaan apa sebenarnya mesej yang Sang Pencipta nak bagitau sebab dok ralit sangat  semua orang mengupdate status di FB. "Keadaan jerebu dari tingkap rumah saya". Sebelah tingkap ada terselit gambar handbag baru. "Bla bla kasut baru RM499 jer murah gila bla bla beli online bla bla sebab tak dapat keluar bla bla jerebu di Jelebu"

Padahnya, hati berbunga-bunga 'riak' sebab tanpa sedar eh tersnap pulak gambar handbag, eh gambar kasut jenama mahal  dan eh tertunjuk pulak pada 1,108 orang kawan dalam friend list. Dan eh kawan-kawan komen bertuahnya kau dan jeles jeles jelesnya aku siot! dan wah wah omaigad cantiknya cantiknya gojes gilers babeng!. Ada 58 komen semua. 
Tolonglah jangan begitu. Banyak cara untuk meluahkan dan berkongsi    kegembiraan. Sedar tak sedar aje kita dengan gigihnya sedang mengumpul 'bebanan' di bahu kiri. :)

Maafkan saya kalau sebenarnya saya cuma menuduh anda riak dan takabbur  dengan status sebegitu padahal kamu chill-chill aje walhal saya yang jelesnya aku nork! tengok kau ada itu ini. Detsit!
Kek  ni tak dapat 58 pujian pun di FB. Tapi saya tau, jauh di sudut hati yang menengoknya mesti kata oh menariks giles ini kek. Khan? Yup, umum mengetahui bahawa kek cipon memanglah terbaik antara yang terbaik. 

Kali ni versi aku tamak, ye aku memang perempuan tamak!. Biasanya saya ikut resepi yang gunakan 4 biji telur. Kali ni tamak punya pasal, guna resepi 6 biji telur pulak. Kaedahnya sama, rasa dan gebu geli-gelipun semacam. Cuma keknya akan lebih comey dari kak Ton sebab ketinggiannya ala-ala Model Rembau Most Wanted Yaw!. 
Untuk versi pendek dan ketot sikit je klik kat SINI, SANA, SITU dan SINUN
Bahan-bahan A:
6 biji kuning telur
1 cawan gula halus
2/3 cawan santan (saya gunakan susu penuh krim)
2/3 cawan minyak mazola (saya gunakan minyak canola)
Perisa pandan (saya gunakan perisa pandan dan perisa strawberry)
1/4 sudu teh garam
2 cawan tepung gandum (saya gunakan tepung superfine)
1/2 sudu teh baking powder
Bahan-bahan B:
 6 biji putih telur
2/3 cawan gula halus
1 sudu teh cream of tar tar

Cara-cara:
  • Pukul telur kuning dengan gula hingga kembang dan gebu.
  • Masukkan minyak jagung dan pukul hingga sekata.
  • Masukkan susu dan putar perlahan-lahan. Masukkan tepung yang telah diayak dengan baking powder dan garam.
  • Kacau dengan spatula hingga rata. Ketepikan.
  • Pukul putih telur dalam bekas berasingan.
  • Bila telur sudah berbuih, masukkan gula dan cream of tar-tar.
  • Putar dengan kelajuan maksimum hingga mencapai soft peak dan menjadi meringue.
  • Campurkan adunan putih telur ke dalam adunan tepung dan kacau secara kaup balik (folded) perlahan-lahan untuk mengelakkan gelembung udara rosak.
  • Bahagikan kepada dua bahagian. Masukkan satu bahagian dengan perisa pandan dan satu lagi dengan perisa strawberi.
  • Tuangkan adunan ke dalam loyang secara berselang seli.
  • Bakar dalam acuan angle pan. Acuan tidak perlu digris dengan marjerin/butter. Cukup sekadar dilap bersih dan kering.
  • Bakar pada suhu 160-170 darjah C kira-kira 40 minit atau sehingga kek masak.
  • Apabila kek telah masak, cepat-cepat terbalikkan loyang untuk mengelakkan kek mendap.
  • Tunggu  sehingga kek  betul-betul sejuk dan bolehlah sisip pisau plastik pada sisi loyang untuk mengeluarkan kek.

SUPERCALIFRAGILISTICEXPIALIDOCIOUS CUP CAKES

Supercalifragilisticexpialidocious.Super-cali-fra-gi-lis-tic-ex-pia-li-do-ci-ous.  

Asalnya saya menonton (wah sopan) tengok rancangan Cup Cakes Wars kat channel berapa dah lupa. Setiap episod ada tema. Dalam episod tu peserta kena buat cup cakes untuk ada sorang penyanyi omputis ni. First time ai dengar nama dia yu! Nampak sangat dia tak glamer. Heeee. So cup cakes yang dibuat tu semua berdasarkan lagu-lagu dan character penyanyi tulah. Tengok jugek eh? Ceh! Letih je ai cerita.
Lepas tu (eh 2,3 hari lepas tu) sayapun google lah resepi cup cakes yang menang tu. Ai pun nak 'menang' juga di mata juri-juri dalam rumah ni. Walaupun juri-juri kecil nilah yang kadang-kadang buatkan air mata saya berjurai-jurai. Ok, saya terima hakikat. Anak-anak memang macam tu. Saya yang sepatutnya lebih tekun mentelaah cara  yang terbaik untuk mentarbiah mereka. :)
Sedap rasanya kek vanilla yang bergabung erat dengan karamel. Nama penuh cup cakes ni Salted Caramel Cup Cakes With Pecan Coconut Brittle Crumble And Caramel Swiss Buttercream benornya.  Tapi dinamakan sebegitu untuk menggambarkan betapa super-cali-fra-gi-lis-tic-ex-pia-li-do-cious macam tajuk lagunya. Saya skip part untuk sediakan garnishnya tu. Untuk buttercream pulak saya guna resepi buttercream biasa. 
Ok, part paling ewah poyo wah wah wah. Komen juri. Heee. Cup cakes ni manisnya macam saya jaman dulu. Oh, sekarang saya masih lagi manis walaupun kat muka dah ada retak-retak sikit akibat agen anti penuaan yang gagal berfungsi dengan baik. Ok, boley blas!
 Sumber:  DARI SINI
* saya buat setengah adunan daripada resepi asal. Resepi di bawah adalah resepi yang telah dibahagi dua.
Saiz hidangan : 12 cup cakes bersaiz L
Bahan-bahan (Salted caramel)
* saya gunakan resepi dari seorang sifu saya di ICCA beberapa tahun lepas
175g gula
175g  salted butter-lembutkan (jangan sampai nampak berminyak) - lagi sedap jika menggunakan butter berkualiti tinggi * saya gunakan brand SCS
125g non-dairy whipping cream
Cara-cara:
  • Masak whipping cream dengan api perlahan hingga timbul buih-buih kecil. Ketepikan.
  • Di dalam bekas lain, goreng gula sehingga mencair dan berwarna keperangan. (jangan goreng terlalu gelap kerana rasanya akan pahit)
  • Tuang whipping cream tadi ke dalam caramalized gula  perlahan-lahan dan kacau rata.
  • Apabila adunan telah sebati, masukkan butter sedikit demi sedikit.
  • Kacau hingga semuanya larut dan licin. Karamel yang elok kejadiannya apabila ianya smooth dan berkilat. 
  • Karamel mengambil masa kira-kira 3-4 jam untuk menjadi pekat/kental. Ianya boleh disediakan lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk. Untuk mencairkannya, cuma biarkan pada suhu bilik.
  • Resepi ni menghasilkan kira-kira 1 1/2 cawan karamel.
Bahan-bahan kek vanilla:
3/4 cawan tepung gandum
3/4 cawan tepung superfine
1/ tbs baking powder
1 sudu teh garam
80ml susu
113g butter
2-3 titis esen vanilla
3/4 cawan gula
2 biji telur

Cara-cara:
  • Ayak tepung dengan baking powder. Ketepikan
  • Pukul butter dengan gula hingga sebati dan kembang. Masukkan telur satu persatu.
  • Masukkan esen vanilla dan garam. Pukul lagi hingga gebu.
  • Masukkan tepung diselang-selikan dengan susu. 
  • Masukkan ke dalam paper cup sehingga 3/4 penuh. Bakar pada suhu 170 darjah C kira-kira 15 minit ataupun sehingga masak.
  • Pastikan oven telahpun dipanaskan terlebih dahulu.
Bahan-bahan butter cream:
250g salted butter
1/2 cawan gula icing
3 sudu besar susu full cream/segar
2-3 titis esen vanilla
Cara-cara:
  • Pukul butter hingga kembang. Masukkan gula dan pukul hingga gebu dan sebati. Masukkan esen vanilla dan susu. 
  • Pukul hingga semuanya sebati. Sedia untuk digunakan.
Untuk pecan coconut brittle, saya skip - untuk resepi sila rujuk link kat atas tu ye. :)
Cara-cara untuk assemble cake:
  • Korek tengah cup cakes dan keluarkan sedikit kek di bahagian tengahnya.
  • Masukkan karamel.
  • Pipekan buttercream dan hiaskan. 

KEK LUMUT DENGAN CAPPUCCINO

Saya ada beberapa orang kenalan rapat yang telah berbelas-belas tahun kahwin tetapi masih belum rasa pahitpedasmanismasinmasampedarlidasnya mempunyai zuriat sendiri. Mereka chill aje. 
Macam tulah. Tolong terjemahkan makna hidup yang penuh gemilang ini dengan cara yang lebih best dan giant, boleh tak? Jangan salah sangka. Saya tidak sesekali cuba mengenepikan keinginan kamu untuk membelai bayi, menghirup bau syurga dari seluruh tubuh mulus bayi. Bukan. Apatah lagi keinginan yang meluap dan membuak-buak untuk membeli dan terus tak sedar diri membeli keperluan dan yang tak berapa nak perlu sangat untuk baby.Kan? 
Ya, memang akan ada perasaan yang sedikit  tercalar pedih. Ada kesunyian yang mendalam dan sangat hiba rasanya. Tetapi, meratap menangis berkeluh kesah itu mana faedahnya? 
Senang saja nasihat saya. Bawa jiwa bertemu Tuhan. Bungkus rasa dan serahkan kepada Dia. Dia yang lebih memahami kamu dan tahu what is the bestest for you.  Ha kau, akak bukan boleh berleter. kalau berleter mulalah nak keluar loghat kampung mak akak pulek.  
Tetiba akan ada rasa bergemerlapan diiringi  percikan bunga api gitu bila makan kek ni. Gabungan rasa pandan dan cappuccino  menjadikan aduh sedap sungguh kek yang asalnya adalah kek lumut dari Dayang Jack ni. Saya ejas sikit ye Dayang. :)
Sumber : Dayang Jack Dapur Ku Sayang  dan juga Kak Yatie Sinar Kehidupan
Versi lumut yang bapak ah lopek sedapnya kat SINI
Bahan-bahan:
250g butter
3/4 cawan gula halus (saya masukkan 1/2 cawan sahaja)
4 biji telur
2,3 titis esen vanilla
4 sudu besar seri kaya
1/4 cawan susu pekat manis
1 cawan horlicks
3/4 cawan tepung superfine (tepung gandum juga boleh)
Perisa pandan dan perisa cappuccino/cappuccino emulco

Cara-cara:
  • Pukul butter dengan gula hingga kembang dan sebati. Masukkan telur satu persatu. Pukul rata.
  • Masukkan esen vanilla dan seri kaya. Masukkan susu pekat dan kacau rata.
  • Selang-selikan tepung dan horlicks dan pukul perlahan hingga sebati.
  • Bahagikan kepada 2 bahagian. Satu bahagian masukkan pewarna hijau dan perisa pandan. Manakala satu bahagian lagi masukkan perisa cappuccino.
  • Tuangkan ke dalam loyang yang telah dioles dengan sedikit minyak/marjerin secara berselang-seli.
  • Tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus kira-kira 2 hingga 2 1/2 jam.

KEK PISANG HIGH PROTEIN BERWALNUT

Assalam peeps,

Jemu ke menatap kek yogurt sedap tu? Sebab kek tu memey  ahh sedap sangat jadi saya buat 'sticky post' di situ. Heee.

kebah dah kot demam pilihanraya atau pasca pilihanraya. Cuma satu je yang kurang enak. Bahan-bahan berkempen macam bendera, banner dan bunting kat tepi-tepi jalan tu sedikit menyakitkan mata. Masih bersepah-sepah lagi. Boleh aje saya tolong kutip dan lupuskan benda alah tu,  buat pahala sambil buang lemak-lemak berkarat ni. Sambil buang peluh moga-moga dosa termengalir keluar sama.
Tapi tulah-masih nak harapkan orang lain juga yang buat. Masih lagi ada perasaan, tu bukan kerja aku. Dah tu korang pasang banyak-banyak, korang lah tanggal kan sendiri. Haih gila pangai buruk hati reput berkulat dia ni.
Yang saya tau, buat kek tak berapa nak kek ni.  

Al kisah tepung gandum tinggal anggaran setengah cawan. SRF pun tinggal secubit cuma. Hapa nak di kek pisangkan. Sedangkan gula dan telur sudah bersatu dalam mixer. Tetiba aje ai tercipta resepi baru yu. 
Nak kata roti, rasa dan cara diadun macam kek. Nak kata kek ada juga tekstur roti di situ. Jadi makna kata, masih dalam kategori kek yang sedap dan lembab. 

Cuma, bila saya ulur kek ni kat anak sedara pakai spek kuasa tinggi, dia buat muka anak badak je. Ceh!
Resepi kek pisang yang asal kat SINI
Bahan-bahan:
7 biji pisang emas/4 biji pisang berangan/5 biji pisang nipah
3/4 cawan gula halus
1 cawan minyak jagung
2 sudu besar ovellete
3 biji telur
1 3/4 cawan tepung gandum (* dalam kes ni saya guna tepung high protein)
1/4 cawan tepung jagung
Secubit dua garam
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder - jika menggunakan tepung naik sendiri, omit baking powder
2/3 cawan walnut cincang
Sedikit esen pisang
Cara-cara:
  • Sediakan loyang. Sapu tepi  loyang dengan sedikit minyak dan lapik dasarnya dengan baking paper. Ketepikan.
  • Lenyek pisang dan ketepikan.
  • Pukul telur, gula dan ovellete hingga gebu. Masukkan esen pisang.
  • Masukkan minyak dan pukul lagi. Masukkan pisang dan kacau rata. Masukkan juga secubit dua garam.
  • Masukkan tepung yang telah diayak dengan soda bikarbonat sedikit demi sedikit. 
  • Masukkan walnut dan kacau rata.
  • Bakar pada suhu 160 degree C kira-kira 35-40 minit (untuk kek) dan kira-kira 10 minit untuk cup cakes. Pastikan oven telah dipanaskan terlebih dahulu.

YOGURT CHOCOLATE MOIST CAKE KAK NOR

Ada yang demam pilihanraya? Saya balik kampung untuk melaksanakan tugas sebagai anak Malaysia. Herk! 

Mak mertua saya dengan semangat 'raya'nya siap berendang serunding bagai.  Lemang aje yang tak ada. Dahsyat! Dan sayapun kenalah 'buat-buat sibuk' menikmati sumer-sumer tu. Nanti kecik hati dia, saya juga yang sakit belakang pikul dosa. Dosa sedia adapun dok berkembang tak susut-susut. Adeh.
Nak juga saya mengulas sepatah kali 4367 juta kata perihal pilihanraya. Tapi toksahlah nak bertegang urat kat sini. Masing-masing akan ada hujah dan hujah pinjam dari orang lain. Mesti ader punyer!
Kek coklat lagi. Tapi cubaan dengan yogurt ini pertama kali. Bukan apa, tidak pernah bertemu rasa nak makan kek coklat dan pada masa yang sama ada stok yogurt di sisi. 

Kek coklat black out ataupun kek coklat takde karen memang sedap dan memang idaman lobang idung saya sepanjang zaman. Tambah yogurt menjadikan kek ini rasanya agak lain sikit dan tentunya sedap seh. Ala, but I cannot describe in words. Haha. Itu favourite word saya masa di Sintok. 
Saya namakan kek Kak Nor sebab saya ambil segala link dari blog Kak Nor.  Resepi asal (mungkin cubaan pertama dari Along Roz, bawak ke dapur sana sinun dan berhenti sebentar di dapur saya. Panjang kisahnya dan berakhirnya dari All Recipe Dot Com). 


Saya salinlah resepi kat sini. Al maklum lah tulisan saya lawa yu. 

Bahan-bahan (untuk 1/2 adunan dari resepi asal):
Saiz loyang : 7 inci

2 biji telur
1/2 cawan serbuk koko (saya gunakan serbuk coklat)
1/2 cawan air panas
1/2 cawan butter (saya guna 125g)
1 cawan gula halus
1 1/2 cawan tepung superfine
1/2 cawan yogurt (saya guna 2 bekas yogurt perisa peach)
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh baking powder
Sedikit esen vanilla
Cara-cara:
  • Ayak tepung dengan soda dan baking powder. Ketepikan
  • Bancuh serbuk coklat dengan air panas. Ketepikan.
  • Pukul gula dengan butter hingga kembang. Masukkan telur satu persatu.
  • Masukkan juga beberapa titis esen vanilla.
  • Masukkan adunan tepung di selang-selikan dengan yogurt. Kacau sebati.
  • Masukkan bancuhan coklat dan kacau rata.
  • Bakar pada suhu 170 darjah celsius kira-kira 45 minit. Atau sehingga masak. (saya kukus 1 jam)
  • Sejukkan sebelum dihias mengikut kreativiti masing-masing.

CHOCOLATE OREO SWISS ROLL

Yeay! 1 Mei Hari Pekerja. Buruh eh? Jom cuti! Buruh paksa aka pekerja 'kebajikan' macam saya mana ada istilah cuti. Hari-hari kena kerja. Tapi boleh aje nak bermalas-malasan sejenak. Beberapa jenakpun takpe, yang kisah pun suami anda juga. Takkan Abe Nik rumah depan tu nak piat saya pulak kalau asyik nak melengkar aje.

Pertama, ada orang terpaksa keluar  bekerja sebab nak bantu ringankan beban suami. Ke dua, ada juga yang paksa suami supaya izinkan untuk bekerja bagi memudahkan dia leka bergaya leka berbelanja. Owh Zalora ada sale! Last sekali, ada jugak yang bekerja kerana kebosanan tinggal di rumah, takkan asyik nak cat kuku dan berspa-spa sepanjang masa. Jadilah dia wanita bergaya dan bekerja di pejabat juga.
Anda yang mana? Saya pernah berada dua daripada kategori di atas. Hajat di hati nak bantu suami, tapi sudahnya suami yang sakit kepala kena bantu saya. Duit saya ke mana? Habis kena lebur beli baju, beli itu ini. Yang berpekdah dan yang banyakkkkk yang tak berpekdah. Padahnya, dah nak masuk tiga tahun saya berhenti kerja, lambakan baju kurung tu tak tau saya nak sua ke mana. Owh, kalau sesiapa yang berminat dan sudi, nak aje saya hadiahkan sempena persahabatan pena kita ni. Tapi saiz saya sama dengan Nur Fathia, awak ader kew?

Dahsyat nafsu perempuan ni. Err to be exact, nafsu saya ni. 
Ye, sebab ada 9 nafsu. Akal je ada satu. Tapi gamaknya dengan bantuan syaitonnirrajim nafsu saya yang 9 tu dah berganda jadi berapa jutapun tak tahulah. Yang akal tu takdelah pulak saya berusaha nak kembangkan ke arah kemakmuran keluarga atau kesejagatan ummah ke. Kesian suami. 

Oklah, kalau sian kat suami-suami kita (ehhh, ni bukan ayat suamimu suamiku jua tau) betulkan niat dan tujuan kita bekerja. Saya nak jadi wanita yang solehah, awak takkan tak jeles tengok cita-cita saya? 
So moh kita. Err maksud saya kita tanamkan azam dan usahakan untuk solehahkan diri kita.Sambil tu bakar swiss roll ni. Kek lagi!

Saya tambah oreo dan serbuk koko hitam. Lepas tu kurangkan gula dan tepung sikit. Acu try aje. Tapi saya rasa macam agak dry sikit. Mungkin sebab oreo atau saya yang tak baca Bismillah kot masa nak godek.

Apapun, segulung kek yang penuh kasih sayang mama ni dah lenyap dah dari muka bumi.
Bahan-bahan:
(saiz loyang 10x10 inci)
Sumber: adaptasi dari swiss roll KAK WAN CITARASAWAN
Bahan A
3 biji kuning telur
50g gula halus
40ml susu
50ml minyak jagung
70g tepung gandum
1/2 cawan oreo (saya guna oreo crushed then kisar lagi sampai halus dan barulah sukat)
2 sudu besar serbuk koko hitam
Bahan B:
3 biji putih telur
1/2 sudu teh cream of tar tar
1 sudu teh gula halus
Cara-cara:
  • Sediakan loyang.
  • Oleskan loyang dengan sedikit marjerin. Kemudian lapik dengan parchment paper/ baking paper. Ketepikan.
  • Ayak tepung dengan serbuk koko. Ketepikan.
  • Pukul kuning telur dengan gula hingga kembang. Masukkan air dan minyak jagung. Pukul sebati.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit. 
  • Masukkan oreo dan pukul sebati. Ketepikan.
  • Pukul putih telur hingga berbuih.
  • Masukkan gula dan cream of tar tar dan pukul dengan kelajuan maksimum.
  • Pukul sehingga menjadi meringue ataupun bertanduk/soft peak.
  • Campurkan adunan tepung tadi (bahan A) ke dalam adunan putih telur. 
  • Kacau secara kaup balik (folded) hingga rata. Perlahan-lahan saja.
  • Tuang adunan kek perlahan-lahan ke dalam loyang. Ratakan dengan spatula.
  • Hentakkan sedikit loyang untuk memastikan adunan rata.
  • Bakar kira-kira 10-15 minit atau sehingga masak. 
  • Sejukkan sebentar sebelum digulung.
  • Apabila telah sejuk, terbalikkan loyang. Tarik baking paper perlahan-lahan.
  • Terbalikkan semula dan letakkan filling. Semasa proses untuk menterbalikkan kek, gunakan apa-apa barang (dulang/tray) untuk menampung kek untuk mengelakkan kek patah/terbarai.
  • Ratakan filling.
  • Gulung kemas-kemas. Perlahan-lahan ye untuk mengelakkan kek patah.
  • Proses menggulung kek boleh juga menggunakan baking paper/kertas minyak ataupun tuala dapur yang bersih.
  • Bungkus swiss roll dengan baking paper/kertas minyak dan sejukkan sebelum dipotong. 
* saya gunakan buttercream dan hirisan buah strawberi sebagai filling untuk swiss roll ni.
Untuk resepi buttercream klik kat SINI

TRI COLOR CHECKERED CAKE 2

Tak sabar menunggu siang untuk sediakan kek 'tempahan' anak sedara rambut kepam bau bantal. Dia mintak kek 'warni-warni'. Mak sedara ni pulak takkan nak ngaku tak pandai, haruslah nak kena jaga reputasi dan kewibawaan. Nah ayat-ayat manifesto gitu! Kenapa? kamu kaget ya kerna saya bisa berbicara bahasa Indonesia? Emangnya rakyat Malaysia berbilang kaum dhong! Ada Melayu Mudah Lupa. Saya ini jutawan senyap dari Seberang juga warga Malaysia. Cina India, Nepal dan Bangla juga rakyat 1Malaysia kok!
Hee. Teremosi lah pulak ketua wanita bahagian ni. Saya tak sabar nak mengundi. Sebagai mana tak sabarnya nak tengok orang yang akan makan kek ini terkepot-kepot sengih sampai ke petang sambil menikmati kek ni.
Bila kita gembirakan orang, pasti Allah membalasnya dengan kegembiraan juga. Tapi jika orang mendurjanakan kita dan kita balas dengan kegembiraaan pada mereka, nak tak kalau  Allah balas dengan kegembiraan berganda?
Nak? Sekali sekala cuba bayarkan tol untuk kereta belakang anda. Pasti si pemilik Saga Silver tu pening meneka-neki tapi anda di depan dok sengih sorang-sorang sebab berjaya berbudi walau sekuman untuk manusia. Oh itu andaian saja jika ada Proton Saga. Jika sebuah Mercedes berlampu sepuluh pun di belakang anda, mungkin impactnya lebih besar.
Apa impactnya, pasti boleh fikir sendirikan? Takpun wazzap je saya, sambil saya bagi jawapan, boleh saya rekemen produk baru penjagaan kulit ni. Pakai kat muka, muka jadi licin, uban hilang, tumit pecahpun jadi mulus dengan sekali oles, nak? Hegegege.

Kek span asas dan standard. Cubaan untuk mempetak-petakkan memang tak pernah pudar. Kot-kot tak adalah bersepai sangat macam NI.

Bahan-bahan:
Saiz loyang : 9 inci (juga boleh gunakan loyang 8 inci provided anda ada ring cutter  yang sesuai dengan saiz loyang anda)
Sumber kek asas: Kak Yatie Ayu
5 biji telur
150g gula halus
1 sudu besar ovellete
150g tepung naik sendiri/super fine * jika menggunakan tepung gandum, campurkan tepung dengan 1/2 sudu kecil baking powder dan ayak.
80ml minyak jagung/butter yang dicairkan
80ml air (saya letak susu penuh krim)
Secubit garam
Pewarna dan perasa kesukaan (saya gunakan pink, hijau epal dan kuning)
Cara-cara:
  • Pukul telur, gula dan ovellete hingga kembang dan ringan. Masukkan minyak dan susu. Pukul lagi hingga sebati.
  • Masukkan tepung dan sedikit garam. Pukul hingga rata dan kembang.
  • Bahagikan kepada 3  bahagian sama banyak. Saya masukkan ke dalam bekas yang sama saiz dan isi adunan kek dan timbang.
  • Satu adunan dicampurkan dengan pes lemon dan pewarna kuning. Satu lagi masukkan pewarna hijau epal dan pes pandan. Akhir sekali masukkan  pes strawberry dan pewarna pink ke adunan terakhir.
  • Kacau setiap bahagian perlahan-lahan hingga sebati warnanya.
  • Oles loyang dengan sedikit minyak dan lapik dasarnya dengan kertas parchment/baking paper. Tuang adunan dan ratakan.
  • Bakar setiap kek pada suhu 170 darjah C kira-kira 10-12 minit. 
  • Sejukkan sebelum dipotong menggunakan ring cutter.
Bahan-bahan untuk buttercream:
250g butter berkualiti tinggi (juga berharga tinggi. Hukhuk) -saya gunakan SCS butter
1/2 cawan gula icing (ayak 2 kali)
2/3 cawan whipping cream (non dairy) -saya gunakan brand Rich kotak biru
2,3 titis esen butter (pastikan yang halal kerana kebanyakan esen butter mengandungi alkohol seperti brand wilton)

Cara-cara:
  • Putar butter hingga warnanya agak pucat. 
  • Masukkan gula sedikit demi sedikit serta beberapa titis esen.
  • Masukkan whipping cream dan putar hingga kental. Sedia untuk dilepa pada kek.
Nota untuk memotong dan menghias kek
  • Saya gunakan ring cutter bersaiz 6 inci, 4 inci dan 2 inci. Jadi saya akan dapat 4 ring kek untuk setiap warna. * jadi saya ada 1 bulatan kek saiz 9 inci, 1 bulatan saiz 6 inci, 1 bulatan saiz 4 inci dan 1 bulatan saiz 2 inci.
  • Susunkan secara berselang-seli warna kuning, hijau dan pink. 
  • Seelok-eloknya kita perlu buat  4 keping kek untuk disesuaikan dengan 4 bulatan kek dari setiap warna. Jadi susunan warnanya akan lebih seimbang.
  • Untuk memudahkan sapuan cream ke setiap lapisan kek, gunakan piping bag. Kaedah ini lebih mudah dan kurang comot. Kemudian barulah ratakan dengan spatula. Setiap kali ingin meratakan kek, pastikan spatula dilap bersih.
  • Susun di atas cake plate dan sapukan setiap bahagian kek dengan buttercream. 
  • Tekan-tekan sedikit kek agar kedudukannya rata. 
  • Apabila selesai, buat crumb coat pada keseluruhan kek dan biarkan set sebentar dalam peti sejuk kira-kira 10 minit.
  • Tujuan untuk crumb coat adalah untuk memerangkap serdak-serdak kek agar tidak bercampur dengan buttercream semasa proses melepa keseluruhan (icing) kek nanti.
  • Apabila kek telah set, sapukan dengan butter cream dan hiaskan mengikut kreativiti.
  • Kali ini saya hiaskan dengan ros comot sebab lama tak praktis. Tapi kalau praktispun belum tentu bunga ros saya tak comot. Hoho. * Untuk menghasilkan bunga ros, gunakan nozzle bersaiz 104. Sila rujuk 'wilton rose' di you tube untuk cara yang lebih efektif bagi menghasilkan buttercream rose.
  • Ring cutter juga terdapat pelbagai jenis. Ada yang dijual loose mengikut saiz. Ring seperti ini lebih kukuh dan lebih tajam. Manakala ring yang telah dipatri mengikut saiz agak ringan dan agak lari bentuknya kerana bahan acuan yang agak lembut dan nipis.
  • Ada juga ring cutter yang boleh dilaras saiznya. Maknanya satu ring tetapi mempunyai 3-4 saiz yang berbeza dan boleh diadjust. Ring ini juga lebih berat dan kukuh.
  • Selain ring cutter ada juga acuan ready made khas untuk checkered cake. Bagi jenama seperti wilton, harganya agak mahal pada saya golongan marhaien ini. Tetapi pilihan yang ada, acuan yang lebih kurang sama dengan produk Wilton yang dijual di kedai-kedai alatan dan bahan bakeri.

CAPPUCHINO SPONGE CAKE WITH FRESH CREAM & PEACH TOPPING

Kat atas blog saya, kemain lagi saya cuba menggalas tanggungjawab besar untuk menjawab persoalan-persoalan berkaitan resepi. Itupun jika ada yang sudi bertanya. Rupanya memang ada yang sudi. Tapi saya je yang ala-ala menyombong kunun-kununnya retis yang bizi tak sudah-sudah. Sudahnya lepas berminggu-minggu barulah baca email yang dikirim.
Isunya. Kalau tak defend tak sah. :) Saya akan huraikan satu persatu. 

Banyak betul teknologi mengeliling saya. Mana nak tekan sms, jawab wazzap tentang produk baru yang lebih ebak dari bedak arab. Nak tekan like kat page     Hang Jangan Cakap KL Dengan Aku, Hang Tau Ka Mak Hang Beranak Tang Mana? lagi (ada gak page cenggini),  nak share Ostat Azhar lah...mace-mace!
Itu belum terjebak dalam instagram nya, twitter lah. Sebizi-bizi bee bizi berpekdah. Tapi Kak Ton? 

Maaf ye kepada yang bertanya. Lenkali kalau nak email tu pastikan, minggu depan nak buat, minggu ni dah tanya tau! Bukan apa, dibuatnya gula dan tepung dan diadun, tapi masa tulah baru nak email Kak Ton, memeylah  patah sayap bertongkat paruh ko dik! 
Owh. Jangan kaitkan peribahasa tu dengan situasi kita ni pulak. Akak letak tu sebab nak sedapkan cerita aje. Muehehe.

Abracadabra betul nama kek. Padehal kek sepan aje. Heee. Tapi bukan sebarang sepan tau. Sepan ni bukan laksana menggantung asap mengukir langit tau! Jadi bila letak nama mewah-mewah sikit tak adalah sepuloh jong masuk kuala anjing tetap bercawat ekor! Eeeuuuu. Kebas rasa muka bila dengan riak rianya reti guna peribahasa orang dulu kala nih. 

Inilah satu-satunya resepi kek span asas yang boleh dikatakan saya hafal sukatan bahan-bahannya. Sebab resepi ni selalu saya guna untuk buat pandan layer kek, span coklat dan sebagainya. Terima kasih daun keladi gajah ye Kak Yatie Ratu Talam Dot Com

Amacam, saya ni ada tak ala-ala kuat ketam kerana sepit, kuat burung kerana sayap atau kuat ikan kerana radai? Wusss!!
Bahan-bahan:
3 biji  telur
90g gula halus
50ml minyak jagung
50ml air 
1 sudu besar ovellete
90g tepung naik sendiri
3 sudu besar cappuchino emulco/flavor
1 paket  coffee 3 in 1 (saya gunakan old town white coffee) * tujuannya untuk menyerlahkan lagi rasa cappuchino

Cara-cara:

  • Pukul telur, ovellet dan gula hingga kembang. Masukkan minyak jagung dan air. 
  • Bila adunan telah sebati, masukkan cappuchino emulco dan juga coffee 3 in 1.
  • Pukul rata. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Kacau hingga sebati.
  • Saya gunakan loyang 10x10 inci.
  • Panaskan oven kira-kira 5 minit. 
  • Oles loyang dengan sedikit marjerin. Lapikkan dasarnya dengan kertas minyak/parchment paper.
  • Tuang adunan dalam loyang dan bakar pada suhu 160-170 darjah celcius.
  • Apabila kek sejuk potongkan kepada 4 keping kek. (Senang tak perlu ada kemahiran membelah kek walaupun dah ada alatan secanggih  manapun, tapi kalau tangan tahap gigil yang sukar diselamatkan, baik guna aje cara senang macam ni)
  • Lapiskan setiap kek dengan fresh cream filling. Ratakan dengan spatula.
  • Icekan keseluruhan kek hingga selesai. Sejukkan sebentar dalam peti ais.
  • Akhir sekali, tuang peach topping dan hula-hula!


Bahan untuk filling/topping:
3/4 cawan non dairy whipping cream (saya gunakan jenama Rich's kotak biru)
3 ketul buah peach dalam tin
1/4 cawan  air buah peach
1/2  sudu besar tepung jagung

Cara-cara:

  • Pukul whipping cream hingga kembang dan gebu.
  • Pastikan keadaan whipping cream masih lagi dalam keadaaan sejuk. 
Cara untuk menyediakan peach topping:

  • Kisar 2 ketul buah peach dengan airnya. Masak atas api sederhana.
  • Masukkan tepung jagung (campur dengan sedikit air terlebih dahulu) dan kacau lagi hingga agak likat. 
  • Parut/cincang halus baki 1 ketul buah peach dan campurkan ke dalam topping tadi. Sejukkan sebelum dituang atas kek.