Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Showing posts with label Mee. Show all posts

MEE HAILAM

Serius. Saya teringat-ingatkan Nuhaa. Miss her. Walaupun baru Sabtu lepas saya  hantar dia ke asrama. Rasa macam dekat pula Kota Bharu dengan Kajang. Pergi flight tengahari, petang balik Kajang semula. Penatnya, toksah cakaplah.

Kena kumpul duit beli private jet lah kalau macam ni. Mungkin penghujung tahun nanti belum mampu beli full set, tapi dapat beli stereng dulu bayar installment 24 jadilah. (lawaknya! lawaknya!)

Ok, ini serius beb. Dua kali sebut serius tu, memang serius sangatlah ni. *Ni dah empat kali tu bai!

Saya risaukan macam mana dia nak basuh baju, macam mana dengan kawan-kawan baru. Makannya, loghat kawan-kawan barunya. Macam mana itu ini. Aduhh!

Tapi takat tu ajelah risau sang emak ini. Rindu berkepuk-kepuk terhenti di situ. Tangan laju aje kelentung kelentang godek mee hailam. Kuakuakua.


Mee hailam hentam dari saya. Tiada bahan yang wajib. Yang wajib anda kena terer  dan ada sedikit pengalaman untuk shoot bola dalam net, macam main bola jaring pakai bib GS atau GA tu. Sebab semua bahan-bahan ni akan dicampak-campak aje ke kuali dari jarak 50 meter! Hihihi.

Bahan-bahan:
Saiz hidangan : 2 orang

Setengah bungkus mee kuning (kira-kira 250g) -celur, basuh dan toskan
Daging (anggaran 1 mangkuk kecil)
4-5 ekor udang
1/2 batang carrot (saya guna 5-6 batang baby carrot)
4-5 keping kacang peas
Satu ketul kecil bunga kobis
1 biji tomato
1/2 batang cellery
2 sudu besar cili kisar
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
 1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
Kicap pekat  manis
Sos tiram
Sos wortescershire (brand lea & perrins tu)
Sos cili
1/2 sudu besar tepung jagung
Minyak

Cara-cara:
  • Tumbuk bawang merah dan bawang putih. Tumiskan bersama cili kisar hingga garing dan naik bau.
  • Masukkan daging dan masukkan sedikit air. Masak hingga daging empuk. Masukkan udang. Tambah air jika kuah sangat pekat.
  • Masa untuk campak mencampak. Masukkan segala sos, kicap dan sebagainya. Seimbangkan rasanya. 
  • Masukkan sayur-sayur yang tersenarai. Juga serbuk lada sulah.
  • Bancuh tepung jagung dengan sedikit air dan masukkan ke dalam kuah.
  • Suapkan perlahan-lahan ke mulut dengan muka yang kunun-kunun sangat merindui anak yang jauh di mata dekat di hati.

MEE REBUS CHEF WAN@AFC


Tekak naga saya memandai-mandai meletakkan bench mark yang  tinggi untuk mee rebus.   Entah kenapa.  Dah naga, nak buat macam mana.  Jika lokasi terkini saya di Johor, memang tak ada masalahlah untuk mencari mee rebus yang sedap.  Macam mencari nasi dagang  yang lazat di Terengganu atau Asam Pedas Ikan Patin di Pahang. Mungkin yang paling tak sedap di sana tapi bila tiba ke Lembah Kelang ni, terus menjadi kegilaan.


Saya rasa mee rebus di Kedai Linda Onn, biasa-biasa saja.  Adalah beberapa kedai underdog di Bangi dan Kajang ni, bolehlah tahan. Yang saya tak tahan, mee rebus ex office mate. Mee Mak Mas. Hiks. Sedap siot mee rebus dia. Masaklah sekuali, sekawah, rasanya tetap sedap. Apa yang dia letak  sampai saya jadi angaupun tak tahu.
Banyak juga resepi di internet saya cuba, tapi sesetengah resepi ada yang  letak kacang tanah, tak letak udang kering. Ada tauchu tak ada rempah kari. Begitu sebaliknya.  Bila menonton Chef Wan masak mee ini di AFC, macam-macam dia letak. Mokcikpun meraban-raban cari pen, terus salin. Sebab sebelum ni, jika baca buku Chef Wan, resepi mee rebus dia tak sama dengan yang disiar di AFC.  Ngelat betul!
hurmmmm...

Bahan-bahan Mee dan Aksesori:
Sumber : Chef Wan @ AFC
Saiz hidangan: 3-4 orang

1 bungkus mee kuning (celur, basuh dan toskan)
2 keping tauhu- goreng dan hiris nipis
Taugeh- dicelur
Daun sup
Telur rebus
Cili besar- dihiris nipis
Bawang goreng
Limau kasturi/limau nipis
harghhhhh......

Bahan-bahan kuah:
2 mangkuk kecil  daging
1 kg tulang
10-12 ekor udang
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
3-4 sudu besar  cili kisar
2 sudu besar rempah kari
2  biji ubi kentang  sederhana besar – rebus dan dikisar
1 batang carrot – rebus dan dikisar
1 biji ubi keledek – rebus dan dikisar
Segenggam kacang tanah – sangan  dan ditumbuk/dikisar
2 sudu besar tauchu - kisar
1 ½  sudu besar udang kering
Garam
Gula Melaka
Bawang goreng
Minyak
Air
 Phewww!!! 

Cara-cara:
  • Tumbuk/kisar bawang merah, bawang putih, halia dan udang kering. Tumis bersama cili kisar.
  • Bila sudah garing, masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air.
  • Biarkan garing dan naik minyak.
  • Masukkan tulang, daging dan air. Renehkan.
  • Masukkan tauchu dan kacang tanah. Juga gula Melaka.
  • Peserta seterusnya adalah kentang, keledek dan carrot. 
  • Masukkan udang dan biarkan seketika. Seimbangkan rasa sedap dan lazat.  Kalau tak sedap, memang aku insan yang lemah hanya mampu berserah. Kuikui. Biar sekata.  
  • Akhir sekali, masukkan bawang goreng, kacau sebentar dan tutup api.
mula...
tamat..

Mee Kari Cikgu Azimah


Ini memang resipi yang wajib ada dalam koleksi saya. Tidak boleh tidak. Dalam sebulan pasti 4-5 kali saya memasaknya.  Ianya kegemaran sekeluarga. (sila remove nama anak-anak saya dalam list pencinta mee ini ya!). Jika tidak, masakan saya yang masih anggun dalam persalinan raya bling bling sedap-sedap je dikerah oleh adik ipar kurang kurus untuk memasaknya untuk dijamu sahabatnya. Ganjarannya, dia rekalah cerita bahawa ayah rakannya itu makan bertambah-tambah. Walhal orang tu entah seharian tak jumpa makanan jadi mestilah terasa nak melahap lagi dan lagi.  Tergamak dia membuli kakak ipar kesayangannya ini. Huh!

Ini signature dish Cikgu Azimah. Jika berkumpul adik-beradik, pasti Arjuna saya tanpa segan-silunya meminta saya sms Cikgu Azimah untuk sediakan mee ini.  Mak saya sendiri memuji mee kari Cikgu memang terbaik. Jadi saya terpaksa akur dengan keajaiban sentuhan si kurang kurus seorang lagi tu. Mungkin mana-mana resipi tidak banyak bezanya, tapi dah kakak kitakan, mestilah kita puji lebih berbanding orang lain. Keh keh.

Bahan-bahan mee dan aksesori:
Sebungkus mee kuning (celur,cuci dan toskan)
2-3 keping tauhu (goreng dan hiris nipis-nipis)
Limau nipis atau limau kasturi
Bawang goreng
Telur rebus
Daun bawang/ daun sup diracik halus
Cili besar – hiris nipis

Bahan-bahan kuah:
1/2 kg daging
Kerang untuk tambah darah ibu mengandung
10-15 ketul chicken ball (biasanya saya gunakan jenama Farmbest atau Ayamas)
Segala binatang laut selain dugong dan paus juga boleh dimasukkan
Tauhu kering
6 cawan santan (daripada 2 biji kelapa- perah dengan airnya)
7-8 sudu besar cili kisar
*1 labu bawang besar
*4-5 ulas bawang merah
*1 ½ inci halia
3 batang serai (dittik)
6 sudu besar rempah kari (saya in love dengan jenama Babas dan Allagapas)
Segenggam ikan bilis (rebus dan blend hingga lumat)
1 keping gula Melaka
1-2 keping asam
Daun kari
minyak untuk menumis
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-cara:
  • Tumis bahan bertanda * hingga garing. Masukkan cili kisar dan biar betul-betul garing.
  • Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air dan daun kari.  Biarkan reneh dan betul-betul masak dan naik bau hingga jiran sms tanya tengah masak apa.
  • Masukkan daging dan masak hingga turun airnya. 
  • Seterusnya bolehlah dimasukkan santan, dan bahan-bahan lain selain tauhu kering. Tidak perlulah mengikut aturan dan buat-buat skema sangat. Maklumlah kerja-kerja menjeling resipi memang membuatkan ramai orang meluat untuk ke dapur. Jadi untuk memudahkan cerita, masukkan binatang laut yang telah sedia untuk dikorbankan mengikut aturan lambat atau cepat masaknya. Juga apa jua yang tersenarai dalam resipi di atas kecuali tauhu kering.
  • Bahan terakhir yang perlu dimasukkan barulah tauhu kering.
  • Tunggu sajalah hingga kuah masak dan jadi sedap mengikut  standard tekak raja. Nak manis macam orang Pasir Emas, tambah gula lebih. Nak berani kena check tekanan darah tiap-tiap bulan, bubuhlah garam barang 4,5 genggam.
  • Dah selesai,  rasa dan hidang cantik-cantik bagi suami makan. Jika QA kata ok, minggu depan ajaklah kawan-kawan office datang untuk menghirup kuah mee puanss sekalian hingga ke titisan terakhir.