Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive for March 2012

DRAGON FRUITS PANNA COTTA

Seronok betul 'girlfriend' saya nak round Europe esok. Hidup sesuka suki hati untuk berterbangan ke mana yang dikehendaki.  Boleh beli apa yang dihajati.Tanpa ragu dan ralat. Betulkah itu bahagia? 

Teringat cerita dalam satu majalah yang mana si isteri kepada orang kaya pemilik syarikat multi billion biasanya akan membeli 3 handbag sekaligus. Satu untuk dipakai, satu untuk disimpan dan satu lagi untuk anak perempuannya yang debab. Dan semua itu adalah beg-beg berjenama yang limited edition setanding yang dijinjing Oprah, Victoria Beckam dan JLo. Tapi memang pasti hidupnya tidak pernah disapa gundah dan resah?
Tahun lepas pertama kali saya tengok di majalah ada handphone berharga RM57,000. Ha????? Dan paling membuat saya  lebih tercopong bila saya pernah terserempak dengan Ah So tua yang baru keluar dari kedai dan menjinjing beg kertas. Dia baru saja membelinya! Pada sesiapa yang pernah tak tahu macam saya, jenamanya Vertu. Bila difikirkan balik, mungkin sesuai untuk warga yang kertu sahaja. Tapi, adakah anak-anak atau orang tersayang pasti akan berhubung dengannya di saat dia perlukan? 

Saya tak ada semua tu, dengan kata lain berderet impian keinginan tersenarai dalam wishlist. Tapi alhamdulillah, setakat ni saya ada apa yang saya perlukan. Itu sudah lebih dari memadai, bukan?

Apa yang saya perlukan di hari yang redup macam nipun sudah saya dapatkan. Tenang dan disambut senang oleh warga perut. Sedap dan sedap dan sedap dan sedap  panna cotta versi ni. Terima kasih kepada Ratu Jeli Jelo laling!
Untuk versi strawberry sila telan air liur  DI SINI dan versi mangga juga ada   DI SINI

Bahan-bahan:
Sumber: Kak Nor Secubit Garam
2 1/2 cawan susu segar
9gm serbuk gelatin
4 sudu besar air panas
1/4 cawan gula
Esen vanilla

Cara-cara:
  • Masukkan serbuk gelatin ke dalam air panas. Kacau hingga larut.
  • Masak susu bersama gula hingga mendidih kecil. Pastikan gula telah larut sepenuhnya. Masukkan 2,3 titis esen vanilla.
  • Masukkan campuran gelatin tadi ke dalam susu. Kacau sebati. 
  • Sejukkan hingga betul-betul set. (Anggaran masa kalau tak sabar lepas 4 jam dah boleh dinikmati dah)
Bahan-bahan (dragon fruits puree):
1/2 biji buah naga/dragon fruit
2-3 sudu gula
Perahan lemon

Cara-cara:
  • Kisar buah naga dengan gula. Masukkan perahan lemon. 
  • Tuang ke atas panna cotta dan sedia untuk dinikmati.
Hurmm, memang tak teringin dah beg ke vertu ke apa bila ada dessert ni menjadi pendamping! 


RED VELVET CAKE 2

Pagi-pagi lagi saya dah bersiap-siap ni. Sehari dalam seminggu nak kena juga merayap cari ketenangan. Mujur-mujur ada jual di mana-mana. Ataupun boleh hilang sekilo dua 'harta pusaka' di pinggul ni bila banyak melangkah di tengah kotaraya nanti. Yeay!

Siap dah berliptip merah menyala ni. 4 batu dah tau bibir sapaaaalah tu merah sangat ala-ala montot  beruk Ayah Teh Lias. *Bila sebut pasal kerja-kerja menatarias diri ni, saya memang akan terus teringatkan arwah ayah pernah quote. "Yang emak kemain lagi bersoleknya, pakai gincu 4 batu dah nampak, tapi botol susu anak, berkelarah!"
100% betul apa yang arwah ayah cakap. Sang Emak sibuk dress-up lip lap, tapi anak alahai. Popcorn terlekat kat pipi. Sebab digamkan oleh hingus. Cait! 
Boleh juga nak meraikan hari-hari berliku? berdosa? bergembira? (anda yang lebih pasti) dengan kek merah ini. Sepekat liptip saya. 
Oh tidak. Sebenarnya saya seorang yang sangat mempunyai masalah moral dari segi kerja-kerja menaiktaraf muka dan yang sebarisan dengannya. Yang nyata cuma berbedak Johnson penutup warna hijau muda je ni. 

Resepi? Klik aje kat SINI. Cuma kali ini saya  buat setengah adunan saja. Hasilnya dapatlah kek yang kecik kenot je dalam loyang 6 inci. 

Moga-moga dengan tidak melahap yang 6 inci lagi tu membuatkan saya akan kehilangan 12 inci dalam masa 6 menit! 

KARIPAP ADUH!

Aduh! Terus terasa nak berhenti jadi datin lah macam ni. Bila kena singsing lengan gentel karipap memang datin kurang sanggup. Tercemar imeh sememeh. Datin bukan apa,  bila kelim karipap jadi ala-ala tepi kelambu kena pintal. Bukak-bukak penuh pepijat. Ha gitulah buruknya rupa karipap hasil tangan penuh gelang ni. 

Saya dah hantar berpuluh-puluh petisyen untuk merayu kepada Sang Arjuna agar lupakan sajalah karipap, banyak lagi pilihan yang lain. 
"Abang tak mampu yang..., maafkan abang sebab abang tetap akan ingat karipap, dan lupakan yang lain" Pffttt!

Saya memang kagum tahap vavavava pada mereka itew yang menghasilkan karipap yang sangat cantik dan kemas. Mungkin sebab tangan kaldai kidal saya ni menjadikan ia begitu hampes ek? * salah tangan jugok!
Tak apalah. Sang Arjuna ngap terus karipap tu buat sarapan dalam kereta. Dalam keheningan pagi dia takkan perasaan kot kipap-kipap tu kopak kepek. Huuuu

Bahan-bahan doh:
1/2 kg tepung gandum
5 sudu besar marjerin/butter
2-3 sudu minyak masak
Garam
1 cawan air (anggaran)

Cara-cara:
  • Bancuh tepung dengan marjerin dan minyak. Sukatan antara minyak dan marjerin  kena saling kurang-mengurangi dan seimbang. Jika terlebih bahan lelemak, karipap akan terlalu gebu dan rapuh begitu juga sebaliknya. 
  • Masukkan air sedikit demi sedikit. Tak perlu habiskan jika sudah mendapat doh yang kenyal dan lembut serta tidak melekat pada tangan. 
  • Uli hingga doh menjadi betul-betul licin.
  • Boleh juga menggunakan mixer ataupun bread maker untuk memudahkan kerja.
  • Penggunaan minyak masak yang dipanaskan terlebih dahulu juga memainkan peranan yang signifikan juga. Jika terlalu banyak minyak panas yang dimasukkan, adunan tepung akan 'masak' dan menyukarkan kerja-kerja mencanai. Ini kerana doh akan mengecut bila dicanai. * Erk! teori semua tahu, tapi bila membuatnya....
Bahan-bahan inti:
3 biji ubi kentang sederhana besar -dipotong dadu
2 bahagian dada ayam
1 labu bawang besar-dipotong dadu
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2-3 sudu besar cili kisar
2 sudu besar rempah kari daging
Garam
Gula nisan
Daun sup (tapi kali ni saya tak letak)
Minyak

Cara-cara:
  • Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia. Tumiskan bersama cili kisar hingga garing. 
  • Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Masak hingga tubik minyak.
  • Masukkan ayam, kentang dan air. Masak hingga empuk. Masukkan garam gula dan bawang besar. 
  • Masakkan hingga bawang layu. Tambah air jika perlu. Seimbangkan rasanya biar sedap-sedap. * Bukan apa, kelim kipap dahlah bughuk, tapi sekurang-kurangnya biarlah intinya tetap menjadi pojaan Malaya.
Teringin nak rasa karipap Tun yang glamer seantero Malaya tu! :)


STRAWBERRY MILKY SHAKE

Oklah. Kalau boleh saya malas nak ambik pot pasal isu cilok-mencilok gambar-gambar masakan hasil karya penat lelah jerih pekih sang blogger yang suka main pondok-pondok dan masak-masak atas pokok. Tapi itulah, kalau tak tulis, hati rasa berjerubu. Kalau tulispun sia-sia belaka ibarat segumpal kekabu melayang dibawa angin. Tiada siapa yang ambil tahu. Tidak pernah!
Macam ni. Jika tanya saya, do I care? Jujurnya saya tidaklah 'terasa' sangat bila tetiba ada orang main cak-cak dengan saya dan 'pinjamkan daku sebentar' gambar-gambar masakan saya. Mana ada akak marah dik, nak ambik- ha hambik banyak mana ko nak. Ngan belog-belog nipun kalau nak hangkutpun takde hal dik! Tapi agak-agaklah kan kalau nak buat kerja-kerja mulia penuh barakah tu. Kalau akak tengah control anggun lawa macam Princess Fiona yang asal takpe. Jangan sampai akak bertukarr jadi Fiona hijau, abis biji mata kamoo akak korek dik!


Harus tangan-tangan gatal anda tu ada sebab tersendiri. Gambar kami ni menakjubkan sangat kah? Hinggakan si tangan hantu kopek cyber tadi tak sempat nak sedar bahawa tangannya telah klik dan klik dan tetiba  gambar yang sangat menakjubkan tadi telah berada dalam blog 'sial' mereka.  Opocot, tercuri pula!

Memetik kata-kata sahabat yang paling banyak naik kapal terbang demi sesuap nasi. People hates us because of 3 reasons : they wanted to be you, they hated themselves and they saw you as a threat. 
Dalam kes ini, saya teka saja; tangan-tangan sengal yang penuh kudis tu kepingin banget ingin menjadi seperti kamoo yang memiliki gambar yang cantik molek. Walaupun mungkin dia tidak membenci kamoo.  Tapi kamoo dilihat sebagai rival. 
At the end, kamoo (kami) akan kalah mati; sebab bodoh-bodohkan diri memasak dan membiarkan bau bawang dari hujung uban ke hujung jari kaki kecut. Gedempolkan  badan sampai pinggang bergaris selari dengan pinggul.  Tak kira lagi berapa credit hours yang gone with the wind sebab tertonggeng-tonggeng cari angle untuk ambil gambar agar boleh sama level dengan gambar-gambar dalam tastespotting. Phew!
Tolong! Tolong! Dah 4 hari aku tak mencilok, berikan aku cilok barang se entry dua. Gamaknya. Sick!

Dan diapun bersorak keriangan sambil tersengih seraya menyebarkan bau mulut busuk penuh kuman-yang mungkin sama busuk dan penuh kuman juga dengan hatinya? 

Sudah-sudahlah tu beb. Orang memasak, tempek gambar makanan ada tujuan masing-masing. Salah satunya untuk kenangan dan rujukan anak cucu cicit cuit gamit suku sakat panchor berangan nanti-nanti. Jadi awak, takkan nak tersenyum-senyum (mulut busuk) sambil tumpang free kenangan orang lain? 
Saya bukan marah, cuma nasehat!. Tapi kalau awak gagal lagi mematuhi cakap chekgu besar, saya ada hak nak simbah muka awak dengan air  taik ayam! 

*Dipetik dari ucapan Chekgu Besar yang tengah hot sebab baju banyak yang tak muat. 

Hilangkan dulu angin panas dalam badan. Teguk stawberry shake  lenggok kiri lenggok kanan saya ni moga-moga bersih sikit hati awak tu!

BUAH MELAKA KUKUS

Masuk dapur lagi Kak Temah Kerbau ni. Ekceli, bukanlah buncit sangat saya ni ye hingga sanggup disamakan dengan kerbau. Dari jauh je nampak macam kerbau, dari dekat Neelofa pun kalah dik!. * Oh sungguh Kak Temah nyampahs tengok iklan citer Azura kat Astro First tu. Serius tak feel macam filim Azura asal. 
Hari ini ada orang ponteng sekolah. Alasan-lutut sakit dan gatal hidung. Eyy baru 5 tahun dah lebih 4 muka surat kalau disenaraikan alasan si Nabiha nak monteng. Ari tu sebab takut bad boy tangkap. Lepas tu takut kucing jahat masuk rumah makan Snow (rabbit dia). Tu belum alasan kaki demam, telinga rasa tak berapa nak dengar dan dalam kasut rasa ada pasir. Huh!

Takkan saya nak carikan dia markha pulak buat semangat untuk pergi sekolah macam mama dia dulu-dulu. Yek. 

Tetiba rasa nak duduk di serambi rumah dan suap kuih ni perlahan-lahan sambil menikmati lagu Getaran Jiwa. Ni kuih kategori rajin kena lebey dan kena up sikit ni. Rajin kopek kelapa, rajin perah daun pandan, rajin gentel bulat-bulat. Bila banyak elemen rajin di dalamnya, sudah pastilah kuih ni antara kuih yang ada kesan mendalam di nurani kan?. 

Sekian, salam sayang dari daku yang rajin. Masih kerbau. :)

Bahan-bahan:
Saiz hidangan : 3 loyang
Sumber: Ibunda tercinta


3/4 cawan tepung pulut
Air daun pandan (kisar 3-4 helai daun pandan dengan sedikit air)
Gula nisan secukupnya (potong kecil)
Daun pisang (layur dan oleskan dengan sedikit minyak)
Cara-cara:
  • Bancuh tepung pulut dengan air daun pandan hingga menjadi doh yang tidak melekat pada tangan.
  • Masukkan gula nisan dan gentelkan bulat-bulat. 
  • Susun atas daun pisang yang diletakkan atas pinggan yang agak lekuk untuk menakung bahagian badan kuih. 
Bahan untuk badan kuih:
1 1/2 cawan santan pekat
3 sudu tepung gandum
Secubit dua garam


Cara-cara:
  • Bancuh tepung, garam dan santan. Tapiskan.
  • Tuang perlahan-lahan atas kuih tadi.
  • Kukus hingga masak.

KEK PISANG FENOMENA

Bila Maida sms nak jumpa saya dan titik pertemuannya adalah di Kidzania, sayapun tanya, Kidzania tu kat mana? 'The Curve', cepat je  si penyandang tali pinggang hitam tu reply.
Punyalah Datin terpeghak lah pulak sebab tak tau kat sebelah Ikea tu ada tempat baru untuk kanak-kanak berlibur. Anak berlibur, mak bapak telan air liur   pekat sambil terpaksa menggaru-garu kepala sebab mahal beb entrance fee dia. Tapi tak jadi pun berjumpa. :(

*Iklan percuma. Mujur-mujur Kidzania call saya untuk bagi tiket entrance sebab buat promosi kat sini. Ehek!
Susah juga nak menggembirakan anak-anak kan? 30 tahun dulu, emak dan ayah saya tak perlupun berhabis duit untuk gembirakan saya. Saya pandai-pandai sendiri je menggunakan kreativiti dan kedua-dua belah otak agar tercipta perkara-perkara yang bisa membuatkan ku tersenyum; walaupun membuatkan ayah mengangkat rotan. Heeee

Hampir terlupa ada resepi kek pisang yang menjadi fenomena di pejabat saya satu ketika dulu. Tapi taklah sehebat fenomena Ustaz Azhar Idrus. 
Antara resepi kek yang paling kerap menyinggah di dapur saya. Juga dapur rakan-rakan lain yang kagum lah sangat dengan kesedapan dan kekacanggileran untuk membuatnya. *Juga perkataan akan dilupuskan serta-merta demi menjaga maruah nusa dan bangsa. 
Bahan-bahan:
Sumber: kawan ana yang bernama Anna M

7 biji pisang emas/4 biji pisang berangan
3/4 cawan gula halus
3 biji telur
2 sudu besar ovellete
1 cawan minyak jagung/sayuran
1 3/4 cawan tepung naik sendiri
1/4 cawan tepung jagung
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
Secubit dua garam
2,3 titis esen pisang

Cara-cara:
  • Lenyek pisang dan ketepikan.
  • Pukul telur, gula dan ovellete hingga gebu. Masukkan esen pisang.
  • Masukkan minyak dan pukul lagi. Masukkan pisang dan kacau rata. Masukkan juga secubit dua garam.
  • Masukkan tepung yang telah diayak dengan soda bikarbonat sedikit demi sedikit. 
  • Bakar pada suhu 160 degree C kira-kira 35-40 minit (untuk kek) dan kira-kira 7-8 minit jika dibakar dalam paper cup.


LAMB CHOP

Minggu ini hampir berakhir, tapi masih belum ada apa-apa hasil yang boleh dianggap munasabah dari saya. Oh ada satu. Buang ulat yang makan daun pokok limau kasturi. Bubuh baja sikit. Tapi termati pulak pokok kunyit kat sebelah sebab baja tu main tabur-tabur ikut dan dan tak ikut sukatan. Itu jer?? 
Jadi suri rumah (jobless mom sebenarnya sebab peranan saya tidaklah sesuri mana so far) bukanlah impian asal saya. Jika ditanya impian semua orang, for sure semua  ingin hidup bersenang-lenang berpesta rumba sambil merias kuku yang mungkin bercagu dan merawat kulit muka kering kerana menggeletis nak mencuba juga 'SK Dua' walaupun orang dah kata jangan monyet jangan. 
Tuntutan sebagai suri di jiwa dua generasi penghuni rumah tangga sangat besar  ya puan-puan sekalian. Hendak tak hendak saja bezanya. Zaman-zaman Kak Temah di alam kuat menderhaka dan suka bagi dosa percuma pada suami dulu, lepas tu sikit-sikit majuk, sikit-sikit merungut bila Sang Arjuna tak membantu laksanakan tanggungjawab sebagai lelaki budiman yang romantikus di amus. Itu zaman sedang berkelubung hitam kelam pekat jahat. 
Mari keluar  dari kepulan asap hitam itu sayang-sayangku. Bangun bersama dan kita bina kebahagian dalam rahmat dan berkat. 


Buang tebiat ke perempuan kerepot ni memalam hah? 
Lama juga tidak memasak kewestern-westernan. (Perkataan baru diwujudkan semata-mata untuk catatan di entry ini. Lepas ni akan dihapuskan serta-merta untuk mengelakkan perbalahan suku kaum Senoi dan Negrito)


Bahan-bahan:
3 keping lamb (bahagian shoulder)
*3 sudu lada hitam (ditumbuk kasar)
*Sos barbeque pedas (saya guna Brand Knorr)
*Paprika
*Dried rosemary
*Garam


Cara-cara:
  • Perap semua daging dengan bahan-bahan yang bertanda * kira-kira 3 jam.
  • Sapukan dengan sedikit minyak zaitun dan bakar hingga masak.
  • Hidangkan dengan mint sauce ataupun BBQ  sauce.

* Kali ini saya tak sediakanpun sos BBQ. Jadi tiada rupa hanya kata-kata di bawah buat rujukan di kala perlu ya! :)


Bahan-bahan sos BBQ:
Sumber : Satu-satunya kakak terchenta-Cikgu Azimah


1 tin susu cair (boleh juga digantikan dengan krim masakan)
1 labu bawang holland -didadu
2 genggam cendawan butang-Kisar
lada hitam
Sos tiram
Sos wosterceshire
Garam dan gula
Minyak zaitun
Cara-cara:
  • Tumiskan bawang hingga layu. Masukkan susu/krim dan cendawan. 
  • Masukkan lada hitam yang ditumbuk kasar. Juga sos-sos yang  berkaitan.
  • Perasakan dengan garam dan gula. Masak hingga mendidih dan sedia untuk dihidang.

IKAN KUKUS CENDAWAN DENGAN LEMON

Apa aktiviti remaja dulu-dulu seraya menunggu keputusan SPM? Orang yang berduit sikit mesti hantar anak ke kelas trengkas atau kelas komputer. 

Saya? Terpaksa setia membantu emak di kantin sekolah. Upahnya, memang tak berbaloi kalau nak dibandingkan dengan lenguh-lenguh sendi membasuh lantai, lap meja dan cuci longkang dan lain-lain. Tapi takpe, janji duduk di samping emak. Sebelah petangnya pula dengan ayu je saya menghayun langkah ke kelas menjahit anjuran KEMAS. Dara pingitan habis!

Hari result SPM keluar, sebaik saja waktu rehat tamat, bergegas saya tunggu bas depan sekolah. Kat tangan setempek dengan tepung goreng pisang tak sempat lap. Tu tak masuk lagi badan berbau karipap dan nasi lemak enak emak. 

Huk aloh! Sang Arjuna saya naik bas yang sama. Tak malu betul ngendeng nak ngimpit duduk sebelah kita dalam bas. Kalau tau dia nak ngendeng  kita, tentu saya dah bertatarias molek-molek.

Dan keputusannya........

Saya cuma layak masuk tingkatan enam. Sedangkan dia terus cemerlang. Kasih terpisah lagi. Dan janji dipatri, agar sama-sama  menjejak kaki ke puncak menara kasih gading.

Sudah-sudahlah mengimbau kenangan heh. Sang Arjuna nak balik jap lagi takkan nak makan cerita cinta aje. Hehehehe.

Semenjak banyak seluar Sang Arjuna saya yang 'mengecut', dia asyik menempah masakan yang sihat-sihat ler pulak. Tapi mokcik tetap tak ada perasaan untuk turut serta. Mokcik tetap mokcik, melantakthon lebih diutamakan. 

Ikan yang distim ala-ala habis idea. 
 
Bahan-bahan:
1 ekor ikan bawal emas (anggaran 700g)
*1/2 biji lemon
*1 biji tomato
* 1/2 batang celery
*1/2 paket cendawan shitake (anggaran 150g)
*2-3 inci halia
*2 ulas bawang putih
*2 ulas bawang merah
*2 tangkai daun ketumbar
*4-5 biji cili api
Sos ikan
Sos tiram
Kicap cair

Cara-cara:
  • Hiris/potong bahan bertanda * mengikut kesesuaian. 
  • Taburkan atas ikan.
  • Tuang sos ikan, sos tiram dan kicap cair secukupnya.
  • Kukus kira-kira 40-45 minit atau sehingga masak. Silalah berdiet wahai suamiku, aku akan tetap berada di samping mu sambil melahap ciskek! :)


KUIH LAPIS DARUL AMAN

Seminggu cuti sekolah, seminggu juga saya tak dapat turut serta dalam fenomena berebut nak beli nasi lemak kat simpang sekolah Tadika Nabiha. Heran juga saya nasik lemak halba yang harum dengan sambal yang sedap cuma berharga seringgit. Tak kisahlah kalau dibungkus dengan daun pisang hutan dan surat khabar Nanyang Siang Pow pun kan. Sedap dan murah. 
Tinggal di kejiranan Cha Ya Nun Aliff ni agak susah bagi saya nak dapatkan sarapan pagi yang sedap. Mungkin harga pada sesetengah orang tidak membebankan, no hal punya tapi bab rasa, jangan main-main. Biasanya harganya mahal macam bedil, tapi rasanya-wuhhh up sikit je dari makanan penjara. Ke makanan penjara sedap macam kat hotel? Ataupun makanan hotel tak sedap macam makanan penjara?
Ah! solvelah sendiri permasalahan di atas.

Gedik tul nama kuih lapis saya kali ni. Bukan apa sebagai memperingati negeri asal ibu mertuakoo. Itu aje. Kebetulan pula warna-warnanya telah saya 'jelapang padikan'. Tetiba rasa nak beli baju raya kaler macam kuih ni. Heeee
Lama dah kepingin nak mencuba resepi kuih lapis yang letak tepung hoen kwee ni. Menggebu-gebu rasa tak sabar bila tengok di blog Jejaka Gebu tu. Tapi memang sah tak kesampaian juga lagi. 


Bila  start kerja-kerja awal pembikinan, rupanya semua tepung hoen kwee saya berwarna-warni. Takkan nak u-turn pula bila nyior dah 'dikukur' dan segala persiapan lain telah dilakukan dengan rapi sejak berbulan-bulan yang lalu kan?. Kekekeke.
Bahan-bahan:
Sumber : Cik Mat Gebu
Bahan A:
150g tepung beras
30g tepung hoen kwee (saya gantikan dengan tepung ubi)
400ml santan pekat
160ml air
Bahan B:
180g gula halus (saya guna 160g)
150ml air
Daun pandan untuk mewangikan (saya tak letak)
Secubit dua garam
Pewarna yang disukai (saya gunakan hijau epal, royal yellow dan warna asal)
Untuk ikut cara Cik Mat, sila ke SINI
Cara saya:
  • Campurkan semua cecair sebanyak 710ml (campuran santan, air dan air dari bahagian B) * saya guna 700ml santan.
  • Masukkan gula dan kacau hingga larut.
  • Masukkan tepung dan garam. Tapiskan jika perlu.
  • Bahagikan kepada warna-warna pilihan. Kalau guna 4 warna, gunalah sifir 4 untuk bahagikan sama rata, adil dan saksama.
  • Oleskan loyang dengan sedikit minyak untuk memudahkan kerja-kerja mengeluarkan kuih dari loyang nanti. Lapik dengan plastik juga bisa!
  • Kukus selapis demi selapis kira-kira 6-7 minit setiap lapisan.
  • Pastikan adunan tepung dikacau rata sebelum dituang ke atas lapisan seterusnya untuk mengelakkan adunan tepung mendap.
  • Sejukkan sebelum dipotong.