Entah kenapa kakak manis nak buat kuih ni. Terbayang-bayang kalau warna hitam putih digabungkan , mungkin ok. Resepi asal, resepi kuih lapis nyonya. Pun kuih wajib kantin juga. Pun versi emak juga. Kuih ini asalnya mempunyai tujuh lapis yang diselang seli antara merah dan putih. Pun begitu, kreativiti manusia yang berpaksikan dunia imperialisme dan sosialisme sekarang ni, telah mengubah kuih ini menjadi pelbagai lapisan warna. Ikut pelbagai lapisan masyarakat, mungkin?
Dan, sebab serbuk coklat hitam yang ada belum diusik, padahal masa di kedai rakus saja tangan menggapai dua bungkus konon-kononnya nak buat oreo cookies. Huh!
Tulah. Dari situlah timbulnya idea untuk menghitam putihkan kuih lemak manis ini.
Hasilnya? Lemak manis sedikit pahit. Si hitam menawan itulah punya pasal.
Bahan-bahan :
1 ½ cawan tepung gandum
3 ½ cawan santan (mokcik suka lagi pekat lagi bagus, lapisan jadi berkilau-kilau dan senang nak selak selapis demi selapis)
¾ cawan gula
Secubit garam
1 sudu besar dark chocolate powder (jika tidak, gantikan dengan warna-warna pelangi, biar hidup tidak redup..yeahhh!)
Cara-cara:
Campurkan semua bahan kecuali serbuk coklat. Kacau rata. Sila pilih, A untuk tapis, B untuk blend. Janji hasil halus mulus kudus, ok?
Bahagikan kepada dua bahagian. Satu dikekalkan putih, dan satu lagi dimasukkan serbuk coklat hitam (warna penjahat). Kisar lagi agar warna penjahat tadi menjadi halus mulus kudus.
Kukuskan dalam loyang bersaiz 8 inci selapis demi selapis. Setiap lapis akan mengambil masa kira-kira 3 minit untuk masak, bergantung pada hebat atau tidak dapur dan pengukus kamu. Jangan lupa sentiasa lapkan penutup pengukus untuk mengelakkan air menitik ke atas kuih.
mama, kenapa kuih ni kotor? ermmm... |