Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BIHUN SUP LIDAH


Semenjak 12 tahun yang lalu boleh kira dengan jari sahaja berapa hari dapur saya tiada bau semerbak sup. Ya betul, itu makanan ruji anak sulung yang berbeza dengan orang lain. Sup dipadankan dengan spaghetti. Stok spaghetti saya sama seperti stok beras. Kena sentiasa ada.

Kebetulan pula, bihun sup utara adalah signature dish dan menu wajib tayang di rumah mertua bila tiba musim perayaan. Seperiuk besar sup. Kepala lembu saja tak ada, lain-lain part semua ada. Dulu-dulu ngeri juga bila saya kena merebus kaki,  ekor dan lidah. Tak termasuk lagi kes saya kena potongkan torpedo si lembu. Malu I tau!
Bila dah   targetnya nak jamu orang-orang-orang-orang, tau-tau sajalah berapa banyak bahan rencah yang kena sediakan. Bila kali pertama saya yang ditakdirkan untuk memasaknya, dalam kepala sudah terpatri ; bahan kena banyak, kena banyak.
2,3 lesung rempah tumbuk saja. Lesung pulak bukan sebarang lesung. Alunya saja dekat-dekat sekilo beratnya. Saya target biar mak mentua saya wariskan pada saya lesung tu. Sebab saya memang berkenan habis. Tapi tak ada lah saya luahkan pada dia, nanti dia kata saya nak rebut harta dia pulak. Lagipun nanti buatnya biras saya pun berkenan, dah jadi perebutan harta pusaka pulak. Hek hek.

Bahan-bahan:
Bihun (celur dan masukkan sedikit serbuk kunyit, toskan)
Lidah lembu
1 kg tulang
*5-6 ulas bawang merah
*5 ulas bawang putih
*2-3 inci halia
*1 labu bawang besar
*3-4 batang kulit kayu manis
*2 sudu buah pelaga
*1 sudu besar bunga cengkih
*2 sudu besar lada hitam
*2-3 kuntum bunga lawang
2-3 sudu besar rempah sup
Minyak untuk menumis
Garam dan perasa
Cara-cara:
  • Rebus tulang dan lidah. Bila agak mendidih dan berbuih-buih, buang air rebusan tersebut dan gantikan dengan air yang baru. Rebus lagi dengan api perlahan.
  • Sementara itu, sediakan bahan rempah. Tumbuk atau kisar bahan bertanda *.
  • Tumiskan hingga garing dan tuang dalam rebusan tulang tadi.
  • Masukkan rempah sup yang telah dibancuh dengan sedikit air.
  • Masak hingga lidah empuk dan daging pada tulang kelihatan sedikit tertanggal. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
Jika ikut petua mak mertua saya, dia akan masukkan sudu besi ke dalam rebusan daging atau perut lembu untuk mempercepatkan daging empuk.Teknik ini mungkin telah dikaji oleh orang dulu-dulu. Ada kaitan kot   antara zat besi daging dengan kandungan besi pada sudu. Entah. Malas saya nak menggoggle mencari hubungkaitnya.

Bahan-bahan aksesori:
Tauhu- goreng dan hiris nipis
Bawang goreng
Daun sup –diracik halus
Lobak asin- basuh bersih dan potong kecil
Limau nipis- dihiris
Sambal kicap 
Kisar cili padi, masukkan kicap dan perahkan air asam limau
Atau sambal cili serbuk (bihun sup utara menggunakan sambal ini)
Tumis cili serbuk, perasakan dengan sedikit dan serbuk perasa. Masak hingga naik minyak.

PAVLOVA


Kalau tak silap saya pada pertengahan Disember lepas saya discover blog Kak Jun ni.  (waktu tu mood kerjapun sudah  terbang melayang ikut hantu susu ke mana entah). Asalnya sebab saya suka menatap wajah-wajah kek yang cantik molek ditatarias oleh tangan-tangan manusia yang sungguh berseni. Selepas dari itu, saya memang mengikuti perkembangan blog Kak Jun ni. Blog yang best sebab  kek Kak Jun sangat cantik dan memukau. Paling utama tulisan beliau yang mengkhayalkan sesiapa yang membacanya. Mungkin pengalaman beliau sebagai bekas wartawan turut menyumbang kepada kepada hasil penulisan yang sangat bagus.
Sebelum puasa kalau tak silap, saya tengok Kak Jun buat dessert ini.  Beliau mencatatkan sumber resipi  diambil dari Joy Of Baking.
Pavlova. Dengar namanya seperti nama orang. Rupanya bila saya google, memang ya ianya nama seorang wanita. Anna Pavlova.
Persembahan Kak Jun dan ceritanya buat saya teruja untuk mencuba. Saya dapat  bayangkan keenakan pavlova ini. Rupa paras dessert ini  sungguh menggoda.
Semangat berkobar-kobar untuk menjamu rakan-rakan ex officemate dengan  resipi baru ini, tapi oleh kerana Si bapa kacak itu demam, jadi saya seolah tak cukup masa untuk sediakannya. Maaf ya kawan.

Bahan-bahan:
sumber: Joy Of Baking melalui Kak Jun
4 biji putih telur (pada suhu bilik)
1 cawan gula halus (saya kurangkan  kepada 2/3 cawan sahaja kerana rata-rata komen blogger yang telah mencuba resipi ini mengatakan ianya sangat manis)
1 sudu teh cream of tar tar
1 sudu teh tepung jagung
Esen vanilla (dalam resipi mencatatkan  satu sudu teh juga, tapi saya teka resipi tersebut menggunakan ekstrak vanilla yang memang betul-betul pure berbanding jenama apa entah yang saya guna ni. Jadi saya letak 2 sudu besar. Ha ambik ko. Bukan apa, takut sangat bau hanyir telur tu mengganggu konsentrasi masa nak memakannya nanti.
Cara-cara:
  • Pukul  putih telur  hingga berbuih. Ok macam ni. Sasaran kita adalah untuk buat meringue ok.
  • Jadi langkah seterusnya bila adunan telur sudah agak putih, masukkan gula sedikit demi sedikit. Masukkan juga cream of tar tar dan tepung jagung.
  • Pukul lagi hingga mencapai tahap bertanduk/soft peak. (celup beater dalam adunan,  untuk test). Jadi pada tahap ini, adunan telah stabil dan jangan nak mengada-ngada konon-kononnya nak bagi tanduk lagi panjang so cik kak sekalian pukul lagi dan lagi.  Agak-agak nak menderita pavlova tak jadi, buat-buatlah terlebih rajin.
  • Sebelum tu jangan lupa sediakan loyang dan lapik dengan parchment paper. Lukis bulatan mengikut saiz yang digemari sebagai penanda aras agar jari jemari mu tidak terpesong semasa  menempek meringue nanti.  Gunakan spatula untuk mengisi pavlova ikut bulatan yang telah dilukis. Oh ya, terbalikkan kertas tu, bukan apa nanti jadi pula pavlova perisa pensel. Hiks. Bentukkan seperti kek.
  • Dalam resipi disarankan kita bakor pada suhu 130 darjah C, tapi oleh kerana tahap kedegilan saya yang tinggi saya setkan suhu lebih tinggi juga iaitu pada 150 darjah. Bukan apa, tekaan saya kalau 130 darjah, macam nak kena tunggu 4 hari je baru boleh masak itu pavlova. Heeee.
Betul, guna suhu 150 darjah C, letak di tengah-tengah oven, saya cuma perlu bakar selama satu jam saja. Jangan buat-buat rakus sangat, bila dah offkan oven, biarkan sejuk dulu dalam oven.

Bahan-bahan topping dan hiasan:
1 cawan (240ml) whipping cream ( saya guna kira-kira ¾ cawan saja, tak cukup lah pulak..tupun dah puas kikis pada kotak. Tapi mak ok je!)
2 sudu gula (saya skip sebab saya gunakan whipping cream jenama Rich, memang rasanya dah cukup manis)
Cara-cara :
  • Pukul whipping cream hingga kental dan  gebu. Masukkan gula (jika applicable). Pukul lagi hingga betul-betul stabil dan pekat.
  • Tuang atas meringue tadi dan hiaslah dengan buah-buahan segar. Untuk catatan juga, buah-buahan segar paling sesuai  kerana rasa masam-manisnya akan seimbang.
Baik. part yang paling penting, komen saya, dessert yang manis menawan dengan rupa yang sangat rupawan. Gebu dan berkrim aje bila masuk mulut. Rasa seakan-akan marsmallow, tetapi marsmallow lebih kering dan melekat kat lelangit. Bagak sedap ah!

MAGGI OH MAGGI


Soalan, ada tak orang tak makan maggi? Kalau ada, dia memang keturunan mengada campur sedikit ngok. Sedap tau nyah!. Sebab tu rumah ni memang tak boleh ada stok maggi. Nanti langsung semua orang  akan ulang menghabiskannya.
Bila Sang Arjuna demam, semua makanan  terbaek saya offer. Dia tetap geleng kepala. Tekak tak selera jadi semuanya tak mengujakan dia.
Maggi ada? Soalan dari orang demam. Jadi sayapun terus kerahkan Bibik untuk merempit ke kedai Cina bawah untuk beli maggi.
Sayapun mula memasaknya. Bukan apa, dah namanya maggi rendam dalam air paippun sodap.  Tapi nak hidangkan pada suami yang tengah kedemaman, biarlah buat dia senyum sikit.

Bahan-bahan:
2 bungkus maggi
2 sudu besar cili kisar
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
Sebiji telur
Sayur-sayuran

Cara-cara:
  • Tumbuk bawang merah dan bawang putih.
  • Tumiskan bersama cili kisar. Bila dah garing, masukkan air dan perencah maggi.
  • Bila air mula mendidih, masukkan mee dan pecahkan telur perlahan-lahan. Masukkan sayur-sayuran pilihan dan bersesuaianlah kan. Tergamak ke korang masukkan kacang bendi ke, terung ke kan?
Hidanglah panas-panas sebab kalau dah sejuk, dah boleh buat murtabak maggi ler pulak.

KEROPOK LEKOR


Satu saja cara anak-anak saya makan ikan. Melalui keropok lekor. Tetapi di sini manalah nak dapatkan keropok yang betul-betul boleh dipanggil keropok. Yang banyak ikan. Taknak lah yang tipu punya. Tambahan pula sekarang ini dah jadi komersial, langsung terabai rasa sebenar keropok lekor atau keropok gete ni. Dah lah tak sedap, bila digoreng, kembang sekuali. Lepas tu meletup habis melecur tangan dan muka.
Zaman saya kecik-kecik dulu, emak saya memang buat sendiri keropok lekor. Tiba hari rabu ada pekan sehari, dan biasanya di penghujung sesi penjual ikan akan melelong ikan. Mak saya akan beli ikan murah dan dibuatnya keropok lekor. Menikmatinya rasa seakan sedang makan  di tepi pantai sambil  tanam kaki dalam pasir dan kena gigit sikit-sikit dek ketam warna kelabu.
Bila saya tanya emak resipinya, mesti jawapan yang sama. End upnya saya kena fikir sendiri dan banyaknya main hentam sajalah ikut suka hati batu ni. Tadi beria saya sukat, konon-kononnya untuk rujukan akan datang. Tapi kalau dikurangkan lagi tepung lagi lembut dan lebih sedap.

Bahan-bahan:
700g isi ikan selayang/sardin (dari 10 ekor ikan)
Caranya: koyakkan kulit ikan bermula dari tepi mukanya sampai ke ekor. Lepas itu kikis isinya semaksimum habis. Hati-hati kot-kot ada tulang yang tersembunyi
1 ¼ cawan tepung ubi/sagu (mungkin kena kurangkan kepada  satu cawan saja)
Garam dan serbuk perasa
Sedikit air

Cara-cara:
  • Tumbuk isi ikan sehingga lumat.
  • Gaulkan dengan garam dan perasa.
  • Masukkan tepung dan uli hingga agak-agak adunan melekat je. Renjis sedikit air jika perlu.
  • Gentel memanjang dan padat-padatkannya. 
  • Rebus kira-kira 10 minit dalam air rebusan yang telah mendidih. Keropok akan timbul bila telah masak, tetapi biarkan kira-kira 3 minit lagi selepas ianya timbul untuk memastikan bahagian dalamnya benar-benar masak. Sejukkan dan bolehlah terus dimakan atau digoreng terlebih dahulu. Oh, jangan lupa belah dulu  tengahnya. Maklumlah ini eksperimen pertama, kalau meletup juga macam keropok Noba tu, ini mungkin percubaan yang pertama dah terakhir la gamaknya.

Red Ruby In Coconut Milk


Bangi  bukan merupakan kota cosmopolitan hingga ada 2,3 biji kolej Kosmopolitan tercacak depan hidung orang  Seksyen 7. Jadi bila ada restoran hebat macam Red Wok Café, semua orang mula berbicara dan mengumpat tentangnya. Yati yang memulakan misi, diikuti dengan Atin anggun. Dan penduduk Bangi yang lainpun turut serta.
Tapi si kurus yang selalu hampeh kalau menerangkan pasal makanan buat saya sakit kepala nyut nyut bila kena memikirkan  apa kejadah menda yang dia makan. Dia  yang makan dan saya pula yang kena teka apa bahannya.
Nasib baik saya berhenti kerja dan mereka heret saya untuk makan di situ. Antara menu yang diorder, red ruby inilah. Nak menangis seikhlas hatipun tak jadi sebab saya kena teka apa bahannya. Saya wild guess saja sebab malas nak layan diorang, sedangkan hati penuh bunga kemboja sebab dapat hadiah cadar mahal. Time kasey!
Siah meneja yang rajin meng-goggle, terus email semua orang.
“tepat tekaan ticer”. Saya dipanggil ticer. Ngok!
 Oklah. Ticerpun ok sebenarnya, tapi ticer selim ke. Huh tak reti langsung nak angkat martabat kawan.

Bahan-bahan :
Sumber : adaptasi dari hidangan Red Ruby oleh Red Wok Café, Bangi
Saiz hidangan : 5-6 orang
5 biji sengkuang cina (saya terpaksa guna sengkuang biasa sebab kebetulan sengkuang cina sudah habis dibeli penduduk China)
2-3 sudu pewarna merah (saya gunakan no taste red coloring)
Tepung ubi secukupnya
3-4 cawan santan pekat (perah dengan air masak)
1 tin susu cair
Garam
Air gula secukupnya
Ais (atau sejukkan campuran santan dalam peti ais)
Beberapa ulas buah nangka

Cara-cara:
  • Potong dadu sengkuang dan basuh bersih. Rendam dalam air yang telah dicampur dengan pewarna merah kira-kira setengah jam. (saya masukkan 2-3 sudu gula dalam air rendaman sebab sengkuang kurang manis berbanding sengkuang cina)
  • Toskan dan gaulkan dalam tepung ubi.
  • Sediakan air rebusan hingga mendidih.
  • Sediakan juga air sejuk dalam bekas berasingan. Masukkan sengkuang tadi anggaran segenggam pada satu-satu masa ke dalam air rebusan. Cara merebusnya sama seperti membuat  Buah  Melaka. Red ruby ini akan timbul apabila telah masak.
  • Campurkan santan dengan garam. Masukkan air gula dan susu cair. Seimbangkan rasa lemak manisnya.
  • Hidangkan bersama nangka dan lagi nyaman dihidang dengan ais dan hirup depan orang puasa enam. Jahat!

Asam Pedas Adik

Biasanya si adik akan tiru masakan si kakak. Atau sesiapa yang lebih tua. Kerana Melayu mudah lupa ni memang sudah terbiasa, orang lama, orang dulu atau orang tua yang makan garam terlebih dulu banyak pengalaman. Ilmu pula setinggi langit.
Tidak juga. Banyak benda yang saya tak tahu buat dengan sempurna hingga sekarang. Dan hasilnya sangat hebat di tangan saudara kandung saya yang lebih muda.
Walaupun begitu, saya sebagai Melayu mudah lupa ini memang terpaksa akur bahawa masakan orang lama, lebih sedap dan menyelerakan. Macam masakan mak. Pehh!!
Sekarang dah menurun kepada Cikgu Sains pula. Bapak sedap masakan dia. Dan satu-satunya bapa di rumah ini, memang tak habis-habis membuatkan Cikgu Sains terconget ekor. Mee kari habis sepinggan, sebakul dia komen sedap. Nasi lemak dilahap 4 senduk, 4 lori juga dia kata lazat. Saya tak boleh nak jeleslahkan. Sekurang-kurangnya banyak ilmu masakan saya kutip dari Cikgu Sains-idola saya.
Sama juga dengan resipi asam pedas ini. Tak sangka adik bongsu saya yang manja mengada-ngada boleh masak asam pedas yang boleh tahan juga rasanya. Selepas menggunakan resipi minah manja mengada ni, kekal hingga sekarang saya gunakan resipi ini saja.
Cuma untuk catatan, prinsip less is more memang not applicable untuk memasak asam pedas ini. Semuanya kena banyak. Kalau tidak, rasanya mungkin  lecas dan hambar  macam ikan rebus saja.
Bahan-bahan:
½ kg daging/ayam
atau 3 keping ikan merah atau kepala ikan
(untuk paparan minggu ini Kak Temah guna 3 keping isi dan ekor ikan Jenahak)
5-6 senduk  cili kisar
*2 labu besar bawang besar
*6 ulas bawang putih
*10 ulas bawang merah
*2 inci halia (anggaran sebesar ibu jari kaki)
*2 inci kunyit hidup (anggaran sebesar ibu jari tangan)
*2 sudu besar lada hitam
Air asam jawa pekat
2 -3 keping asam keping
3 batang serai-dititik
Kacang bendi
Tomato
Garam, gula perasa secukupnya
Daun kesum
Minyak untuk menumis (anggaran jumlah minyak yang diperlukan : apabila dimasukkan bahan kisar, lebihan minyak yang timbul kira-kira setengah inci di permukaan periuk/kuali)

Cara-cara:
  • Kisar semua bahan yang bertanda  * hingga lumat. (untuk jumlah ikan/daging seperti di atas, jika dicampur bahan kisar dan cili kering yang dikisar , akan menjadi kira-kira satu setengah jug blender)
  • Tumiskan bahan kisar bersama cili  hingga garing.
  • Apabila sudah garing, masukkan air, serai dan air asam jawa. Biarkan reneh dengan api perlahan. Lagi lama lagi bagus. Apabila sudah menggelegak, masukkan daging/ayam dan daun kesum. Masak lagi hingga betul-betul pekat. Perasakan dengan garam, gula dan perasa.
Biasanya dalam resipi lain akan cadangkan kita makan dengan nasi panas-panas. Tak semestinya taat sampai macam tu sekali. Sebab kalau dah lauknya sedap macam yang kita tengah saksikan dengan penuh debar ni, makan dengan nasi basipun boleh buat kita nikmati dengan penuh berahi. Perggghh 14 kali!

Mee Kari Cikgu Azimah


Ini memang resipi yang wajib ada dalam koleksi saya. Tidak boleh tidak. Dalam sebulan pasti 4-5 kali saya memasaknya.  Ianya kegemaran sekeluarga. (sila remove nama anak-anak saya dalam list pencinta mee ini ya!). Jika tidak, masakan saya yang masih anggun dalam persalinan raya bling bling sedap-sedap je dikerah oleh adik ipar kurang kurus untuk memasaknya untuk dijamu sahabatnya. Ganjarannya, dia rekalah cerita bahawa ayah rakannya itu makan bertambah-tambah. Walhal orang tu entah seharian tak jumpa makanan jadi mestilah terasa nak melahap lagi dan lagi.  Tergamak dia membuli kakak ipar kesayangannya ini. Huh!

Ini signature dish Cikgu Azimah. Jika berkumpul adik-beradik, pasti Arjuna saya tanpa segan-silunya meminta saya sms Cikgu Azimah untuk sediakan mee ini.  Mak saya sendiri memuji mee kari Cikgu memang terbaik. Jadi saya terpaksa akur dengan keajaiban sentuhan si kurang kurus seorang lagi tu. Mungkin mana-mana resipi tidak banyak bezanya, tapi dah kakak kitakan, mestilah kita puji lebih berbanding orang lain. Keh keh.

Bahan-bahan mee dan aksesori:
Sebungkus mee kuning (celur,cuci dan toskan)
2-3 keping tauhu (goreng dan hiris nipis-nipis)
Limau nipis atau limau kasturi
Bawang goreng
Telur rebus
Daun bawang/ daun sup diracik halus
Cili besar – hiris nipis

Bahan-bahan kuah:
1/2 kg daging
Kerang untuk tambah darah ibu mengandung
10-15 ketul chicken ball (biasanya saya gunakan jenama Farmbest atau Ayamas)
Segala binatang laut selain dugong dan paus juga boleh dimasukkan
Tauhu kering
6 cawan santan (daripada 2 biji kelapa- perah dengan airnya)
7-8 sudu besar cili kisar
*1 labu bawang besar
*4-5 ulas bawang merah
*1 ½ inci halia
3 batang serai (dittik)
6 sudu besar rempah kari (saya in love dengan jenama Babas dan Allagapas)
Segenggam ikan bilis (rebus dan blend hingga lumat)
1 keping gula Melaka
1-2 keping asam
Daun kari
minyak untuk menumis
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-cara:
  • Tumis bahan bertanda * hingga garing. Masukkan cili kisar dan biar betul-betul garing.
  • Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air dan daun kari.  Biarkan reneh dan betul-betul masak dan naik bau hingga jiran sms tanya tengah masak apa.
  • Masukkan daging dan masak hingga turun airnya. 
  • Seterusnya bolehlah dimasukkan santan, dan bahan-bahan lain selain tauhu kering. Tidak perlulah mengikut aturan dan buat-buat skema sangat. Maklumlah kerja-kerja menjeling resipi memang membuatkan ramai orang meluat untuk ke dapur. Jadi untuk memudahkan cerita, masukkan binatang laut yang telah sedia untuk dikorbankan mengikut aturan lambat atau cepat masaknya. Juga apa jua yang tersenarai dalam resipi di atas kecuali tauhu kering.
  • Bahan terakhir yang perlu dimasukkan barulah tauhu kering.
  • Tunggu sajalah hingga kuah masak dan jadi sedap mengikut  standard tekak raja. Nak manis macam orang Pasir Emas, tambah gula lebih. Nak berani kena check tekanan darah tiap-tiap bulan, bubuhlah garam barang 4,5 genggam.
  • Dah selesai,  rasa dan hidang cantik-cantik bagi suami makan. Jika QA kata ok, minggu depan ajaklah kawan-kawan office datang untuk menghirup kuah mee puanss sekalian hingga ke titisan terakhir.