Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive for July 2013

BEST CHOCOLATE WALNUT MUFFINS

Kejadian pada suatu senja bila Sang Arjuna balik dan terkocoh-kocoh  terus meluru seraya menerpa ke arah isterinya yang DDD ini yang sedang berdiri di sisi mee rebus. Terpa mee rebus rupanya!

Ingatkan rindu kat ai! Hampeh!

Lepas makan, dia ajak saya temankan dia menziarah kematian. Satu jenazah yang baru saja 'dipanggil pulang' oleh Sang Pencipta. Memecut Arjuna bawak kereta agar dapat tiba tepat waktunya ke Ampangan, Nisemilan.
Arwah, sudah. Giliran kita? Dalam perjalanan balik saya terus call Kak Jaliah. Dia salah seorang kenalan semasa di Mekah. Apa yang buatkan saya teringatkan kak Jaliah bilamana kami mula berkenalan dalam bas yang tersasar jalan. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah yang sepatutnya hanya 1-1 1/2 jam tapi memakan masa hampir 9 jam! Campur lagi dengan 8 jam sebelumnya perjalanan dari Malaysia ke Jeddah. Dugaan pertama sewaktu menjejak kaki ke bumi suci. :)

Saya cuba chill aje. Walaupun tubuh badan terasa penuh cili. Lapar, takut, letih dan paling hebat bila hampir terkucil dalam kain. 

Sesampai di hotel kami seolah-olah melepaskan satu bebanan batu yang sangat besar di dada, yeay kita dah tak sesat lagi! Gembira semua orang bila dapat kunci bilik dan teruja menuju ke lif untuk melepaskan lelah seketika sebelum menyambung perjalanan yang lebih hebat.

Saya dan Sang Arjuna. Kak Jaliah dan suami- Abang Farid. Kami berkongsi lif. Tiba di tingkat 5, Abang Farid rebah di kaki saya, mukanya kebiru-biruan. Paniknya Ya Allah. Tiba di tingkat 8, Abang Farid sudah tiada 'disitu'. 

Mudah saja perjalanannya. Kami dengan panik, terjerit-jerit, "ada tak doktor kat sini? Tolong ada tak sesiapa doktor kat sini?"

Ya, kejadiannya berlaku depan bilik seorang doktor. Juga daripada jemaah kami. MasyaAllah! Doktor Sharifah Noor menerpa datang, cuba memberikan bantuan yang sepatutnya.

Meninggal di ribaan kami, betul-betul di pintu lif tingkat 8. Rupanya bilik Abang Farid (sepatutnya) bersebelahan dengan bilik Dr Sharifah Noor.  Abang Farid yang berbadan agak gempal menyukarkan kami (saya) untuk menarik tubuhnya keluar dari lif. Sementelah Sang Arjuna dan kak Jaliah tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan ruang di tengah-tengah lif padat dengan beg-beg kami.

Selepas hanya beberapa jam saya di bumi Mekah, saya jumpa Abang Farid dan tika itu jualah saya berpisah dengannya.

Teringat-ingat  kata-kata Kak Jaliah dalam perbualan kami semasa dalam bas, berkisar kerja-kerja haji yang bakal kami laksanakan. "nanti Chah kena tolong akak ye," Dia genggam tangan saya. Saya jadi berderau, sebab sebelum saya pergi menunaikan haji, saya selalu berdoa.  Jika Allah berikan ujian di tanah suci, saya 'teringin' diuji agar saya dapat menghulur secebis bantuan kepada sesiapa saja yang saya jumpa.

Doa saya semudah itu dimakbul? Atau Tuhan juga sebenarnya menguji saya atas 'keceluparan' saya yang kununnya tersangatlah ingin berbakti kepada orang bila di sana nanti?
Suara Kak  Jaliah ceria di hujung sana. Dia baik-baik saja. Alhamdulillah, dia juga pernah datang menziarah saya selepas baik dari Mekah bersama anak menantunya. Juga telah bersama ahli keluarga menunaikan umrah seusai habis eddahnya. Sekurang-kurangnya anak-anak arwah Abang Farid dapat juga melihat 'tanda' tempat persemadian ayah mereka.

Semoga ikatan persahabatan ini berkekalan hingga ke syurga. :) Semoga saya juga mampu setabah Kak Jaliah sekiranya saya menghadapi detik-detik sebegitu. 

Dahla, tersyahdu lah pulak saya.

Makan banyak, sebu pulak perut. Tapi tak apa, hati senang, senyum pun jadi ikhlas dan dabel menawan jika gusar di hati melayang terbang. Muffin lagi. Kalau sudi, kalau tak sudi, cer doa banyak-banyak agar kita boleh setenangnya Kak Jaliah untuk menghadapi hari muka. 

Resepi dari : All Recipes
Bahan-bahan:
250g tepung gandum
50g serbuk koko
300g gula halus
1/2 tsp baking powder
1 tsp soda bikarbonat
Secubit dua garam
300ml susu (saya bancuh susu tepung dengan air)
1 biji telur
2 sudu besar minyak jagung/sayuran
1 tsp esen vanilla
175g chocolate chips
75g walnut-cincang
50g almond-cincang

Cara-cara:
  • Campurkan tepung, serbuk koko, soda bikarbonat dan baking powder. Ayakkan.
  • Pukul telur dan gula. Masukkan susu dan esen vanilla hingga sebati.
  • Masukkan campuran tepung ke dalam adunan tadi. Masukkan sedikit garam.
  • Masukkan almond dan walnut. Kacau sebentar.
  • Masukkan chocolate chips dan kacau sebati.
  • Masukkan ke dalam acuan muffin sehingga 3/4 penuh. Bakar kira-kira 10-12 minit atau sehingga masak.

p/s Saya akan menghadapi hari-hari yang agak sibuk menjelang Ramadhan ini. Entah bilalah akan berjumpa lagi di blog Kak Ton ni. Kenapa saya sibuk? 


 Inilah sebabnya. :)

Setahun yang lepas saya memulakan bisnes kecil-kecilan membuat dan menjual telekung. Manalah tau kalau sesiapa yang berminat boleh la singgah ke kedai saya di Renda Renda, No: 20G, Jalan Bulan BT/U5, Seksyen U5, Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. Ataupun bolehlah usha-usha kat R By Renda Renda. Page ni pun baru je create. :) E eh, tak ada angin takde ribut ada iklan lah plak Kak Ton ni.