Pisang goreng tak sama dengan goreng pisang. Ada juga manusia alpa yang kata sama. Mana boleh sama. Satu kata nama, satu lagi kata kerja. Kan beza tu.
Begitu juga resipi atau cara untuk membancuh tepung untuk menggoreng. Banyak versi dan cara. Tapi saya percaya, sasarannya adalah untuk mendapatkan keropok atau tepung gorengan yang garing dan rangup. Tak ada sesiapa rasanya yang mahukan tepung yang lembik macam bingka.
Emak saya orang Terengganu. Arwah ayah sayapun. Jadi automatiklah saya ni bukan orang Finland. Adalah sikit-sikit persamaan, orang Terengganu dan orang Finland suka makan ikan.Heeeee.
Saya sudah terbiasa makan pisang goreng dengan tepung gorengan yang halus-halus dan rangup ngup ngup walaupun dah sejuk. Tak main la tepung bancuhan Adabi. Biasanya di sebelah pantai timur menggunakan bancuhan sebegini.
Saya namakan Pisang Goreng Batu Rakit, ikut nama kampung halaman emak. Jika emak saya berasal dari Finland, saya akan letak nama Pisang Goreng Nokia. Mungkin.
Bahan-bahan:
6-7 biji pisang
1 cawan tepung beras
1 biji telur
Sedikit garam, serbuk kunyit dan kapur makan
Air
Cara-cara:
Campurkan semua bahan, masukkan air kapur. Bancuhan perlu dibancuh keras dahulu (agak-agak macam adunan buah Melaka). Selepas itu barulah masukkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat adunan yang sesuai. (lebih cair dari adunan lempeng). Masukkan pisang yang telah dibelah, dan goreng dengan minyak yang panas. Bila kerak tepung gorengan telah agak mengeras, kecilkan api dan pecah-pecahkan gorengan tadi. Oh o, lebih baik masukkan pisang ke dalam kuali dengan tangan kerana cara ini akan membentuk kerak yang halus-halus.