Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PULUT UDANG


Sebelum saya berkahwin, saya hanya pandai makan pulut panggang ataupun pulut lepa. Intinya ikan dengan semerbak bau halba. Memang mempesona. Tengok pulut berinti udang dan kelapa, memang saya tak beli dan tak  teringinpun  nak mencuba.
Bila saya berkahwin dengan jejaka idaman, isteri bapa mertua saya awal-awal beritahu bahawa anaknya itu  penggemar pulut udang, dan juga apa jua makanan berasaskan pulut. Oh! Nak tanak pulut, mana saya reti, walhal sedari kecil memang saya ‘melekat’ dengan pulut. Sebab emak saya memang ‘pengedar’ ketupat palas yang paling terkenal di salah sebuah kampung di ceruk Maran sinun.
Boleh dikatakan setiap kali balik kampung, memang ada pulut udang disua mentua untuk dilahap oleh suami. Lama-lama tekak saya boleh terima. Cuma cara penyediaan pulutnya, saya ikut cara emak saya. InsyaAllah, cara ni menyebabkan pulut lambat basi dan boleh disimpan berhari-hari. That’s the idea orang dulu-dulu tanak pulut. Mereka mana ada peti ais sebesar kereta juara, so itu salah satu cara untuk bagi makanan tahan lama. Cara ini juga emak saya guna untuk buat nasi dagang dan ketupat palas.
Bahan-bahan pulut :
2 cawan beras pulut
1-2 cawan santan pekat
Garam/ gula
Daun pandan untuk mewangikan kereta pulut

Cara-cara :
  • Basuh pulut dan rendam  kira-kira sejam. Untuk menyedapkan lagi pulut, rendam dengan air kelapa.
  • Masukkan garam dan secubit gula ke dalam santan. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan timbul buih-buih kecil. Jangan lupa masukkan simpulan daun pandan.
  • Kukus pulut hingga lembut. Ada sesetengah pulut yang cepat lembut seperti pulut susu yang purely dari Siam. Jika tengok agak-agak pulut yang jenis keras, percikkan sedikit air pada pulut semasa mengukus.
  • Keluarkan dari pengukus dan gaul pulut sedikit demi sedikit dengan santan tadi. Gaul hingga sebati.
  • Masukkan semula pulut dalam pengukus dan kukus lagi hingga masak dan lembut.

Bahan-bahan inti:
Setengah biji kelapa inti- diparut
2-3 genggam udang kapas/udang putih
1 genggam udang kering
3 batang serai
 1 labu bawang besar
4-5 sudu cili kisar
Sedikit air (saya gunakan air kelapa)
Minyak untuk menumis
Kunyit hidup/serbuk kunyit
Garam/gula/perasa

Cara-cara:
  • Kisar bawang, serai, udang kering dan kunyit hingga lumat.
  • Tumiskan bersama cili kisar hingga naik minyak dan garing.
  • Masukkan air dan udang kapas. Masukkan kelapa dan masak hingga agak kering. Perasakan garam/gula ikut kesesuaian masing-masing.

Masukkan inti ke dalam pulut dan bungkus dengan daun pisang yang telah dilayur. panggang dengan api perlahan hingga pulut garing. Buat hingga siap, makan sampai habis!



Leave a Reply