Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive for October 2011

SERIMUKA LABU ADIWARNA

Saya dah siapkan kuih untuk minum petang. Lepas ni tak kisahlahkan kalau saya nak terbongkang bersarang dalam selimut macam ular sawa. 


Tak tau apa dah nak dibuat dengan labu ni. Padahal ada sebiji je. Ari tu dah buat koci, semalampun dah buat donut. Lama-lama mau mokcik jadi labu-labi.




Tupun ada lagi sejuring. Tau tak sejuring tu apa? Hah, kalau masuk peksa harus kau terseringai kat situ Jah!

Buat serimuka labu ni, kemain banyaknya saya bertawakal. Bukannya pernah buat. Main campur dan agak-agak je agar dapat adunan untuk bahagian atasnya macam yang biasa dok buat serimuka biasa tu. Alhamdulillah, sedang-sedang je tekstur dia. Lemak labu tu yang buat saya suka. Lepas tu bubuhlah color-color sikit untuk bahagian pulutnya. Untuk naikkan seri gitu. Jomlah mengonyel serimuka ni dengan saya. Sedap beb!



Bahan-bahan:
Sumber : Adaptasi dari Serimuka Pulut Hitam oleh Ibu Mertua
Saiz : Loyang 20cm

Lapisan Pulut (Bawah)

2 cawan pulut putih
Santan pekat (anggaran 2 1/2 cawan * tak perlu habiskan jika pulut sudah lembut)
Sedikit garam
Secubit gula
Daun pandan
Pewarna yang disukai (saya gunakan hijau, pink dan biru muda)




Cara-cara:
  • Basuh pulut dan rendam pulut kira-kira 1 jam.
  • Jika lebih lama direndam, pulut akan lebih cepat masak.
  • Kukus hingga masak.
  • Semasa sedang mengukus pulut, masak santan dengan garam dan secubit gula.
  • Masukkan daun pandan yang telah dikoyak-koyakkan terlebih dahulu.
  • Biar mendidih kecil dan tutup api.
  • Bila pulut telah masak, keluarkan dari pengukus.  Masukkan santan sedikit demi sedikit. Kacau hingga pulut menjadi agak lembut dan santan menjadi sebati dengan pulut.
  • Masukkan semula dalam pengukus dan kukus lagi hingga pulut lembut dan berkilat. Jika agak-agak masih keras, percikkan dengan sedikit santan dan kacau rata.
  • Ambil dua sudu pulut untuk setiap warna yang dikehendaki dan letakkan pewarna pilihan. Tidak perlu gaul rata.
  • Campurkan pulut yang telah diwarnakan ke dalam bahagian pulut asal (putih). Gaul sedikit saja.
  • Tekan dalam spring form hingga padat. 



Bahan-bahan untuk lapisan atas:

2 cawan santan pekat
1/2 cawan labu -direbus dan lenyek * sukat yang telah dilenyek 
Gula putih secukupnya (saya masukkan 5-6 sudu)
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar tepung jagung
3 biji telur
Sedikit garam


Cara-cara:

Masukkan semua bahan dalam pengisar. Kisar hingga halus dan sebati. Tuang perlahan-lahan dalam loyang yang telah diisi dengan bahagian pulut tadi. Kukus hingga masak. Pastikan penutup pengukus sentiasa dilap untuk mengelakkan air menitis atas kuih.




Saya kemukakan resepi ini kepada:
Aspiring Bakers #12 -Traditional Kuih (Oktober 2011) yang dihoskan oleh SSB (Small Small Baker)

TOMYAM SEAFOOD BERSANTAN CHEF PHAKDI


Tahun 2006/2007 merupakan tahun yang sungguh mengujakan dalam kerjaya saya. Saya ditugaskan dalam bidang yang  100% berbeza dari kelulusan dan juga pengalaman saya sebelum-sebelumnya. Keselamatan dan kebersihan makanan. Hurm ada perkataan makanan, memanglah  I like like like.


Berkenalan dengan orang-orang hebat dalam industri makanan, bermula dari pegerai sampailah ke jawatan-jawatan tertinggi di hotel-hotel terkemuka. Best betul bila asyik dapat makan free kat hotel dan kita dilayan bagai VVIP. Yang kurang best bila kena menyelami hamis hanyir hingga ke susur longkang gerai dan juga kedai makan. Tapi mak ok jer!


Salah seorang dalam 'kenalan' saya tu adalah Chef Phakdi. Anak jati Golok yang pekat betul skiping Kelantan walaupun merata restoran terkemuka dunia dia telah menabur bakti . Dia tidak terkenal di Malaysia. Tetapi dia telah membina empayar dan jenamanya sendiri di merata dunia. Bila tengok resume dia, wow! Bukan calang-calang orang dan terlalu kerdil pula rasanya saya bila ditugaskan untuk menilai dia.




Banyak yang dia kongsikan. Salah satunya resepi tomyam ini. Ini yang paling ringkas dari dia. Yang penting banyak tips yang berguna. Contohnya, jika buat tomyam, seafood kurang menyengat jika digandingkan dengan binatang darat. Sotong pula sebenarnya tidak ngam bila disatukan dengan udang. Banyak lagi. Banyak juga yang dah dibawa angin lalu. Mokcik lupa! Sowi...


Tomyam ni memang menyengat. Kena hirup perlahan-lahan. Jika tidak boleh tersedak dibuatnya. Mulalah tuduh orang tu, orang ni sebut-sebut nama kita. Padahal gelojoh tak hengat.

Bahan-bahan:
Sumber : Chef Phakdi
Saiz hidangan: 1-2 orang

2 ekor sotong bersaiz besar
Cili api
2 batang serai
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2-3 inci lengkuas
Daun limau purut
1-2 batang daun kesum
Asam keping
1 cawan santan
1/2 cawan hirisan kelapa muda  (yang ala-ala berhingus tu)
Daun ketumbar
1 biji tomato
2 sudu besar pes tomato
Garam dan perasa
Pes tomyam
*Cara Chef Phakdi : masak hingga pekat stok kepala udang, cili kering dan serai yang dikisar  halus

Cara-cara:

  • Tumbuk bawang merah dan bawang putih. Tumiskan hingga garing. Masukkan serai, lengkuas dan daun limau purut.
  • Masukkan sedikit air dan pes tomyam.
  • Seterusnya masukkan santan, sos tomato, cili api dan asam keping.
  • Masukkan pula sotong, isi kelapa dan tomato. Koyak-koyakkan daun ketumbar dan daun kesum dan masukkan sekali.
  • Seimbangkan rasa masam masin pedasnya. Perahkan asam limau semasa menghidang untuk lebih rasa masam.

*Tomyam yang kaw adalah bila kita hirup sekali semua rasa akan menerjah tekak. Masam, masin, pedas dan sedikit manis. Sila sediakan tisu banyak-banyak sebab nanti  ari hidungpun boleh menitis dalam mangkuk. Mulalah pelik kenapalah tak habis-habis tomyam dalam mangkuk tu.Kehkeh.  



KUPANG TUMIS HERBA

Kalau  ke pasar borong Selangor, mesti saya beli kerang-kerangan. Tak kisahlah lala ke, bambo clam atau kupang. Tapi masa nak  beli kerang-kerangan ini, saya macam terpana pulak. Kupang ke lala. Budak tu kata lala. Tapi setahu saya, lala tu leper sikit.


Sebenarnya ada dua tiga jenis kerang-kerangan ni yang saya tak tahu nama sebenarnya. Dah bahasa tak rajin nak mencari nama-nama sebenar mereka itu, so meneka dalam kesamaran ajelah. Tak apalah, dah habis kena makanpun. Rupanya yang jenis ni isinya cenonet je. Kan bagus kalau sayapun ada 'isi' sikit cam lala (?) kupang (?) ni.

Selalu-selalunya saya masak main tuang-tuang je sos apa yang ada kat rumah. Lepas tu rekalah nama bagi gempaq sikit. Sang Arjuna nyengih ajelah bila saya merapu letak nama yang ala-ala Jamie Oliver. Huihui.





Kali ini saya masak kupang ni ala-ala pan-fried scallop with herbs and balsamic vinegar dari buku Jamie Oliver, Jamie's Kitchen yang saya beli masa ke Big Book Wolf 2011 di MAEPS dulu. Macam sedap pulak tengok macam-macam daun dia letak. So ini adaptasinya. Wangi betul aroma paduan dedaunan bergaul mesra dalam kuali. Sedap banget tau!


Bahan-bahan:
Adaptasi dari  Buku Jamie's Kitchen (Jamie Oliver)

1kg kupang
2 ulas bawang putih (ditumbuk kasar)
Sedikit halia (ditumbuk kasar)
2-3 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos cili (saya gunakan sos cili Lingham's)
7-8  biji cili api (diketuk kasar)
1 batang serai (dititik)
1-2 tangkai daun ketumbar
3-4 helai daun limau purut
1-2 tangkai daun basil
1-2 tangkai daun parsley
1-2 tangkai daun pudina (petik hasil pertama dari 'ladang herba' saya..kekeke)
Garam, gula dan serbuk perasa
Sedikit apple cider vinegar
Minyak





Cara-cara:

  • Tumis bawang putih, halia hingga agak garing. Masukkan serai dan semua jenis sos. Kacau sebati.
  • Masukkan kupang dan kacau hingga naik wap. Masukkan cili api, apple cider vinegar  dan dedaunan herba  yang dipotong kasar-kasar.
  • Perasakan dengan garam, gula dan perasa (jika suka). Tutup sebentar kuali dengan tudung periuk/pengukus untuk mempercepatkan kupang masak. Apabila kulit kupang kelihatan terbuka, tutup api.
     





KUEH TELIPOK

Ini pula kuih orang Pahang. Glamer mencanak masa bulan puasa. Di luar bulan puasa, daku dilupa jangan. Selalunya bila tengok mak saya buat, mesti saya komen kenapa kelopaknya ada empat je. Sedangkan bunga lain semua kelopaknya lima. Emak malas melayan gamaknya, sudahnya sampai saya dah beranak tiga ni masalah tu  belum dapat selesaikan lagi.  Nak buat kelopaknya kena  cucuk buat lubang  pula ditengah-tengahnya. Ada sebab rupanya. Biar bahagian hijau kuih bertakung di dalamnya dan seimbanglah rasanya nanti. Bukan lubang sebarang lubang oqay! Heee.



Kuih orang lama-lama ni banyak betul bermain dengan tepung pulut, santan dan daun pandan. Sudahnya saya makin berlemak macam santan, lemah gemalai macam pulut. Nak buat kerjapun malas. Tak apalah, janji saya wangi macam pondan pandan. Ngehngehngeh.

Bila saya teringat untuk membuatnya semalam, rasa macam terkial-kial pula nak membentuk kelopak bunga yang berlubang tu. Macam kelakarpun ada. Biasanya dok buat kuih lain yang main gentel boolat-boolat je. Bila ada design sikit,hah tau gelabah.


Sumber : Bonda Tercinta
Saiz hidangan : 3-4 orang





Bahan-bahan:

Bahagian putih (bunganya)
1 1/4 cawan tepung pulut
Air secukupnya
Daun pisang yang telah dilayur secukupnya
Sedikit minyak untuk dioles pada daun pisang (saya gunakan minyak tanak-punyalah nak tradisional habis)

Cara-cara:

  • Bancuh tepung dengan air sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang tidak melekat pada tangan.
  • Picitkan setiap penjuru hingga membentuk kelopak. Buat empat penjuru.
  • Buat lubang sedkit di tengah-tengahnya untuk menakung bahagian hijau nanti.
  • Susun dalam loyang yang dilapik  daun pisang.  Sebaik-baiknya loyang yang agak leser kerana jika loyang yang terlalu dalam, bahagian hijaunya nanti akan terlebih banyak dan akan menenggelamkan bunga pula. * saya gunakan pinggan yang sederhana dalam.
  • Pastikan daun pisang dioles dengan minyak terlebih dahulu. Ketepikan.
Bahan-bahan:
Bahagian Hijau

7-8 helai daun pandan (kisar dan airnya diperah dengan kelapa)
* Juga lebih sedap jika diperah dengan air kelapa. Cuma itulah, sambil belah kelapa, sambil berangan, dah airnya tak dan nak tadah. Haih.
2 cawan santan pekat yang dicampur dengan jus pandan
5-6 sudu besar gula putih
5 sudu besar tepung gandum
Sedikit garam

Cara-cara:
  • Campur santan yang diperah dengan air daun pandan dengan semua bahan lain.
  • Kisar halus.
  • Tuang dalam loyang berisi bahagian putih tadi perlahan-lahan.
  • Pastikan loyang dimasukkan terlebih dahulu ke dalam pengukus untuk mengelakkan bahagian hijaunya tumpah.
  • Kukus hingga masak.


Saya kemukakan resepi ini kepada :
yang dihoskan oleh SSB (Small Small Baker)


BINGKA KELAPA


Nombor di tengah-tengah IC saya ialah sebelas. Maknanya saya lahir di negeri yang ada selonggok masjid yang mahal-mahal tu. Masjid-masjid internasional yang berharga bermelia-melia. Tapi bukan itu yang saya nak cerita.



Saya dibesar-besar-besarkan di Pahang, tetapi banyak makanan yang masuk ke perut saya dipengaruhi  makanan dari negeri yang terlebih G tu. Emak dan ayah anak jati Terengganu, jadi secara tak langsung selera saya juga banyak yang telah  diterengganukanG .


Dulu-dulu emak selalu buat kuih ini. Kuih yang ringkas tapi sangat dipersetujui oleh tekak dua ratus peratus. Chewy gummy yang lemak. Ala-ala kuih dangai dari Utara. Tapi kuih ini lebih lembut berbanding dangai yang agak kering. Dan yang paling penting ianya tak macam chewing gum biasa. Ini boleh telan punya. Hebat kan? Memang hebat sebab kuih ni sedap. Kenyal, gummy dan lemak manis. Huishh!



Bahan-bahan:
Sumber : Bonda Tercinta

Setengah biji kelapa inti (diparut putihnya sahaja)
1 cawan tepung pulut
3-4 sudu besar gula putih
Sedikit garam
1/2 cawan air




Cara-cara:
  • Gaul kelapa tepung dan gula.
  • Masukkan garam dan air. Kacau sebati.
  • Cedokkan ke dalam acuan kuih bahulu yang telah disapu dengan sedikit minyak terlebih dahulu.
  • Bakar hingga garing.
*Saya lebih suka yang terlebih garing. Lekat sikit kat celah gigi tak pe sebab nyaman!



 
Saya kemukakan resepi ini kepada
Aspiring Bakers #12 :Traditional Kueh (Oktober 2011)  yang dihoskan oleh SSB (Small Small Baker)

BROCCOLI AND LEEK SOUP


Hujan-hujan ni malas betul nak keluar ke mana-mana. Rasa macam  nak melengkar je. Plan asal minggu ni nak ke rumah Shaffe, nak menggentel Muhammad yang gebu comey lotey tu. Terasa rindu pula nak beranak kecik. Hikhik.


Belek-belek buku resepi Oprah, yang bila entah saya beli, ada resepi soup ni. Sebelum ni bukak  buku ni sebab ikut resepi carrot walnut cakenya aje. Menarik pula memandangkan ada seketui broccoli yang hampir mereput  tersemadi di sudut peti ais.



Godek ajelah sebelum hujan mendatang. Nanti dah hujan, sibuk nak bergomol dengan Nabiha sampai dua-dua orang kecundang pada huruf zzzzzz. Hirup sup yang tak sama langsung dengan resepi asal sebab daun leeknya tak ada. Lagipun tekak pencinta lemak ni mana boleh makan sup ala-ala menu sihat tu.


Bahan-bahan:
Sumber (tetapi telah ditokok tambah) : The Oprah Magazine Cook Book
Saiz hidangan : 2 orang

Seketul isi ayam (bahagian dada)
2-3 batang leek (saya tak letak)
Seketul kecil broccoli
Sedikit lada hitam -tumbuk kasar
Garam
1/2 ketul kiub perisa ayam
2 sudu besar shredded mozzarella cheese (saya tambah)
1 biji kentang (saiz kecil-saya tambah)

Cara-cara:
  • Rebus ayam hingga empuk. Ketepikan.
  • Dalam bekas berasingan, rebus kentang dan broccoli hingga empuk.
  • Masukkan broccoli, kentang dan ayam beserta air rebusannya dan blend hingga halus.
  • Masak atas api sederhana. Masukkan cheese, garam, kiub ayam dan lada hitam. Masak hingga mendidih. 




CUCUR UDANG & KUAH KACANG

Masih terasa-rasa benar kat tekak saya kesedapan kuah kacang Ani. Ingatkan anak bongsu kerjanya melalak dan mengada je. Rupanya dia pandai masak kuah kacang yang enak. Saya yang bukan anak bongsu ni mulalah  buat-buat mengada teringin nak kuah kacang dia. Esoknya dengan  senyum terkepot-kepot dia tercegat depan pintu pantry dengan tupperware biru muda. Sayang Ani!




Balik merendek petang tadi dengan perut yang berlagak. Konon-konon takkan lapar punya sampai ke malam walaupun dah skip lunch. Baca banyak-banyak kali sikit. Saya skip lunch! Hehe. Tak makan? Idup lagi!? Sejarah penting negara tercipta tew! Kehkeh.




Mata rasa nak tertutup, tapi ke dapur juga bakal isteri mithali lagi solehah ni rebus ekor untuk dibuat sup. Sambil tu capai besen bancuh ajelah tepung.  Kacang tanah yang dah digoreng semalam kalau tak buat apa-apa nanti tengik pula. Kalau dah tengik takkan nak letak bedak Hibka untuk hilangkan baunya pulak.

Pulun ler laki bini makan cucur ni. Anak-anak? Seperti biasa memerhati dari kejauhan. Langsung tak datang dekat tengok mama masak apa. Ke mana deria rasa merekapun tak tahu. Hukhuk.


Bahan-bahan Cucur Udang:

1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh yis segera
1 genggam taugeh
Daun kucai
Daun bawang
1 labu bawang besar
7-8 ekor udang (saya kupas kulit udang dan potong kecil-kecil)
Serbuk kunyit
Garam
Minyak untuk menggoreng


Cara-cara:

  • Bancuh tepung dengan yis. *Boleh juga bancuh yis dengan air suam terlebih dahulu dan tuang dalam adunan tepung.
  • Masukkan serbuk kunyit dan air. Kacau hingga mendapat adunan seperti membuat cekodok. Sebaik-baiknya masukkan garam selepas adunan naik kerana sifat garam yang boleh membantutkan  proses yis untuk mengembang. * jika ingin mengadunnya sekali gus, jauhkan garam dengan yis semasa dalam bekas untuk membancuh.
  • Biarkan adunan naik hingga dua kali ganda.
  • Selepas itu, barulah masukkan taugeh, daun bawang, daun kucai dan bawang besar.
  • Masukkan udang dan garam. Kacau rata.
  • Goreng dalam minyak yang panas. Apabila cucur kelihatan mengembang dan mengeras sedikit dalam kuali, kecilkan api. Ini untuk mendapatkan cucur yang rangup di luar dan isi yang lembut. Masak hingga garing kekuningan.
* saya cedok guna sudu terus ke dalam kuali. Cara dalam buku resepi tulis macam ni : cedok adunan dengan senduk kecil yang telah disapu dengan sedikit minyak, letakkan  seekor udang di atasnya dan goreng dengan minyak yang panas.





Bahan-bahan Kuah Kacang :

1 cawan kacang tanah (goreng dan tumbuk kasar)
1 batang serai
2 ulas bawang merah
2-3 jemput udang kering
Sedikit halia
2-3 sudu besar cili kisar
2 keping gula melaka
Air
Garam
Air asam jawa
Sedikit minyak

Cara-cara:
  • Tumbuk  bawang merah dan halia. Tumis bersama cili kisar hingga garing.
  • Masukkan udang kering yang telah ditumbuk halus.
  • Bila sudah naik bau, (ada ke masa kita masak tak berbau ye..erm)
  • Masukkan kacang dan air.
  • Masukkan serai yang telah dititik, air asam jawa dan gula melaka.
  • Masak dengan api perlahan. Tambah air jika masih kurang pekat dan masak lagi dengan api perlahan. Seimbangkan rasa masam, masin dan manis.
  •  
     
     

KUIH KOCI LABU

Sebut je labu terus teringat kenangan 'manis' di asrama. Sayur labu masak air yang mana ikan bilis keras ketung berenang-renang ketepian dalam kawah. Lauknya  ikan cencaru goreng lengkap berjaket. Isi ikan yang lembut sikit je dari bijih besi. Itu menu untuk hidangan  bersahur, jam 3 pagi. Siapa tak bangun bersahur, kena denda cuci tandas. Aduhai, siapalah penggubal undeng-undeng tak berhati perut tu.


Alasan  saya bangun untuk pergi makan, nihil. Tetapi kugagahi jua dengan harapan setinggi gunung; mana tau kalau saya turun juga ke dewan makan untuk menikmati lauk 'menggoda' tu saya boleh terserempak dengan Sang Arjuna. Mesti bila nampak dia, terus  darah gemuruh campur gedik pun naik ke kepala dan bunga-bunga cintapun jitu disulam di kedinginan  pagi. Heks!




Sebab itulah  saya tidak pernah masak labu untuk dibuat sayur. Saya cuma memakannya bila dimasak oleh orang lain.  Juga ikan jaket jangan berani-berani nak singgah ke dapur saya. Tobat tak lalu nak makan dah wok!



Tapi koci labu ini memang betul-betul menggoda. Lembut dan lemak. Lemak manis inti dibaluti wangi daun pisang. Mengunyahnya tatkala wajah disapa dinginnya  angin petang   sambil bergurau senda mengingat kisah ketawa ria dengan Sang Arjuna tercinta. Arghhhh...Gedss!


Bahan-bahan:
Sumber : Bonda Tercinta

Untuk Inti

1/2 biji kelapa inti (diparut)
2 -3 keping gula melaka
Gula pasir
2 helai daun pandan dikoyak dan disimpul
Air kelapa (juga boleh digantikan dengan air kosong biasa)
1 sudu besar tepung gandum

Cara-cara:

  • Masak gula melaka dengan air kelapa hingga gula hancur.
  • Masukkan simpulan daun pandan.
  • Masukkan kelapa dan masak dengan api perlahan hingga kelapa agak kering dan melekit. Masukkan gula pasir jika masih kurang manis.
  • Akhir sekali masukkan tepung gandum dan kacau rata. Masak hingga agak kering. Sejukkan.

Untuk kuih:

1 cawan labu yang telah direbus dan dilenyek
1 1/4  cawan tepung pulut
Sedikit garam halus



Cara-cara:

Campurkan semua bahan dan jadikan doh yang sekata. Adunan akan melekat sedikit pada tangan. Tidak perlu tambah tepung kerana ini akan menghasilkan kuih yang lembut dan tidak liat.

Untuk sapuan pada kuih:

1 cawan santan pekat
1 sudu teh tepung beras
Sedikit garam


Cara-cara:

  • Campur tepung dengan santan dan kacau hingga sebati.
  • Masak dengan api perlahan. Masukkan garam.
  • Apabila sudah timbul buih-buih kecil (mendidih sedikit) tutup api dan ketepikan.





Cara-cara untuk membungkus kuih:
  • Gentelkan inti sebesar saiz duit 20 sen. Ketepikan.
  • Ambil adunan tepung anggaran sebesar duit 50 sen  dan bungkus inti tadi. Jika doh agak melekit, sapukan tangan dengan sedikit tepung gandum.
  • Sapukan sedikit sapuan santan ke atas daun pisang.
  • Letakkan sebiji kuih dan bungkus dengan kemas.
  • Kukus kira-kira 20 minit atau sehingga kuih masak. 

Lembut dan lemak. Lemak dan Lembut. Huishh!


yang dihoskan oleh SSB of Small Small Bakers

MASAK LEMAK PUTIH JANTUNG PISANG MACAM MAK




Melangut sensorang di rumah (walaupun ada bibik menemani) memang kelu kusam masam mulut tak ada orang untuk lawan bercakap. Paling tidakpun cuma bergaduh mesra dengan Nabiha yang asyik-asyik dengan CD Rapunzel dia. Jika berada di pejabat waktu ni, senang-senang je dah 430 patah perkataan saya lafazkan. Bergaduh dengan JD, Syai dan Syam saja dah buat mulut saya letih dan muka pula mulalah  tumbuh beribu kedutan baru. Buat letih beli BB cream je untuk menutup cela.



Memasak bukan keutamaan saya. Masak bila perlu je. Tapi duduk di rumah tanpa produktiviti ni memang saya terasa perlu memasak je. Lapik perut kata orang. Bukan makan banyakpun, 4-5 pinggan je. Heeee.




Lama juga tidak bersayur-sayur kampung cenggini. Bila balik kampung, macam nilah. Macam-macam dibekal oleh keluarga. Umpamanya nak balik ke Melbourne pula.


Selain buat kerabu dan masak lemak cili api, Emak saya selalu masak jantung pisang dengan cara ni. Tekak saya dah terbiasa disua makanan yang lebih terarah ke pantai timur, jadi bila masak jantung hati pisang saya pasti ikut cara mak. Letak ikan dan lada hitam. Macam makan laksa kuah lemak. Apa lagi, lemak-lemak sekalian, silalah tampil, saya tak takut!




Bahan-bahan:

1 biji jantung pisang
1 1/2 cawan santan
Seekor ikan selayang (rebus dengan sedikit air dan dicampur dengan sedikit garam dan asam keping)
1 sudu teh lada hitam
2 ulas bawang merah
Garam secukup rasa


Cara-cara:

  • Potong jantung pisang kecil-kecil.
  • Rebus dengan sedikit garam untuk mengelakkan jantung menjadi hitam.
  • Rebus hingga lembut. Basuh dan toskan.
  • Tumbuk kasar lada hitam, bawang dan isi ikan.
  • Campurkan ke dalam santan dan kacau rata.
  • Masak dengan api perlahan. Bila santan sudah mendidih, masukkan jantung pisang tadi.
  • Perasakan dengan garam. Masak sebentar saja  untuk mengelakkan santan pecah.



SWEET POTATO ROSE PAU


Beberapa bulan lalu bila saya tengok rupa pau ini di blog pemenang Blogger Masterchef, Wendy , dalam hati saya kata memang kreatif dan rajin sungguh untuk menggentel pau hingga jadi cun begitu. Tapi berhenti di situ dan dibawa angin lalu sajalah. Bila membuat pau saya tetap buat dalam versi boolat-boolat.



Tapi bila beberapa minggu hangat ni, ramai blogger yang mengeroskan pau ini, saya teringinlah pula untuk mencuba. Adunannya lebih kurang adunan pau biasa, cuma ambil masa sedikitlah untuk menggentel kelopak ros ini. Tak apalah. Nak membeli jiwa semua orang dalam rumah punya pasal.




Cara membuat kelopak saya tak ikut cara Wendy dan Kak Ita. Saya gentel macam saya menggentel bunga ros dari gumpaste. Pada permulaannya saya cuba juga guna cara Wendy, tapi terkial-kial dan hampir kecundang. Saya buat separuh saja dari adunan di bawah.


Bahan-bahan:
Sumber : Wendy

500g tepung gandum (saya gantikan dengan tepung pau)
250g keledek purple (direbus dan dilenyek)
100g gula
200g air
1/2 sudu teh yis
50g shortening/butter
1/2 sudu teh baking powder (saya gantikan dengan bread improver)
sedikit garam
1 sudu kecil ovellet (saya tambah)
Sedikit pewarna pink (saya tambah)
Inti kegemaran secukupnya




Cara-cara:
  • Campurkan semua bahan dan uli hingga menjadi doh yang lembut. 
  • Jika menggunakan bread  maker, campurkan semua bahan dan setkan doh. Kemudian keluarkan untuk dibentukkan seperti bunga ros.
  • Gentelkan inti kacang merah sebesar duit 20 sen. Ketepikan
  • Ambil sedikit adunan tepung pau dan bungkus inti hingga tertutup semua. Bentukkan memanjang seperti kudup bunga. Dudukkan kudup dan tabur sedikit tepung di bawahnya  untuk mengelakkannya melekat.
  • Ambil aduan tepung anggaran sebesar duit 20 sen dan canaikan sederhana nipis. Tampal pada kudup tadi dan bentukkan seperti kelopak ros. Buat sekeping demi sekeping hingga mendapat bentuk bunga yang diingini.
  • Letakkan dalam paper cup ataupun lapik dengan kertas/daun pisang.
  • Peram kira-kira 40 minit hingga pau naik.
  • Kukus kira-kira 20 minit atau sehingga pau masak.
Untuk cara membentuk bunga ros seperti yang asal, sila rujuk Blog Wendy dan Blog Kak Ita.





TEMPE GORENG



Bila guruh di perut sama getirnya dengan bunyi guruh di sebalik awan, saya memang akan ke dapur. Lapar-lapar tak boleh jalan dengan ratah milo je. Kena cari something yang boleh memadatkan tali temali perut. Dua bungkus tempe yang digoreng sudah cukup sebagai bekalan untuk masuk bersarang dalam gebar selesa jika hujan akan menyimbah rahmat bila-bila masa dari sekarang.





Dulu kulit saya tidak semulus ini, semenjak kempen memakan tempe oleh Encik Ex Menteri Penyapu, terus saya mengorak langkah ke depan. Betul! Licin & mulus. Tiada sebarang  cela. Tidak perlu SKII miracle water lagi.  Jika sekali imbas, macam adik beradik pula saya dengan dia...hihihi.


 
Bahan-bahan:

2 bungkus tempe
4 sudu besar tepung beras
2 sudu besar tepung gandum
1/2 sudu kecil jintan manis-tumbuk kasar
1/2 sudu kecil ketumbar-tumbuk kasar
sedikit serbuk kunyit
1 ulas bawang putih-tumbuk halus
sedikit air kapur makan
garam
Air
Minyak


Cara-cara:

 
  • Potong tempe mengikut saiz yang dikehendaki.
  • Campur semua bahan kecuali air dan tempe.
  • Masukkan air sedikit demi sedikit hingga menjadi adunan tepung untuk menggoreng pisang.
  • Celupkan tempe dalam adunan tepung dan goreng dalam minyak yang panas.
  • Bila gorengan mula mengeras, pecah-pecahkannya dan perlahankan sedikit api. Goreng hingga kekuningan dan garing.